Followers

::Wahai Pemilik Ilmu::

"The beauty of a woman is not in the clothes she wears, The figure she carries, or the way she combs her hairs. The beauty of a woman must be seen from her eyes. Because that is the doorway to her heart, The place where love resides. The beauty of a woman is not the facial mole, But true beauty in a woman is reflected in her soul. It is caring that she lovingly gives, The passion that she shows. The beauty of a woman, With passing years-only grows..."

Monday, February 14, 2011

Khutbah Terakhir Rasulullah SAW: Mauidzah buat KITA!


Khutbah terakhir Rasulullah SAW

Ketika Rasulullah s.a.w mengerjakan ibadah haji yang terakhir, maka pada 9 Zulhijjah tahun 10 hijarah di Lembah Uranah, Bukit Arafah, baginda menyampaikan khutbah terakhirnya di hadapan kaum Muslimin;

“Wahai manusia, dengarlah baik-baik apa yang hendak kukatakan, Aku tidak mengetahui apakah aku dapat bertemu lagi dengan kamu semua selepas tahun ini. Oleh itu, dengarlah dengan teliti kata-kataku ini dan sampaikanlah ia kepada orang-orang yang tidak dapat hadir disini pada hari ini.

“Wahai manusia, sepertimana kamu menganggap bulan ini dan kota ini sebagai suci, anggaplah jiwa dan harta setiap orang Muslim sebagai amanah suci. Kembalikan harta yang diamanahkan kepada kamu kepada pemiliknya yang berhak. Janganlah kamu sakiti sesiapapun agar orang lain tidak menyakiti kamu lagi. Ingatlah bahawa sesungguhya kamu akan menemui Tuhan kamu dan Dia pasti membuat perhitungan di atas segala amalan kamu. Allah telah mengharamkan riba, oleh itu, segala urusan yang melibatkan riba dibatalkan mulai sekarang”.

“Berwaspadalah terhadap syaitan demi keselamatan agama kamu. Dia telah berputus asa untuk menyesatkan kamu dalam perkara-perkara besar, maka berjaga-jagalah supaya kamu tidak mengikutinya dalam perkara-perkara kecil”.

“Wahai manusia sebagaimana kamu mempunyai hak atas isteri kamu, mereka juga mempunyai hak ke atas kamu. Sekiranya mereka menyempurnakan hak mereka ke atas kamu, maka mereka juga berhak diberikan makan dan pakaian, dalam suasana kasih sayang. Layanilah wanita-wanita kamu dengan baik dan berlemah-lembutlah terhadap mereka kerana sesungguhnya mereka adalah teman dan pembantu kamu yang setia. Dan hak kamu atas mereka ialah mereka sama sekali tidak boleh memasukkan orang yang kamu tidak sukai ke dalam rumah kamu dan dilarang melakukan zina.

“Wahai manusia, dengarlah bersungguh-sungguh kata-kataku ini, sembahlah Allah, dirikanlah solat lima waktu, berpuasalah di bulan Ramadhan, dan tunaikanlah zakat dari harta kekayaan kamu. Kerjakanlah ibadah haji sekiranya kamu mampu. Ketahuilah bahawa setiap Muslim adalah saudara kepada Muslim yang lain. Kamu semua adalah sama; tidak seorang pun yang lebih mulia dari yang lainnya kecuali dalam Taqwa dan beramal soleh.

“Ingatlah, bahawa kamu akan menghadap Allah pada suatu hari untuk dipertanggungjawabkan diatas segala apa yang telah kamu kerjakan. Oleh itu, awasilah agar jangan sekali-kali kamu terkeluar dari landasan kebenaran selepas ketiadaanku.

“Wahai manusia, tidak ada lagi Nabi atau Rasul yang akan datang selepasku dan tidak akan lahir agama baru. Oleh itu wahai manusia, nilailah dengan betul dan fahamilah kata-kataku yang telah aku sampaikan kepada kamu. Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya, nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya. Itulah Al-Qur’an dan Sunnahku.

“Hendaklah orang-orang yang mendengar ucapanku, menyampaikan pula kepada orang lain. Semoga yang terakhir lebih memahami kata-kataku dari mereka yang terus mendengar dariku. 

Saksikanlah Ya Allah, bahawasanya telah aku sampaikan risalah-Mu kepada hamba-hamba-Mu.”

 ************************************

 YA RASULULLAH!

