BismiLLAHI wa Hamdan Shukran liLLAH.
Salam maahabbah liLLAH buatmu insan istimewa. Ya, Halaman ini ana sisipkan khas buat sahabiah-sahabiah yang bernama 'Muslimah'. Ini Impian ana. Harapan ana. Ingin melakukan sesuatu buat saudari seakidah diluar sana. Biarlah sedikit. Biarlah. Kerana nilaian ALLAH tidak terletak pada ukuran kuantiti. Laman khas ini biarlah eksklusif buat kita. =) Tiada apa yang bisa menghalang (melainkan Allah jua) dari adanya keistimewaan ini, kerana bukankah wanita yang bernama muslimah itu sememangnya ciptaan Allah yang istimewa?
Kita adalah makhluk ALLAH yang istimewa. Istimewa? Ya. Kita istimewa. Kerana apa? Kerana Hawa itu dicipta dari rusuk Nabi Adam. UkhtifiLLAH, Tidak dicipta wanita itu daripada kepala, kerana wanita itu bukan untuk diagungkan. Tidak juga dicipta dari kaki. Kerana wanita itu bukan untuk dizalimi dan disakiti. Kita tercipta dari rusuk yang bengkok, dekat dengan bahu untuk dilindungi. Dekat dengan hati, untuk dikasihi. Wanita itu dikurniakan sembilan nafsu dan satu akal. Menyebabkan seringkali akal kita ini dikuasai emosi dan perasaan melebihi warasnya pertimbangan. Atas sebab itulah Islam tidak membenarkan wanita untuk memimpin kaum adam. Bukan itu saja, jangan pernah kita lupa, dan jangan pernah kita menafikan. Islam tidak membenarkan kita memimpin kaum yang daripadanya kita diciptakan, kerana sememang fitrah asalnya kita tidak dicipta dari kepala, dimana tempat terletaknya akal, senjata utama untuk memimpin.
Kurangnya wanita pada agamanya, disebabkan haid dan nifas. Namun dalam sedikit kekurangan itu, tersimpan ruang kelebihan dan hikmah yang besar. Itu tanda kasih sayangNya. Bukan kerana direndahkan, tapi ianya adalah kesempatan dan ruksah untuk wanita. Larangan menunaikan solat, puasa, dan membaca Al-Quran ketika haid bukan bermakna tertutup rapat ruang untuk beribadah. Zikir dan Selawat juga mampu setanding ganjaran pahalanya dengan ibadah utama, jika istiqamah dan benar amalannya.
Jangan pernah bersedih saudariku. Bersyukurlah. ALLAH tidak memberi kekurangan itu untuk membuatkan kita terhina. Bahkan segala kekurangan yang dihiaskan pada diri wanita itu adalah kerana tanda kasih sayangNya. Buktinya, banyak perkara yang dikhususkan untuk wanita tetapi tidak diberi pada lelaki. Emas, sutera dan perhiasan dijadikan halal buat kita. Tetapi keras larangannya buat kaum adam. Syurga seorang anak terletak di bawah kaki ibu. Lantas, wajib mengutamakan panggilan ibu dari seorang ayah. Dan, Bukankah ibu itu seorang wanita?... Mudahnya syurga buat Muslimah. Mentaati ALLAH, Rasul dan suami serta berpuasa dan menjaga solat, terbuka seluruh pintu syurga untuk kita masuki dari mana-mana pintu pun yang disukai. Doa seorang ibu juga amat maqbul disisi ALLAH. Kerana apa? kerana ibu itu sifatnya pengasih, dan doa orang pengasih tidak sia-sia disisi ALLAH. Bukankah ALLAH itu Maha Pengasih? Nah, bukalah mata hatimu saudariku!
Namun, ingatlah! segala kemudahan itu bukan untuk dipermudah-mudahkan, saudariku. Jangan dibiar keistimewaan itu sirna menjadi hina hanya kerana lalainya kita dalam keasyikan mengecap nikmat yang dipinjamkanNya. Buktinya... Syurga itu mudah buat wanita yang meletakkan dirinya sebagai muslimah solehah. Namun, hakikatnya, MENGAPA ramainya kaum kita menjadi penghuni neraka? MENGAPA saudariku? Bukankah telah ALLAH permudahkan syurga buat kita? Kerana apa, saudariku? kerana kita mempermudah-mudahkan perintah ALLAH, yang telahpun dimudahkan buat kita. Kita bermain-main dengan larangan ALLAH. Kita merasakan dunia ini terlalu indah untuk ditinggalkan. Kita kufur dengan nikmat yang sedikit sehingga kita lupa pada janji ALLAH, bahawa "Dunia itu hanya kesenangan yang menipu" . Segala perhiasan dan kecantikan yang dihalalkan untuk kita, khusus buat suami dan mahram, tapi kita tega. Kita tayang dan pamerkan buat semua lelaki ajnabi tanpa rasa malu. Air mata yang seharusnya dititiskan untuk menginsafi dosa, kita jadikan senjata untuk menggugah hati lelaki. Senyuman yang seharusnya diukir buat keluarga dan suami, kita jaja menjadi aset buat menggoyahkan iman lelaki. Kita bangga menjadi rebutan! Dengan angkuh berhujah, "kecantikan bukan untuk disembunyikan" Dengan laungan keegoan, "Serlahkan kejelitaanmu". Dengan sepanduk kebebasan asasi dan berprinsipkan kesamarataan hak. Kita merasakan segalanya indah! Tapi rupanya kita tertipu!
Malunya diri ini pada Rabb kita, saudariku! KERANA APA? KERANA "KITA" BERSAUDARA! Dirimu adalah Cermin buat diriku. Sungguh, Diriku bukanlah insan yang mampu membina bahagia tanpa secebis peduli melihat ramainya kaumku menjadi bahan bakar api neraka!
Marilah sahabiah yang disayangi kerana ALLAH! Cukuplah sekadar itu kita memuja dunia yang fana ini! Marilah kita ulang kembali sejarah srikandi Islam dalam versi kita tersendiri. Andai dirimu seorang isteri, sisipkanlah kisah Khadijah, Fatimah, Aisyah dan Asiah sebagai cermin hidupmu. Andai dirimu seorang ibu, jadikanlah Aminah, Maryam dan Masyitah sebagai panduanmu. Andai dirimu seorang anak, biarlah doa dan ketaatanmu menjadi senjata, wasilah menggapai Redha-Nya. Andai dirimu seorang penuntut ilmu, maka jadikanlah Aisyah, dan Hafisah dorongan buatmu. Andai pula dirimu seorang pendakwah, titipkanlah ketabahan Zainab Al-Ghazali dan kegagahan Khaulah sebagai qudwah. Dan, Andai dirimu seorang pencinta, cukuplah, cukuplah sejarah cinta Rabiatul Adawiyah, Zulaikha, Shafura dan Zainab menjadi sandaran kisah.
WaALLAHU 'ALAM.
SEMOGA MENJADI MAR'ATUSSOLEHAH! AMIN...
"Muslimah GAGAH Pada Jiwa Yang TABAH"
*_*
Salam Mujahadah.
ReplyDeleteSubhanallah. Semoga Thabat Dalam Berjuang.
Teruskan langkahmu Wahai Pejuang!
Dengan Al-Quran menjadi pedoman.
Hembuskanlah angin pembaharuan
kerana kita KhalifaturRahman!