INGATAN BUAT KITA YANG SERING TERLUPA
KL 29 Okt 11: Seorang pensyarah di sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di Lembah Klang berusia 50-an diberitakan mencabul seorang pelajar perempuan dalam biliknya di universiti berkenaan, kelmarin. Lebih keji, pensyarah itu didakwa cuba memaksa pelajar berusia 23 tahun berkenaan melakukan aksi ringan-ringan dengan mengumpan untuk meluluskan pelajar itu dalam peperiksaan selepas mangsa enggan melayani kehendak seksualnya.
Bagaimanapun, keengganan mangsa memenuhi permintaannya menyebabkan pensyarah itu mula bertindak kasar dengan meraba serta mencium gadis terbabit menyebabkan berlaku pergelutan dalam bilik berkenaan. Dalam kejadian jam 3.30 petang itu, mangsa bernasib baik apabila berjaya keluar dari bilik pensyarah berkenaan sebelum membuat aduan kepada pensyarah lain dan kemudian membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, di sini.
Sumber berkata, kejadian bermula ketika mangsa mahu ke bilik pensyarah berkenaan bagi menghantar tugasan yang diberikan.
“Namun, dia terserempak lelaki itu di luar bilik sebelum mangsa diberikan kunci dan diarah menunggu di dalam bilik itu.
“Pensyarah itu muncul kira-kira 10 minit kemudian. Sebaik masuk ke biliknya, pensyarah berkenaan terus memegang pipi mangsa sebelum duduk di kerusinya,” katanya.
Beliau berkata, mangsa yang bingung dengan tindakan itu memberitahu mahu menghantar tugasan. "Bagaimanapun, pensyarah itu mendakwa tidak mahukan tugasan berkenaan sebaliknya memberitahu mahukan benda lain,” katanya.
Sumber berkata, mangsa yang tidak faham kemudian bertanya apa yang dimahukan pensyarahnya itu.
“Dengan bersahaja, pensyarah itu bangun dan mengunci pintu bilik sebelum menarik tangan mangsa serta memeluknya. Lelaki terbabit kemudian memberitahu mahu mencium mangsa.
“Mangsa cuba menolak dengan baik, namun lelaki itu terus meraba badannya walaupun dia merayu tidak diperlakukan demikian,” katanya.
Katanya, mangsa yang bengang dengan tindakan itu memarahi pensyarah terbabit.
“Difahamkan, lelaki itu dengan bersahaja mengumpan untuk meluluskan mangsa jika memenuhi kehendak seksualnya,” katanya.
Biarpun diumpan dengan keputusan cemerlang, mangsa masih berkeras menolak pelawaan lelaki itu menyebabkan berlaku pergelutan antara mereka. Pelajar terbabit bernasib baik kerana berjaya keluar dari bilik sebelum membuat aduan kepada pensyarah dan kakitangan universiti berkenaan. Mangsa yang trauma dengan insiden itu kemudian tampil membuat laporan di IPK Kuala Lumpur, selepas dinasihatkan rakan, pensyarah lain dan keluarganya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Operasi dan Risikan) Kuala lumpur, Asisten Komisioner Khairi Arasa ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian berkenaan.
Katanya, siasatan lanjut sedang dilakukan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan.
**********************
Astaghfirullah. Ya ALLAH. Saat saya membaca laporan akhbar tersebut, rasa sebak, geram, marah, sedih, kecewa bercampur baur. Ya ALLAH, Kemanakah hilangnya sifat memuliakan dan menghormati wanita dalam diri lelaki hari ini. Lantas, satu nama yang terlintas diminda saya. Nama yang mengundang rasa sebak didada. Muhammad Bin Abdullah. Hati saya merintih bila mengenangkan betapa wanita hari ini seperti tiada nilai dan kemuliaan. Menitis air mata saya ketika saya mengenangkan betapa di zaman Rasulullah dan para sahabat, wanita begitu dijaga dan dihormati. Terasa indahnya ketika maruah wanita itu dijaga dan pelihara oleh kaum Muslimin.
Wahai Kaum Adam!
Kalian sering menyatakan bahawa idola kalian adalah Rasulullah.
Lantas, saya ingin bertanya.
Sejauhmanakah anda menghormati kaum wanita?
Apakah bukti kalian menghormati kaum yang sering dikatakan lemah ini?
Tahukah anda menghormati dan memuliakan wanita itu adalah sifat yang paling terserlah dalam diri Qudwah yang menjadi idola kalian dan juga saya?
Wahai Kaum Adam!
Sering terdengar ditelinga ini kalimat dan bicara dari kalian "perempuan...biasalah...lemah''
Benar... Memanglah benar kaumku ini makhluk yang lemah dari fizikalnya.
Namun sedarkah kalian wahai kaum adam,
Siapakah yang bertarung nyawa demi melahirkan kalian yang 'hebat' itu?
Siapakah yang memendam rasa bersekang mata berjaga malam
Ketika kalian yang 'gagah' itu merengek demam?
Wahai Kaum Adam...
Janganlah disalahkan wanita andai kaumku ini gagal menjadi wanita yang mulia
Janganlah dituding andai kami gagal menggalas amanah
Janganlah... Kerana kami ini hnanyalah insan yang diamanahkan menjadi tanggungjawab kalian...
Bagaimana acuan yang kalian bentuk, begitulah hasil yang kami terima...
Wahai Kaum Adam,
Andai kalian tahu kisah ini, biarlah kumengulanginya agar menjadi peringatan.
Andai ada diantara kalian yang belum mengetahuinya,
Maka izinkanlah kumengkhabarkanya.