Alangkah indahnya hidup ini
Andai dapat kutatap wajahmu
Kan pasti mengalir air mataku
Kerna pancaran ketenanganmu

Alangkah indahnya hidup ini
Andai dapat kukucup tanganmu
Moga mengalir keberkatan dalam diriku
Untuk mengikut jejak langkahmu

Ya Rasulullah Ya Habiballah
Tak pernah kutatap wajahmu
Ya Rasulullah Ya Habiballah
Kami rindu padamu
Allahumma Solli Ala Muhammad
Ya Rabbi Solli Alaihi Wasallim

Alangkah indahnya hidup ini
Andai dapat kudakap dirimu
Tiada kata yang dapat aku ucapkan
Hanya tuhan saja yang tahu

Kutahu cintamu kepada umat
Umati kutahu bimbangnya kau tentang kami
Syafaatkan kami
Alangkah indahnya hidup ini
Andai dapat kutatap wajahmu

Kan pasti mengalir air mataku
Kerna pancaran ketenanganmu
Ya Rasulullah Ya Habiballah
Terimalah kami sebagai umatmu
Ya Rasulullah Ya Habiballah
Kurniakanlah syafaatmu

Nuhibbuka Ya Rasulullah!

Wahai Jiwaku!



سُوۡرَةُ الفَجر
يَـٰٓأَيَّتُہَا ٱلنَّفۡسُ ٱلۡمُطۡمَٮِٕنَّةُ (٢٧) ٱرۡجِعِىٓ إِلَىٰ رَبِّكِ رَاضِيَةً۬ مَّرۡضِيَّةً۬ (٢٨) فَٱدۡخُلِى فِى عِبَـٰدِى (٢٩) وَٱدۡخُلِى جَنَّتِى (٣٠

" Hai jiwa yang tenang. (27) Kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang puas lagi diridhai-Nya. (28) Maka masuklah ke dalam jama’ah hamba-hamba-Ku, (29) dan masuklah ke dalam surga-Ku. (30) "
 
***********************************
Wahai jiwaku, 
aku bersumpah,
Sesungguhnya hendaklah kamu menjatuhkan musuh
dari kudanya
Sekalipun semua manusia lari meninggalkan kamu seorang diri
Namun hendaklah kamu terus menggempur musuhmu
Sehingga mereka rebah berlumuran darah
Atau mereka lari meninggalkan medan perang.

Kenapakah masih ada manusia yang tidak mencintai syurga

Sehingga ada yang hendak lari dari medan perang.

Wahai jiwaku,
Telah lama engkau hidup di dunia ini
Sedangkan engkau tidak lebih hanyalah dari setitis mani
Apalah yang hendak dirunsingkan jika engkau mati dalam perjuangan ini…

SYAIR ABDULLAH B. RAWAHAH
Panglima Perang III
Perang Muktah


 *********************************


Saidina Ali karamallahu wajhah pernah berkata:
“ Beruntunglah orang yang hari ini lebih baik dari semalam.
Terpedayalah orang yang hari ini sama seperti semalam .
Dan calakalah orang yang hari ini lebih buruk dari semalam.”


***************************************
Berkata Imam Ghazali:
“ Yang paling jauh bukannya bintang, mentari pun bukan jua,
tetapi adalah masa yang berlalu dan tidak akan kembali.
Kelmarin yang luput menjadi secangkir kenangan
Semalam yang terluput mengukir sesalan
Yang ada hanya hari ini dan akan datang
Gunakanlah hari ini dengan sebaiknya
Kerana esok bukan tentu milik kita
Sedangkan semalam telah pergi buat selamanya..”


 ***********************************



Friday, January 28, 2011

Ulum Al-Quran: Al-Quran & Hadith Sebagai Sumber Tamadun (1)


TAKRIF TAMADUN

Terdapat pelbagai pendapat dalam mentakrifkan perkataan tamadun. Namun dari sudut etimologinya, tamadun berasal dari perkataan Arab iaitu tamaddun, yang terbit dari kata dasar maddana, yang bermaksud pemilihan sesuatu lokasi sebagai tempat tinggal, atau membangun sesuatu kawasan sehingga menjadi suatu kota atau Bandar.[1] Hal ini bermakna tamadun adalah suatu fenomena perubahan daripada corak kehidupan yang mundur kepada corak kehidupan yang lebih maju dan berpusat di kota atau Bandar.

Pendapat kedua pula menyatakan bahawa perkataan tamaddun itu berasal dari perkataan din, yang menjadi kata dasar istilah madinah, yang berkait rapat dengan kata kerja maddana yang bermaksud membina, mendirikan Bandar atau kota, atau sampai ke taraf beradab dan bersopan.

