PERBAIKILAH DIRIMU, DAN
SERULAH ORANG LAIN
DAKWAH…
Ketika saat kita mendengar perkataan ini, apakah yang terlintas diminda kita? Jujurlah. Pastinya terlintas wajah-wajah penceramah, ustaz-ustazah dan persatuan dakwah, kawan-kawan kita yang sering memberi tazkirah, badan dakwah sekolah/IPT, tok Imam masjid, dan yang seangkatan dengannya. Salahkah pandangan saya? Kalau salah, betulkanlah. Tetapi hakikatnya itulah realiti dan kebenaran yang menjadi mentaliti dan anutan ramai umat Islam zaman ini. Dakwah adalah tanggungjawab pihak yang bertanggungjawab. Siapa pula ‘pihak bertanggungjawab’ itu? Pastinya jawapan yang sering kita dengar, pihak Jabatan Agama, badan-badan dakwah, NGO, kerajaan dan sebagainya.
Sebenarnya, Milik siapakah DAKWAH itu?
Sahabat yang saya sayangi kerana ALLAH, Hakikat Tanggungjawab Dakwah itu adalah milik KITA SEMUA, INDIVIDU yang bergelar MUSLIM dan MUKMIN. Ingatkah kita tentang janji seorang insan disaat sebelum lahir kedunia? Firman Allah s.w.t;
Maksud ayat :“Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika Tuhanmu mengeluarkan zuriat anak-anak Adam (turun-temurun) dari (tulang) belakang mereka dan Dia jadikan mereka saksi terhadap diri mereka sendiri, (sambil Dia bertanya dengan firmanNya): Bukankah Aku Tuhan kamu? Mereka semua menjawab: Benar (Engkaulah Tuhan kami), kami menjadi saksi. Yang demikian supaya kamu tidak berkata pada hari kiamat kelak: Sesungguhnya kami adalah lalai (tidak diberi peringatan) tentang (hakikat tauhid) ini.” [Al-Araf:172]
Demikian janji kita pada pencipta. Setelah kita mumayyiz dan mampu memegang taklifan, ingatkah, kita diperintahkan untuk mula menunaikan solat, sebagai pemula fasa menunaikan janji kita di alam roh tadi. Sedarkahkah kita, di dalam solat, kita berjanji lagi. Kalimah Syahadah yang kita lafazkan ketika tahiyyat awal dan akhir itu merupakan sebuah lagi lafaz sumpah penyaksian seorang hamba untuk memegang amanahnya. Lafaz “Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan aku bersaksi bahawa nabi Muhammad itu pesuruh Allah” adalah sumpah kita bukan hanya kepada Allah, bahkan juga kepada Rasulullah, Habibullah, Nabiyullah, Muhammad s.a.w. Firman Allah s.w.t yang bermaksud:
“Dan tidaklah Aku menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembah-Ku.” [Az-Zariyat:56]
Dalam surah lain Allah berfirman yang bermaksud: “Katakanlah; “Jika kamu mencintai Allah ikutilah aku, nescaya Allah mengasihi kamu dan mengampuni dosa-dosa kamu, Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." [Al-Imran:31]
Dalam surah lain juga, Allah berfirman yang bermaksud: "Hai Nabi kami mengutuskan engkau sebagai saksi, dan pembawa khabar gembira dan pemberi peringatan dan untuk menjadi penyeru (daie ) kepada (Din) Allah dengan izin-Nya dan untuk menjadi cahaya yang menerangi." [Al-Ahzab:45-46]
Ketuklah iman kita. Demikian hakikat yang harus kita terima. Hakikat tugas kita sebagai hamba Allah dan umat Rasulullah. Sebagai tamsilan hamba pada Pencipta. Ketika kita merasakan bahawa tugas menyampaikan dakwah atau menyeru orang lain bukan tugas kita, renungkanlah Firman Allah s.w.t yang bermaksud: "Dan (ingatlah) ketika suatu umat di antara mereka berkata: “ Mengapa kamu menasihati kaum yang Allah akan membinasakan mereka atau mengazab mereka dengan azab yang amat besar ? Mereka menjawab: “Agar kami mempunyai alasan (pelepas tangunggungjawab) kepada Tuhanmu, dan supaya mereka bertakwa.”Maka tatkala mereka melupakan apa yang diperingatkan kepada mereka, Kami selamatkan orang-orang yang melarang dari perbutan jahat dan Kami timpakan kepada orang-orang yang zalim seksaan yang keras disebabkan mereka selalu berbuat fasiq.[Al-A’raf : 164-165]
Pada saat kita merasakan lagi bahawa tugas DAKWAH terlalu berat, tidak layak untuk diri yang belum sempurna untuk menegur atau membimbing orang lain, maka tukarlah istilah DAKWAH itu kepada SERU. Ya, kita adalah penyeru, bukan penghukum. Serulah, sebagai bukti dihadapan Allah kelak, bahawa kita pernah menjadi sebahagian hamba-Nya yang menyeru orang lain kepada agama Allah.