Bukan niat hati untuk mencabar ego kalian
Tidak terlintas diminda untuk menggugah kedudukan kalian.
Sesungguhnya kisah ini tetap tidak akan pernah menggugah martabat kalian.
Jangan pernah bimbang kerana kaumku menyedarinya dan cukup memahaminya.
Bukankah itu perintah Islam? "Ar-Rijal Qawwamuuna 'alannisa'?"
Kerana itulah diri ini terjentik rasa ingin menyatakan sebuah kebenaran..
Wahai Kaum Adam,
Ingatkah lagi kisah seorang pemuda dan seorang wanita...
Ketika pemuda itu berehat dibawah sepohon pokok setelah dikejar oleh tentera pemerintahnya yang zalim, pemuda itu melihat 2 wanita yang cuba untuk memberi minum pada haiwan ternakannya. Atas dasar perikemanusiaan, pemuda tersebut menolong 2 wanita yang tidak berupaya mengambil air dari perigi itu untuk memberi minum pada haiwan ternakan mereka. Setelah itu, Wanita tersebut kembali kerumah dan menceritakan kisah pemuda yang baik hati dan rasa meyatakan simpatinya terhadap pemuda itu. Ayah wanita tersebut kemudiannya meminta anaknya itu memanggil pemuda itu.
Wahai Kaum Adam...
Bukan kebaikan atau kemurahan hati seorang lelaki untuk menolong kaum wanita yang ingin saya ceritakan.
Namun apa yang ingin dikongsikan adalah tentang akhlak dan adab seorang lelaki dalam menjaga dan memuliakan wanita.
Ketika pemuda tersebut bersetuju menemui ayah wanita itu, pemuda itu menuruti dan berjalan dibelakang wanita tersebut. Ketika kain wanita tersebut tersingkap sedikit kerana ditiup angin, pemuda itu lantas menyatakan pada wanita tersebut untuk berjalan dibelakangnya dan meminta agar membiarkan dirinya untuk berjalan dihadapan.
Wanita itu hanya perlu menunjukkan arah kerumahnya...Subhanallah.
Wahai Kaum Adam...
Tahukah kalian.. siapakah lelaki hebat itu?
Dialah Nabi Musa alaihissalam, dan wanita mulia itu adalah isteri yang akhirnya menjadi pendokong utama perjuangan baginda menghadapi firaun laknatullah.
Wahai Kaum Adam...
Ku selitkan lagi buatmu tentang sebuah peristiwa...
Ketika hendak menunaikan Qiamullail pada satu malam, Rasulullah minta izin kepada isterinya, Aisyah.
"Bolehkah aku menemui Tuhanku dengan melakukan Solat malam?”
Aisyah satu-satunya isteri Rasulullah yang dinikahi saat masih gadis, dengan manja menyahut, “Tapi aku tak boleh berpisah denganmu.”
Wahai Kaum Adam...
Dapatkah kalian menjangka jawapan seorang Kekasih Allah?
Ya, Kekasih Allah itu menjawab cinta Aisyah itu dengan memegangi kaki Aisyah saat ia bersujud sehinggalah Aisyah tertidur kembali.
Wahai Kaum Adam...
Tidakkah ia sebuah contoh luar biasa tentang bagaimana kasih sayang dan penghormatan seorang suami kepada isterinya, seorang wanita?
Kerana itu juga, saya ingin bertanya, teringatkah lagi peristiwa diakhbar mengenai seorang isteri yang dibelasah oleh seorang suami hanya kerana mengejutkannya untuk menunaikan solat subuh?
Wahai Kaum Adam...
Itu kisah yang saya kongsikan dan ia hanyalah kisah antara ribuan kisah yang telah menjadi lipatan sirah yang mulia.
Jika dikurniakan kesempatan, cerita-cerita itulah yang akan saya ceritakan buat kalian dan generasi kita yang akan datang.
Namun saat ini, ingin kumenyatakan bahawa kisah itu kisah lalu, sedang hari ini adalah REALITI.
Kerana itulah diri ini bertanya pada kalian...
Atas cara apakah kalian memuliakan INSAN BERNAMA WANITA?
Kalian...
Sebagai Ayah.....
Sebagai Suami...
Sebagai Anak...
Sebagai Saudara Lelaki...
Sebagai Pemimpin...
Sebagai Rakan sejawat...
Sebagai Rakan sepengajian...
Sebagai GURU...
Kepada 'Ar-Rijal' yang saya kasihi kerana ALLAH atas landasan saudara seagama, Sudah sejauh mana rasa hormat kalian kepada wanita? Ingat, ingat dan ingatlah bahawa kedudukan mulia hanya akan dapat dimiliki seorang wanita ketika kalian dapat melindungi dan meletakkan kaum wanita pada tempat dan posisi selayaknya baik sebagai anak, remaja, suami terlebih lagi sebagai seorang Ayah. Satu ingatanku, biarlah kemuliaan itu adalah kemuliaan yang dipandang disisi Agama, bukan kemuliaan pangkat dan darjat semata.
Andai anda yang membaca ini bukanlah tergolong dalam kalangan Lelaki yang tidak menghargai dan menghormati Wanita, maka sampaikanlah pada mereka dan insafilah amanah kalian ini. Ingatlah, Jangan nafikan! Kerana saya memerhati dan saya memahami hakikat realiti ini. Adakah anda lupa? saya juga adalah seorang wanita Muslimah?
-Mujahidah Solehah, Tidak Gundah Mengharungi Mehnah,
Tidak Resah Melepaskan Dunia Dari Hatinya-
-A.Q.R, Jln Tgk Di Blang, Banda Aceh.-