Selain daripada itu, Ibnu Khaldun dalam pandangannya menyatakan bahawa tamadun bermaksud madani yang berasal dari perkataan al-Madaniyah yang membawa makna organisasi sosial. Ibnu Khaldun juga meyakini bahawa manusia adalah bertamadun secara tabii (al-insan madani bit-tabi’i, iaitu secara asalnya adalah makhluk sosial). Walaubagaimanapun, ketika membincangkan tentang sifat masyarakat dalam kalangan manusia, Ibnu Khaldun telah menggunakan perkataan umran yang bermaksud segolongan penduduk yang menetap dalam suatu kawasan yang makmur dan selamat, berbeza daripada keadaan yang kering tandus serta terbiar. Selain itu, umran juga bermaksud suatu dasar yang membayangkan perngertian suatu binaan (bunyan atau bangunan, atau kerja mendirikan bangunan). Secara ringkasnya Ibnu Khaldun meletakkan perkataan tamadun memiliki makna yang hampir sama dengan perkataan-perkataan al-madani, umran dan bunyan.[2]

Namun demikian, istilah-istilah yang lebih banyak digunakan adalah perkataan hadharah (civilization) dan thaqafah (culture). Perkataan hadharah secara kebiasaanya diterjemah sebagai tamadun, malah dianggap seerti dengan tamadun sedangkan perkataan thaqafah diterjemahkan  adalah sebagai kebudayaan. Secara harfiahnya, perkataan hadharah bermaksud berada di tahap yang maju, dan lawannya sebagai badawah, yang bermakna semakin jauh dari kemajuan. Oleh itu, masyarakat hadhari adalah mereka yang menetap di kawasan Bandar (hadharah), sedangkan masyarakat badwi adalah mereka yang tinggal di kawasan kampung atau pedalaman badiyah. Berkenaan tentang thaqafah pula, ia membawa makna kebudayaan iaitu sauatu cara berfikir yang mempu mempengaruhi keseluruhan cara hidup manusia. Ia meliputi aspek sosial, ekonomi, politik, kesenian, ilmu pengetahuan, dan sebagainya. Maka, apabila cara berfikir dan cara hidup sesuatu masyarakat itu berkembang maju, masyarakat tersebut dianggap telah mencapai tamadun dimana Bandar telah menjadi ciri asasi tamadun sejak dahulu sehingga sekarang.[3]


PERINGKAT TAMADUN

1.            Tamadun Iman
-    Tamadun Iman terbahagi kepada 4 tahap iaitu bermula dari zaman para Nabi, para sahabat, para salihin dan zaman para khalifah.

2.            Tamadun Ilmu[4] 
- Tamadun Ilmu pula terbahagi kepada dua bahagian iaitu Tamadun Ilmu Naqliyah dan Tamadun Ilmu Aqliyah. Ilmu Naqliyyah adalah ilmu yang berasaskan wahyu daripada 2 pegangan utama umat Islam, iaitu Al-Quran dan Sunnah. Selain itu, Ilmu Naqliyyah juga dikenali dengan nama ilmu Syar’iyyah yang meliputi Ilmu Al-Quran, Ilmu Hadith, Ilmu Tauhid(Usuluddin), Ilmu fiqh, Ilmu Tasawuf dan ilmu-ilmu lain seperti Sirah Nabawiyyah dan Nahu(Bahasa Arab).
-  Ilmu ‘Aqliyyah pula merupakan suatu bentuk ilmu yang bersumberkan akal yang kini telah dibahagi kepada sains tabii(natural sciences), sains sosial(social sciences), dan sains kemanusiaan(human sciences). Antara cabang ilmu akal ini adalah ilmu perubatan, ilmu astronomi, geologi, matematik, sosiologi, psikologi, falsafah dan sebagainya.
-  Hasil perkembangan Tamadun Ilmu Naqliyyah telah memujudkan 5 cabang ilmu utama iaitu Ilmu Tafsir, Ilmu Hadith, Ilmu Kalam, Ilmu Fiqh dan Ilmu Tasawuf.

3.            Tamadun Amal 
- Tamadun Amal terbahagi kepada dua bahagian iaitu Fardhu Ain dan Fardhu Kifayah dimana Fardhu Ain meliputi dua perkara utama iaitu konsep ibadah dan prinsip akhlak.
-  Fardhu Kifayah pula merangkumi sistem pendidikan, sistem sosial, sistem ekonomi dan sistem politik.


