BINGKISAN SEBUAH PERJALANAN USIA
Bismillahi ar-Rahman ar-Rahim.
Segala pujian hanya buat-Mu, Pencipta dan Pentadbir alam. Selawat dan salam buat junjungan Rasulullah, Habibullah, Nabiyullah, Muhammad s.a.w, ahlul bait, para sahabat, tabi'in, tabi' tabi'in, para ulama, mujtahid, para pejuang agama, mak dan pa, saudara sedarah, guru-guru dan sahabat-sahabat dan muslimin muslimat yang saya cintai kerana ALLAH.
SUBHANALLAH. ALHAMDULILLAH. ALLAHUAKBAR. Terima kasih ALLAH atas segala nikmat yang telah Kau berikan. Nikmat Iman dan Islam. Nikmat Kesihatan, Kebijaksanaan, Kecerdasan. Nikmat Kasih sayang. Keluarga, guru-guru dan sahabat yang menjadi penolong dalam kehidupan beragama. Hari ini, 12.12.2011 (17 Muharram 1433 H), genap usia 23 tahun menghirup udara ALLAH, melihat ciptaan ALLAH, berjalan diatas bumi ALLAH. Menikmati segala pinjaman dan kurniaan ALLAH. Semoga HARI INI dan yang akan datang LEBIH BAIK dari SEMALAM yang berlaku. Semoga setiap detik yang berlalu dalam saya menjalani kehidupan hamba menyimpan manfaat dan kebaikan buat diri dan orang lain.
Teringat tentang salah sebuah buku yang saya miliki. Buku yang saya beli sewaktu menjadi musafir ilmu di bumi Kuantan. Buku yang berjudul 'Aku, Buku dan Cinta'. Tentang seorang ulama yang bernama Ibn Aqil al-Hanbali. Seorang yang sangat sibuk dengan ilmu. Sebuah tulisan tangannya yang berbunyi; "Haram bagiku melewatkan masa walau satu jam saja untuk suatu masalah selain ilmu. Sehingga apabila lidahku sudah penat dan mataku sudah lelah, aku pun berbaring namun tetap berfikir. Tiadalah aku bangun dari tidurku itu melainkan permasalahan dan idea-idea telah aku perolehi. Setiap kali usiaku bertambah, setiap kali pula hatiku tenang dalam menuntut ilmu. Dalam usia lapan puluh ini, aku merasakan semangatku dalam menimba ilmu, lebih kencang bila dibandingkan waktu aku masih berumur dua puluh tahun yang lalu." Beliau juga pernah mengatakan; "Aku berusaha sekuat tenagaku memangkas waktu kesibukanku yang lain. Demi menjaga waktu agar dapat membaca lebih banyak. Aku rela meninggalkan roti dan hanya memakan manisan dengan segelas air, kerana bila aku makan roti, maka banyaklah masaku yang terbuang." SUBHANALLAH. Tidak layak rasanya untuk menggelar diri ini seorang pencinta ilmu. Terlalu jauh rasanya sifat dan kebiasaan seorang pencinta ilmu itu dari diri ini. Malu yang teramat sangat, jika Ibn Aqil, Imam Syafi'e, Imam Malik, Imam Ahmad, Sufyan al-Tsauri, Imam Muslim, Ibn Taimiyah, As-Syaukani, Al-Dzahab, Ibn Hazm dan para ulama pencinta ilmu yang lain ada dihadapan saya lalu menilai upaya dan hafalan ilmu saya. Aduh, usia yang semakin meningkat dan masa yang semakin pantas berlalu, namun saya masih belum mampu menguasai ilmu yang banyak. Saya perlu berubah! Untuk melayakkan diri menjadi pencinta ilmu yang sejati!