Benar, sangatlah benar. Banyak urusan memerlukan kehadiran kita. Pelajaran kita, masa dengan keluarga dan kawan kita, hobi kita. Kita juga mahu masa untuk diri kita. Hak diri. Benar, semuanya tidak salah, tetapi janganlah semua itu membuat kita terlalu sibuk mengurus dunia sehingga Akhirat kita, terabaikan, dan janganlah pula bersangka bahawa mencintai Akhirat bermakna tiada langsung ruang untuk mengambil tahu hal dunia.
Dunia bukanlah suatu hal yang buruk, bahkan dunia mampu menjadi tapak semaian berkualiti yang akan menghasilkan tuaian yang baik dan berharga jika kita bijak menggunakannya. Serulah dan sampaikanlah dakwah. Bukan hanya dipentas ceramah atau persatuan, tapi juga boleh melalui peringatan, teguran, penulisan dan program2 yang membantu dakwah Islam. Semoga setitik peluh yang menitis dalam usaha membantu agama kita ini bernilai emas disisi Allah.
Ingatlah sahabatku, Selama kaum Muslimin berada jauh daripada penguasaan dunia, bererti mereka juga jauh daripada hakikat iman dan amal soleh. Akibatnya, mereka akan sentiasa terbelenggu dalam urusan agamanya dan terperosok dalam dosa dan maksiat. InshaAllah dengan Dakwah dan Tarbiah Islamiah, menerusi segenap potensi yang dimilikinya, berupaya untuk mengeluarkan umat manusia daripada belenggu perasaan, dosa dan maksiat.
Mengapa demikian? Kerana semua tujuan itu adalah menjurus kepada penegakan syariat Allah s.w.t. semata, tanpa tawar-menawar, undi-mengundi, dan tuding-menuding, apatahlagi untuk tunduk dan mengalah kepada sistem lain ciptaan manusia. Kalimah Syahadah bukan sekadar lafaz. Padanya ada tuntutan. Itulah tuntutan syahadah.
**********
WAHAI DIRI YANG SENTIASA LUPA DAN TIDAK PERNAH MERASA CUKUP DENGAN APA YANG ADA…!
APAKAH SYURGA ALLAH ITU TIDAK CUKUP MENGGIURKANMU? APAKAH JANJI ALLAH UNTUK MEREKA YANG BERJUANG DI JALANNYA MASIH TIDAK CUKUP UNTUK MEYAKINKANMU BAHAWA JANJI-NYA ITU PASTI? TANPA KITA, ISLAM TETAP GEMILANG, TETAPI ALANGKAH RUGINYA DIRI, JIKA DISAAT ISLAM DIPUNCAK KEMENANGAN, KITA MASIH BERADA DIPEMBARINGAN BERSAMA ANGAN DAN KESUKAAN KITA. SEKADAR MENJADI PEMERHATI.
Ayuh! KELUAR DARI KEPOMPONG KESELESAAN, PERBAIKI DIRI DAN SERULAH ORANG LAIN, KERANA DAKWAH ITU MILIK KITA BERSAMA. Wallahu’alam.
*******************
Pesanan Buat Diri:
Letakkanlah Dunia ditanganmu dan Akhirat dihatimu. Jangan jadikan dunia sebahagian dari dirimu (dengan meletakkannya dihatimu) agar dirimu tidak merasa kesakitan dan kepedihan saat dunia harus kau lepaskan ketika kelak kau hanya berhadapan dua pilihan.
***********************
"MUJAHIDAH SOLEHAH
TIDAK MUDAH MENYERAH KALAH
PADA UJIAN DUNIA"
No comments:
Post a Comment