CIRI-CIRI TAMADUN
Terdapat beberapa pandangan sarjana Barat dan Islam dalam meletakkan cirri-ciri tamadun :[5]
1.         Jurji Zaydan:
            a- Negara dan Pemerintahan
            b- Bandar-bandar Islam
            c- Stratifikasi sosial
            d- Sains dan Pengajian Arab
            e- Bangunan-bangunan Islam
            f- Kesenian Islam

2.         Hasan Husni Abdul Wahab:
            a- Bandar-bandar Islam
            b- Bangunan dan seni bina Islam
            c- Kehidupan ekonomi           
            d- Komposisi kaum dan penduduk Bandar
            e- Sains dan Pendidikan
            f- Kesenian Islam

3.         Jamaluddin al-Surur:
            a- Negara dan kerajaan Islam
            b- Kegiatan ekonomi
            c- Kehidupan sosial
            d- Perkembangan intelektual

4.         DR. M.A.J Beg:
            a- Seni bina
            b- Kesenian
            c- Bandar dan kota raya
            d- Sains dan ilmu pengetahuan

5.         Darcy Ribeiro:
            a- Penciptaan teknologi pertanian
            b- Pembahagian kerja dalam penternakan
            c- Pertumbuhan kota dan negara, wujudnya kelas sosial
            d- Penggunaan sistem pengairan bagi pertanian secara meluas
e- Penggunaan logam seperti tembaga dan gangsa, rekaan teknologi daripada besi yang membawa kepada penciptaan alat-alat baru, perkembangan kapal, penemuan mata wang, yang akhirnya memudahkan urusan perdagangan.
f- Revolusi perdagangan
g- Revolusi penternakan
h- Revolusi teknologi
i. Revolusi industri

Para sejarawan telah mengkaji kedudukan NEGARA sebagai suatu bahagian organisasi sosial yang penting. Iaitu sebuah negara yang menjaga kebajikan masyarakat, menguatkuasa undang-undang, membangun Bandar dan kota, menggalakkan kegiatan kesenian dan sebagainya. 

            Secara kesimpulan awal dapat dilihat bahawa tamadun menurut perspektif barat dan tokoh Islam moden, adalah tahap kemajuan dan perkembangan kebudayaan yang tinggi, yang bercirikan bentuk negara dengan pentadbiran yang tersusun, bercorak kehidupan Bandar, perkembangan sains, teknologi dan pendidikan, pembinaan monumen dan bangunan-bangunan besar, serta kegiatan kesenian.

            Tamadun Islam pula merupakan tamadun yang bersifat holistik(menyeluruh), di mana ia bukan saja harus merangkumi aspek spiritual dan moral, malah yang lebih utama ia hendaklah berpaksikan Iman dan Akidah yang sahih atau lebih mudahnya berteraskan IMAN, ILMU dan AMAL yang benar. Hal ini kerana,walaupun cirri-ciri material, fizikal dan intelektual menurut perspektif barat itu tidaklah ditolak secara mutlak, namun ia juga bukanlah segala-galanya.


[1] Dr. Abdul Rahman B. Haji Abdullah, Sejarah Dan Tamadun Islam, 2002, Pustaka Ilmi, Selangor, Halaman 181.
[2] Ibid, halaman 182.
[3] Op cit, halaman 182.
[4] Dr. Abdul Rahman B. Haji Abdullah, Sejarah Dan Tamadun Islam, 2002, Pustaka Ilmi, Selangor, halaman 216.
[5] Op cit, halaman 182 hingga 184.

Thursday, January 27, 2011

Ulum Hadith: Hadith Mudallas (1)

Pengertian Dari Segi Bahasa :
  • Kata nama ganti bagi kata dasar tadlis iaitu menyembunyikan kecacatan barang daripada pembeli.
  • Kata akar tadlis ialah al-dalas iaitu kegelapan atau percampuran dengan kegelapan sebagaimana yang disebutkan oleh kitab al-Qamus al-Muhit.
  • Seolah-olah perawi mudallis menyembunyikan kepada orang yang mahu mengetahui sesebuah hadith bermakna dia telah mengelapkan perkara itu dan jadilah hadith itu mudallas (digelapkan).
Dari Segi Istilah :
  • Menyembunyikan keaiban di dalam sanad
  • Memperelokkan zahirnya
Pembahagian Tadlis
  1. Tadlis al-Isnad
  2. Tadlis al-Syuyukh
Tadlis al-Isnad

Pandangan penulis yang paling sahih dan halus ialah takrif Imam Abu Ahmad bin Amar al-Bazzar dan Abu al-Hassan bin al-Qattan. Takrif tersebut ialah :

“Seorang perawi meriwayatkan hadith-hadith yang tidak pernah didengari daripada perawi yang dia ada mendengar daripadanya tanpa menyebut dengan jelas bahawa dia mendengar daripadanya”

