Dengan nama Allah Yang Maha Bijaksana dan Maha Mengetahui....
Selawat dan salam buat Rasulullah, ahlul bait baginda, para sahabat, para jundullah, dan buat mak dan pa' yang sentiasa ada di dalam hati ini. InshaAllah.
Segala puji kepada-Nya yang masih mengurniakan kita semua nikmat yang paling indah, nikmat IMAN dan ISLAM. Benar. Tiada kenikmatan yang paling indah dan tiada keindahan yang paling nikmat melainkan hidup, bernafas dan merasai IMAN dan ISLAM. Hari ini, genap 36 hari saya berada di bumi Nanggroe Darussalaam. bermakna, sudah 4 minggu saya bergelar mahasiswa UIN@IAIN Ar-Raniry, Banda Aceh. Minggu ini minggu ke 7. Ya, sudah hampir 4 minggu saya berkuliah. Apa yang saya ingin kongsikan, bukanlah tentang kesenangan atau kepayahan hidup dibumi serambi mekah ini, tapi saya ingin memfokuskan tentang isu mentaliti dan paradigma mahasiswa zaman kini.
Pagi ini, saya menghadiri 2 kuliah, iaitu mata kuliah ILMU BUDAYA DASAR dan SOSIOLOGI HUKUM. Apa yang menariknya, pembentangan kumpulan hari ini bagi mata kuliah IBD adalah berkenaan MANUSIA DAN CINTA KASIH. Sebelumnya, saya ingin berkongsi sedikit, tentang mata kuliah IBD. Mata kuliah ini membincangkan tentang peranan manusia sebagai masyarakat dan hakikat perkaitan hubungan manusia dengan perara disekelilingnya. Hari ini, 3 mahasiswa membentang tentang tajuk Manusia dan Cinta Kasih. Sebuah subtopik yang agak kecil disamping topik2 besar yang lain. Apa yang sangat menarik hati dan menyentak minda saya sebagai seorang Mahasiswa adalah tentang bagaimana mereka menjawab dan berfikir tentang perkataan CINTA tatkala soalan yang dikemukakan oleh salah seorang anak mahasiswi berkenaan apakah beza antara kasih dan cinta menurut perspektif pembentang.
Salah seorang pembentang menyatakan bahawa cinta itu datang dari mata dan turun ke hati. Rasa yang hadir dari dalam hati terhadap seseorang. Kasih itu pula adalah rasa kasihan yang timbul pada orang lain. Rasa cinta hadir setelah pihak yang satu melihat dan tertarik, lalu hadirlah cinta. Bilik kuliah gamat dengan suara anak mahasiswa. Saya tergamam, lantas secara spontan saya bertanya, adakah cinta itu hanya akan hadir apabila kita melihat orang tersebut? Dengan muka berseri, pembentang tersebut menyatakan iya. Saya mula tidak sedap duduk, dan saya bertanya lagi, jika dengan atas keyakinan itu, maksud saya, jika cinta hanya hadir ketika kita melihat orang lain, maka dimanakah cinta bagi seorang yang buta? Dimana letaknya keadilan cinta bagi orang yang buta yang tidak mampu melihat dan sibisu yang tidak mampu berbicara? Akibat persoalan itu, bilik kuliah gamat lagi. Akhirnya, saya mampu bertenang sedikit ketika salah seorang anak Malaysia menambah jawapan pembentang, bahawa bagi seorang yang buta, gerak rasa hati itu yang menjadi sandaran, kerana cinta dan kasih itu datang dari hati.
Setelah saya agak tersentak dengan jawapan pembentang tadi, saya terkesima lagi ketika 1 soalan asal yang saya kemukakan berkenaan kertas kerja yang dibentang tadi yang menyatakan bahawa cinta kasih manusia dipengaruhi oleh dua sumber, iaitu akal budi dan nafsu. Saya meminta contoh, berkenaan situasi atau kondisi yang mana, akal budi mampu membentuk cinta, dan nafsu yang melahirkan cinta. Saya merasa agak kecewa dengan jawapan yang diberi, lantaran jawapan itu hanya berlegar berkenaan cinta lelaki dan perempuan. Saya berfikir, adakah cinta pada pemikiran dan paradigma anak Islam hari ini lebih memfokuskan tentang cinta lelaki dan perempuan sahaja?
Lantas, keadaan dan perjuangan demorkasi di Indonesia yang sangat terbuka menyebabkan saya membina kekuatan untuk menyatakan bahawa saya tidak bersetuju. Benar dan teramat benar. Saya menjadi pelik, sesempit inikah minda saudara seakidahku dalam membicarakan tentang cinta? patutlah seorang mahasiswi menjadi berang dan protes tatkala salah seorang pembentang mahasiswa tersebut menyatakan bahawa maksud frasa "Hidup Tanpa Cinta itu Kosong" umpama hidup tanpa pacar(cewek@cowok) adalah kosong tidak bermakna. Sekali lagi, saya tidak menyalahkan contoh yang diberikan, tetapi melalui jawapan yang diberikan, minda saya berputar ligar, adakah ini minda anak seagamaku? Aduh! patutlah ramai yang menyatakan CINTA itu haram.
Sedih dan terkesimanya saya. Lantas saya berkata pada diri;
1. Besarkan jiwamu. Cinta itu terlalu luas. Cinta pada Allah, Rasul, Ibu bapa, Keluarga, manusia sejagat, alam (haiwan, tumbuhan), sahabat, cinta pada keindahan, kebersihan, keamanan, cinta pada kebaikan dan pelagai jenis cinta yang mana, kerana cintalah manusia ada. Allah itu, bukankah juga bernama Al-Wadud?
2. Cinta itu mampu membina sebuah tamadun bangsa yang hebat dan gemilang andai generasinya dididik dengan penuh cinta. Ya, cinta yang bersumberkan dan berlandaskan serta beracuankan al-Quran.
3. Buka hatimu, isikan dengan cinta yang sangat indah. Cinta pada Allah. Cinta pada Rasulullah. Cinta pada ibu dan ayah. Cinta pada makhluk Allah yang lainnya.
Teringat saya tentang pembahasan cinta oleh Said Hawa dalam karangannya. Terimbau saya definisi cinta oleh Prof. Hamka. Terlintas juga makna cinta oleh Aristotle. Hmmm. Lain orang, lain pandangannya.
***********
"Ya Allah,
Penuhkanlah hati ini dengan cinta-Mu,
agar ana tidak memandang sesuatu selain-Mu...
Isikanlah hati ini dengan cinta-Mu,
agar ana tidak mendamba dan mengharapkan sesuatu selain-Mu..."
-Mujahidah Solehah... Menghayun Langkah GAGAH
Menuju Mardhatillah...-
No comments:
Post a Comment