MUTIARA ILMUAN
Bismillah wa hamdan syukran
lillah...
Ketika saya membuka laman diskusi
jurusan SPH seawal 7 pagi, saya melihat berita tentang pemergian seorang imam
besar masjid Baiturrahman merangkap salah seorang dosen di fakultas Ushuluddin..
Serentak ucapan keramat itu terlintas di dalam hati... Ya, sesungguhnya
dari-Nya kita datang dan kepada-Nya jualah kita akan kembali... Mungkin beliau
bukan pensyarah fakultas Syariah, dan mungkin saya tidak mengenali apatahlagi
menjadi murid kepada beliau, tapi status sebagai guru menjadikan beliau orang
yang perlu saya doakan juga...
***************
Lewat tengah hari tadi saya
mendapat panggilan dari seorang adik... “Kak, akak ada dekat rumah tak?”
Saya mengiyakan... “Akak buat apa? Ana nak jumpa boleh?” Dengan nada
yang agak teragak-agak, saya jawab “Akak tengah membaca bahan, tapi boleh je
kalau nak jumpa...kenapa ya?” Dalam hati saya agak pelik sebab suara adik
tersebut agak serak... “Kak, ana depan rumah ni, ana masuk ya?” Dengan
nada terkejut saya jawab “Ya Allah, masuk je, akak tunggu dalam bilik..”
Selang beberapa minit, suara
orang memberi salam depan pintu bilik.. saya meminta adik tersebut masuk..
Asma’ dengan wajah sedihnya duduk dihadapan saya, “Kak, ingat tak dosen yang
akak pernah masuk kelas saya semester lepas tu?” Saya cuba mengarahkan
fikiran saya kepada beberapa bulan yang lepas... “Ya, yang dekat asrama haji
tu kan?” “Ya. Akak nak tahu tak, ustaz tu dah meninggal dunia.”
****************
Beberapa bulan pada semester yang
lepas....
Ketika saya dah keluar rumah untuk ke kelas, saya bertembung dengan Asma’ yang juga hendak pergi ke kelas... Fakultas Syariah dan Ushuluddin agak jauh, tapi pengangkutan (labi-labi) yang kami gunakan masih menghala ke arah yang sama. Ketika sudah dipertengahan jalan, saya mendapat pesanan ringkas bahawa kuliah dibatalkan, sedangkan pada hari tersebut saya cuma ada satu mata kuliah. Tanpa membuang waktu, saya bertanya pada Asma’ tentang mata kuliahnya pada pagi tersebut. Tafsir. Asma’ yang telah sedia maklum akan hobi saya yang suka memasuki kelas jurusan hatta fakultas lain untuk mendengar, mengajak saya mengikuti kelas tersebut kerana sebelum ini juga saya pernah ke kelas beliau.
Ketika sampai, di dalam ruang di
Asrama Haji, dosen tersebut masih belum mengecam saya. Tetapi, sebaik beliau
buat ‘round-table’ sebelum memulakan kuliah, beliau baru perasan kehadiran
saya. Saya masih ingat kata-kata beliau “Ini siapa ya? Maaf, soalnya saya
belum pernah lihat.” Saya menjawab “Saya masuk untuk mendegar, pak.
Boleh kan?” Ustaz tersebut tersenyum “Ya, boleh saja. Jadi, ini
Mustami’ah ya?” Saya menjawab, “Ya pak. Mustami’ah” Ustaz tersebut
menyambung, “Dari jurusan mana?” Sambil tersenyum saya menjawab,“Fakultas
Syariah pak” Ustaz tersebut agak terkejut tetapi masih tersenyum “oo ya,
gak pa-pa”..
Setelah selesai pembentangan dan
tiba sesi soal jawab, sesuatu yang menyentuh hati ketika ustaz tersebut
memandang saya dengan senyuman dan bertanya, “ya Mustami’ah, ada soalan?”
dengan nada terkejut saya menjawab “Saya boleh beri soalan, pak?” Ustaz
tersebut masih tersenyum, “Ya, boleh juga kalau ada soalan.”
Subhanallah, saya ini siapa, cuma seorang pelajar, sedangkan beliau seorang
pensyarah, tetapi akhlak beliau yang tetap memuliakan tetamu...
Selesai mengikuti kuliah bersama
beliau, saya terkesan dengan toleransi beliau kepada pelajar, kemesraan dan
cara beliau mengenali pelajarnya. Beliau meminta pelajarnya yang menghafal
Al-Quran untuk mengikuti MTQ (Majlis Tilawatil Qur’an). Asma’ memaklumkan
kepada saya yang beliau seorang hafiz.
*****************
Subhanallah... rupanya beliau
pernah menjadi guru saya. Subhanallah... Saya pernah menjadi murid beliau
walaupun cuma sehari.. Bukan, cuma sejam setengah. Tapi, walaupun hanya sejam
setengah, ilmu dan bicara beliau masih saya ingati. Beliau seorang hafiz, lancar
mengalir di lidah beliau ayat al-Quran ketika saya menjadi pendengar di kelas
beliau yang saya ikuti... Subhanallah, saya sangat bersykur kerana masih sempat
menjadi murid beliau, seorang imam besar di Masjid Baiturrahman, Seorang Guru
Besar, Seorang Hafizul Qur’an, Seorang Pensyarah yang disegani... Walaupun
hanya satu jam setengah. Ya, walau hanya sejam setengah. Subhanallah. Terima
kasih Allah.
Ketika saya dimaklumkan, bahawa
antara asbab pemergian beliau adalah kerana kemalangan kecil. Beliau terjatuh
dari mimbar ketika acara MTQ. Kepala beliau terhantuk. Pendarahan yang berlaku
menyebabkan beliau perlu menjalani pembedahan. Tidak lama selepas pembedahan
itulah, beliau menghembuskan nafas terakhir. Subhanallah. Allah mencintai
beliau. Pemergian beliau pada usia 38 tahun, meninggalkan isteri dan anak-anak
yang masih kecil, namun saya yakin, beliau telah meninggalkan mutiara yang
berharga kepada mereka-mereka yang ditinggalkan...
****************
“Ya Allah, tempatkan Dr. Lukman
Hakim bersama golongan yang Engkau cintai. Terangi dirinya dengan ilmu dan
cahaya Al-Qur’an. Semoga disana kami berhimpun sebagai golongan yang
mencintai-Mu.. Aamiin ya Rabb...”
-Al-Fatihah-
No comments:
Post a Comment