Huraian takrif
  • Tadlis al-Isnad ialah seorang perawi yang telah meriwayatkan beberapa hadith daripada seorang perawi yang dia pernah mendengar daripadanya tetapi hadith yang ditadliskannya itu dia tidak mendengar secara langsung daripada perawi tersebut.
  • Sebenarnya dia meriwayatkannya daripada perawi yang lain daripada yang pertama tadi.
  • Bermaksud, dia telah menggugurkan perawi tersebut lalu meriwayatkan dengan lafaz yang diandaikan dia mendengar sendiri seperti ‘dia telah berkata’ atau ‘daripada’.
  • Bagaimanapun dia tidak menyatakan dengan jelas bahawa dia mendengar hadith itu daripada perawi tersebut.
  • Dengan sebab itu dia tidak berkata, ‘saya mendengar’, ‘telah menceritakan kepada saya’ ,supaya dia tidak menjadi seorang pendusta besar dengan sebab perbuatan itu.
  • Kadang-kadang perawi yang digugurkannya itu lebih daripada seorang.
Perbezaan dengan Hadith al-Irsal al-Khafiy

Al-Irsal al-Khafiy
  • Meriwayatkan daripada perawi hadith yang tidak pernah didengari daripada perawi itu dengan lafaz yang memberi kemungkinan dia mendengar.
  • Perawinya adalah daripada orang yang dia tidak pernah mendengar hadith daripadanya.
  • Ada mendengar juga beberapa hadith lain selain daripada hadis yang ditadliskannya.
  • Langsung tidak pernah mendengar hadith daripada ulama tersebut, baik hadith yang dimursalkannya atau hadith-hadith lain. Cumanya dia hanya hidup sezaman atau pernah bertemu sahaja.
Tadlis Al-Syuyukh

Seorang perawi meriwayatkan satu hadith yang didengarinya daripada ulama' lalu dia menamakannya, memberikan kunyah, menisbahkannya atau menyifatkannya dengan sesuatu yang ulama' itu tidak dikenali dengannya supaya tidak dikenali.

Contohnya :
Abu Bakar bin Mujahid, merupakan salah seorang imam qiraat berkata : Abdullah bin Abi Abdullah menceritakan kepada saya yang mana maksudnya ialah Abu Bakar bin Abu Daud al-Sajistani.

Hukum Tadlis

Hukum Tadlis al-Isnad adalah sangat makruh dan dicela oleh kebanyakan ulama’.Syu’bah adalah seorang ulama’ yang keras mencela tadlis sehingga ada beberapa celaan daripada beliau.Antaranya ialah,tadlis adalah saudara berdusta, katanya.

Manakala hukum Tadlis Taswiyah lebih makruh lagi sehingga al-Iraqi berkata : "Ia mencacatkan orang yang sengaja melakukannya".

Hukum Tadlis al-Syuyukh pula ialah lebih ringan hukum makruhnya daripada tadlis al-Isnad kerana mudallis tidak menggugurkan sesiapa. Ia dihukumkan makruh kerana mengabaikan perawi yang diriwayatkan daripadanya dan menyukarkan pendengar untuk mengetahuinya. Oleh itu dapat dikatakan bahawa keadaan makruh berbeza mengikut tujuan tadlis tersebut

Sebab-sebab yang Menyebabkan tadlis al-Syuyukh :
  • Perawi itu seorang yang dha'if atau tidak thiqah
  • Perawi itu telah lanjut usianya sehingga sekumpulan perawi yang lain juga mendengar hadith daripadanya selain dari perawi yang melakukan tadlis.
  • Perawi itu muda sehingga muridnya itu lebih tua daripadanya.
  • Terlalu banyak periwayatan daripada beliau. Oleh itu, perawi yang melakukan tadlis ini tidak mahu menyebutkan nama gurunya ini dengan satu cara.
Tiga Sebab Mengapa Tercelanya Perawi Tadlis
  • Dia telah mewahamkan bahawa dia mendengar hadis daripada perawi yang tidak didengarinya.
  • Dia meninggalkan cara periwayatan yang nyata dan menggunakan cara yang menimbulkan pelbagai kemungkinan.
  • Dia menyedari sekiranya dia menyebutkan perawi yang ditadliskannya tentu dia tidak akan disenangi.
Hukum Periwayatan Perawi Hadith

Ulama’ berbeza pendapat tentang penerimaan riwayat perawi tadlis. Dua pendapat yang masyhur ialah
1.Riwayatnya ditolak sama sekali walaupun dia menyatakan bahawa dia mendengar kerana tadlis itu sendiri merupakan tarjih. Pendapat ini dipegang oleh ulama’
2. Pendapat yang sahih mengemukakan perincian itu :
  • Jika dia menyatakan “ saya mendengar ” maka riwayatnya diterima iaitu beliau mengatakan saya mendengar atau sebagainya maka hadithnya diterima.
  • Jika dia tidak menjelaskan bahawa dia mendengar maka riwayatnya tidak diterima kerana jika dia mengatakan “ daripada ” dan sebagainya maka hadithnya tidak diterima.
Bagaiamanakah Tadlis Dapat Dikenalpasti?