Mak dan pa, terima kasih dan sayang yang tidak terhingga atas ucapan dan doa sempena hari lahir anakmu ini. Panggilan telefon seawal pagi yang sangat membahagiakan saya. Mendengar suara ibu dan ayah yang telah menjadi antara asbab utama lahirnya seorang Qasrina didunia fana ini. Insan yang telah menjadi kekuatan utama berdirinya seorang Muslimah GAGAH. Satu-satunya kakak yang saya miliki, terima kasih juga atas kiriman sms dan doa yang diberi. Semoga rumahtangga yang dibina bahagia hingga ke syurga. Dihiasi keindahan anak-anak yang comel, soleh dan solehah. Adik-adik saya yang memberi ucapan tidak langsung melalui mak, terima kasih juga. Buat satu-satunya abang yang saya ada, terima kasih atas segala pemberian sepanjang adikmu ini menjadi musafir ilmu di bumi Aceh Nanggroe Darussalam. Sanggup melewatkan untuk membina keluarga sendiri kerana mahu membantu mak dan pa membiaya pengajian adikmu ini. Semoga dikurniakan isteri yang solehah, penyejuk mata keluarga. Terima kasih, atuk, nek, mak, pa, saudara serahim, mak dan bapa saudara, sepupu dan semua keluarga, guru-guru, sahabat-sahabiah dan adik-adik usrah yang sentiasa menjadi pendorong dan mendoakan saya. Ya ALLAH terima kasih kepada-Mu, Rabb yang mengurniakan mereka dalam kehidupan ana. Terima kasih kerana menghadirkan mereka, sebagai penghias, peneman dan cahaya dalam perjalanan pulang ana kepada-Mu. Kasihi mereka seperti mana mereka mengasihi ana seperti diri mereka sendiri. Amiin.
Buatmu Rasulullah, terima kasih dan cinta atas segala kecintaanmu buat umatmu. Tanpa dirimu dengan izin Rabb kita, tiadalah kami menghirup segar udara Iman dan Islam. Tiadalah kami menghidu nikmat haruman akhlak dan adab dalam setiap sunnah yang kau tinggalkan. Cinta buatmu telah kubaja kemas dalam satu ruang khas didalam hati ini. Andai ada cinta manusia yang cuba mengambil sedikit ruang cintamu dan Rabb kita, tidak sekali akan kubiarkan itu terjadi. Akan kupertahankan. Sekalipun dengan jiwa, darah dan air mata. Bantulah diri ini menyemai dan memeliharanya agar ia tetap menjadi cinta yang segar dan wangi saat pertemuan kita di Akhirat sana. Sebagai sebuah mahar untuk melamar cinta Pemilik cintaku dan cintamu ya Rasulullah. Uhibbuka ya Habibullah.
*********
Sebuah Puisi, bingkisan Hari Lahir Seorang Hamba...
Menyusuri lembaran tersurat,
Menghela nafas panjang...
Melihat lakaran Pena Kehidupan yang tidak terduga...
Adakalanya Indah, Kemas, Rapi dan Teratur.
Umpama sulaman benang... Halus tersusun.
Jua adakalanya bak ikatan tali yang tersimpul, Kusut tidak terungkai...
Segalanya menuntut sejuta pengorbanan dan kesetiaan. kesabaran dan penghayatan.
Selagi tidak bertemu penghujungnya,
Selama itulah keikhlasan Sekeping Hati teruji...
Mencari jawapan, Persoalan demi persoalan...
Denyutan Nadi yang menunjangi kehidupan ini
Akan terus bernyanyi mengikut rentak lagu ciptaan ILAHI...
Andai tiba waktu yang terpatri,
Segalanya akan terhenti.
Tanpa ada yang mampu menghalangi.
Di saat itulah segalanya terbukti
Bahawa JANJI ALLAH itu PASTI...
*********
"MUJAHIDAH GAGAH, MENGHAYUN LANGKAH
MENUJU MARDHATILLAH"
Sanah Helwah A.Qasrina.R
ReplyDelete~ Semoga dikurniakan iman yang sempurna,
~ akhlak yang terpuji,
~ pekerti yang mulia,
~ umur yang bermanafaat,
~ rezeki yang halal,
~ ilmu yang berguna,
~ jodoh yang membahagiakan,
~ hidup yang dirahmati di dunia dan akhirat.
11.12....ye..? sama dengan hari lahir anak ke 2 akak...~ (✿◠‿◠)
Syukran jiddan kak.
ReplyDeleteAmiin Ya Rabb. Waiyyaki ukht.
Salaam utk anak kakk ye. =)