Tadlis dapat dikesan melalui dua perkara :
  • Pengakuan perawi mudallis sendiri apabila ditanya sebagaimana yang berlaku kepada Ibn ‘Uyainah.
  • Keterangan oleh mana-mana imam dalam bidang ini berdasarkan kepada pengetahuannya yang diperolehi melaui kajian dan penyelidikan.
Kitab-kitab yang Terkenal Tentang Tadlis dan Perawi-perawi Mudallis

Antara kitab –kitab yang paling masyhur ialah :
  1. Tiga buah kitab yang ditulis oleh al-Khatib al-Baghdadi, satu kitab tentang senarai mudallis iaitu al-Tabyin Li Asma’ al-Mudallisin dan dua buah lagi tentang bentuk-bentuk tadlis.
  2. Al-Tabyin Li Asma’ al-Mudallisin oleh Burhan al-Din bin al-Halabi
  3. Ta’rif Ahl al-Taqdis Bi Maratib al-Mausufin bi al-Tadlis oleh Hafiz Ibn Hajar.

Sunday, January 2, 2011

GERAK GEMPUR NISA' - OPS CEGAH MAKSIAT TAHUN BARU 2011

Lokasi : Teluk Cempedak dan Terminal Bas Makmur, Kuantan
Tarikh : 31 Disember 2010
Masa : 8.00 Malam

Antara poster risalah tahun baru 2011 esklusif dari NISA' KUANTAN.

Kerjasama daripada NGO lain - UNIT AMAL PAHANG & ABIM

Perjalanan skuad Nisa' Kuantan ke lorong-lorong belakang batu2 besar di 
Teluk Cempedak, Kuantan.

Antara skuad Nisa' yg berada di Teluk Cempedak dengan kerjasama JAIP.
Selain itu, 1 group Nisa' lagi bergerak di Terminal Bas Kuantan.
JOM CEGAH MAKSIAT! JOM CEGAH JENAYAH!

 "Ya Allah... Semoga sedikit usaha dakwah ini menjadi bekalan sebagai bukti di hadapan-Mu
bahawa hati-hati ini pernah berada dalam jalan-Mu"


Thursday, December 16, 2010

"Sanah Helwa Ya Ummi" (2)

BismilALLAHI Ar-RAHMAN Ar-RAHIM

Salaam dan selawat serta pujian buat Rasul tercinta, Muhammad HabibuLLAH, ahlul bait baginda, para sahabat, tabi'in, tabi' tabi'in, para salafus soleh dan seterusnya para pejuang agama yang bertebaran dibumi ALLAH juga kepada mereka yang bergelar ibu.

Ingin kulakar sebuah puisi. Ianya tidaklah seindah mana namun cukup buat menyatakan bahawa kami terlalu menghargaimu.

Andai dihamparkan seluas bumi,
Masih tidak mampu mengukur betapa luasnya kasih dan cinta anak-anakmu ini 
Terhadap seorang wanita yang telah mengandungkan, melahirkan dan membesarkan kami.
Mak, Jasamu terlalu murni.

Andai diselam lautan terdalam,
Masih tidak mampu menyentuh dasar lautan kasih yang tersulam.
Memandang wajahmu,
Seumpama ku temui cahaya dikala gelapnya suram.
Mak, hadirmu adalah tanda kasih Ar-Rahman.

Andai jua di lakar sebuah keindahan,
Masih tidak mampu menggambarkan betapa bahagia hati anak-anakmu ini
Memiliki seorang ibu sepertimu.

Andai diceritakan sebuah kisah,
Masih tidak mampu membalas segala jasa dan pengorbananmu menjadi seorang ibu 
kepada anak-anakmu.
Hatta sebuah puisi masih tidak mampu mentafsirkan betapa halusnya rasa anak-anakmu ini terhadap seorang ibu yang telah banyak berkorban demi melihat kebahagiaan dan kejayaan anak-anaknya.

Mak, 
Masih teringat bait kata-kata keramatmu 2 tahun lalu ketika berbicara tentang jasa yang perlu dibalas. Kata-kata yang mak tuturkan setelah melihat filem yang mengisahkan seorang anak derhaka;
"Mak gembira jika anak-anak mak berjaya pada masa hadapan. Biarpun duit tidak dikirimkan. Atau khabar tidak ditanyakan. Atau juga mungkin akhirnya mak akan dihantar kerumah orang-orang tua. Tidak mengapa, yang penting mak tahu anak mak yang telah mak lahirkan dan besarkan telah menjadi orang yang berjaya. Tapi, mak akan marah sekiranya di masa hadapan nanti, jika anak mak hadapi masalah atau kesempitan hidup, perkara itu disembunyikan dari pengetahuan mak.. 
Tiada harga buat kasih sayang mak"

Mak, 
Tahukah hati yang mendengar ini seumpama meletup dan terbakar sebelum sempat bicara itu ditamatkan. 
Tahukah dirimu wahai ibu yang telah menumpangkan anakmu dirahimmu yang mulia dan tanganmu yang telah mengasuh serta mendidik anakmu sehingga dewasa,
Tidak sekali terlintas untuk membiarkan dirimu hatta tidak sedetik rasa tergamak melihat air matamu tumpah kerana kekhilafan anakmu ini, jauh lagi untuk menyisihkanmu dari kehidupan.

Andai diminta sebuah pembuktian,
Akan kukorbankan segalanya demimu ibu.
Namun satu yang tidak mungkin jadi tandingan jua pilihan.
Jangan diminta untuk berpaling dari ALLAH dan Rasul.

Mak, Pa,
Meskipun namamu tiada dalam lipatan sejarah dunia,
Walaupun teratak yang kalian sediakan tidak seindah mahligai istana,
Biarpun dirimu tidak dikenali manusia lainnya,
Biarlah...
Asal kami tahu, kalian adalah anugerah paling mulia yang ALLAH berikan.


Dengan seluruh kekuatan iman dan amal, ingin kuseru segenap alam,
"Mak...
Kami bangga dan bersyukur menjadi anakmu"


Titipan Khas buat mak tercinta,
Ruhaema Binti Parukai...

"YA ALLAH, 
Ampunkanlah dosa-dosa ibu bapa kami.
Kasihilah ibu bapa kami dan sayangilah mereka seperti mana mereka telah menyayangi dan mendidik kami sejak kecil.
Kurniakanlah mereka kesejahteraan hidup didunia dan akhirat"
Amiin.


Wednesday, December 15, 2010

"Sanah Helwa Ya Ummi"

Bismillah wa hamdan shukran liLLAH.

Salam Mujahadah.

Sekadar perkongsian pengalaman. Andai ada sedikit pengajaran, simpan dan amalkan. Jika hanya lembaran kosong tanpa kebaikan, abaikanlah.. Semoga beroleh keberkatan.

Hari ini (15.12.2010) hari lahir mak yang ke 46 tahun. Sepakat dengan pa', kakk sulung dan 3 adik yang lain untuk memberi yang istimewa. Kakk cadang nak masak mee kuah Johor sebagai menu utama. Namun, hari ini juga kakak perlu ke klinik sebab bimbang fetus dalam kandungan terkesan dengan athma yang menyerang. Pa', Mak, kakak, saya dan rian menaiki si 'waja putih' dengan pelan asal untuk ke klinik, membeli pesanan ustazah yani, dan beberapa bekalan untuk dibawa balik ke Kuantan. Untuk dipendekkan cerita, setelah keluar masuk pasar sayur kemudian pasar ikan yang merupakan pasar ikan terbesar dan ter'canggih' di Malaysia, akhirnya kami mengambil keputusan untuk kembali ke rumah. Namun, bila perancangan ALLAH rupanya tidak selari dengan perancangan manusia, redha adalah jalan terbaik dalam memanifestasikan rasa kerendahan hati seorang hamba.

Ingin dijadikan kisah, si'waja putih' kena dimasukkan ke dalam bengkel kerana beberapa masalah teknikal. Akibatnya, kami terpaksa menunggu bersama-sama di dalam bengkel kereta kakk sepupu sehinggalah selepas waktu Isyak. Dan yang lebih mengharukan, 'chef johor' (gelaran buat kakk yang berkahwin dengan abang ipar yang berasal dari Johor) ditimpa demam panas. Maka, setibanya dirumah, 'chef Pahang' (gelaran buat saya pula kerana belajar di Pahang) inilah yang terpaksa mengambil alih tugas menyediakan menu utama. Sungguh saya tidak pernah memasak makanan ini. huhu. Kakk dengan bangganya menyediakan cara-cara memasak, dan sekelip mata, kakk pun tidur tanpa pesan. Apa lagi, saya dengan kuasa 'chef utama' dengan bantuan pembantu2 terlatih (mak, acik rosi, dan adik) akhirnya berjaya menyediakan cocktail, kek, dan mee kuah Johor ala-ala Pahang. huhu. Walaupun menunya tidaklah pelbagai, namun yang membanggakan kru kerja dapur hari ini, adalah, kami berjaya memasak dalam masa 1jam 30 minit. =)

Walaupun juga menunya hanya 3, namun yang paling menggembirakan adalah inilah kali pertama setelah 3 tahun kami adik beradik bersaudara berkumpul semula. Walaupun mak hanya kata dalam nada biasa, namun impaknya pada hati yang mendengar ini, terlalu dalam. Sedalam Laut China Selatan. Lebih dalam dari itu. Apa yang melucukan, gimik yang agak kurang menjadi. Masa nak buat suprise dengan kek, saya adalah orang yang paling bersemangat. Bangunkan kakk dan rian yang sedang tidur untuk menjayakan gimik. Dengan keadaan mamai, saya meminta rian yang mamai itu menekan punat key board kod hari jadi dalam semua bahasa. Jahatnya saya. Tapi inilah usaha saya. Memandangkan tiupan lilin tiada dalam kamus budaya hidup seorang muslim, saya mengambil ikhtiar untuk memberikan persembahan terbaik buat mak. Maka, di kegelapan malam yang sudahpun menjengah jam 10.30 malam, kami 6 beradik memberikan persembahan yang agak 'sumbang' dihadapan penonton VVVVIP yang terdiri daripada mak, pa', 4 mak saudara, 1 pakcik saudara (adik bongsu mak) yang berjaya dikumpulkan.

Tetapi, yang sedihnya, sebenarnya mak dah tahu pun suprise tu lebih awal sebab kek tu saya tersimpan di tepi dapur dan mak dah terlihat pun. =( Apapun, kesudahannya, kami semua gembira... =)


Wednesday, November 10, 2010

"IKHLASLAH... SEMOGA DIKURNiAKAN PENGAKHIRAN YANG INDAH"

                            



BismiLLAH wa Hamdan Shukran liLLAH.

Salam Mujahadah liLLAH.
Salam Imtihan.

Warkah e-mail yang ana terima dari sahabat. Kita muhasabahkan bersama. Semoga ada berkatnya.

Kini, kita mendapati mahasiswa seolah-olah beruzlah dan mengasingkan diri dengan mengulang kaji dan menghafal fakta-fakta, teori-teori dan nota-nota penting bagi menghadapi peperiksaan.

Pada waktu seperti ini juga, barulah kita dapat melihat seolah-olah mahasiswa begitu komited dengan tradisi keilmuan. Mereka juga seolah-olah begitu ikhlas mengamalkan budaya ilmu dalam kehidupan mereka. Mereka kononnya seperti para ulama Islam yang mampu menghafal al-Quran pada usia yang begitu muda umpama Imam Syafie, mengingati rangkaian hadis bersama sanad sekali persis Imam Bukhari, pakar pelbagai bidang macam Imam Ghazali.

Dikatakan sebegini kerana kita kagum dengan keprihatinan mereka dengan ilmu yang dipelajari, fakta yang dikaji, sejarah yang diingati. Pada fasa ini juga, setiap malam mereka akan berdepan dengan berlapis-lapis buku ilmiah, kitab-kitab muktabar yang berjilid-jilid, nota-nota pelbagai corak dan peta minda bersistematik. Kelihatan mereka ini begitu ikhlas dengan ilmu, amanah dengan tanggungjawab terhadap pengalaman ilmu dan rajin mengkaji mencari hikmah di sebalik ilmu Allah yang luas.

Sebenarnya, sama ada kita mengakui atau tidak, ilmu yang kita pelajari kini hanyalah untuk peperiksaan sahaja. Fakta-fakta dan teori-teori yang diingati hanyalah sekadar untuk mengisi ruangan kertas jawapan. Hadis-hadis dan ayat-ayat suci al-Quran digunakan sekadar untuk tempoh tidak lebih dari 2 atau 3 jam peperiksaan. Huraian berdasarkan pendapat ulama dan ilmuwan hanya sekadar memenuhi syarat mendapat segulung ijazah sarjana muda, sarjana tinggi dan PhD.

Kalau ilmu yang dituntut sekadar seperti yang disentuh di atas, maka tiada gunanya ilmu tersebut bagi mahasiswa. Keadaan ini tidak sedikit pun memberi faedah kepada mereka. Alangkah malangnya, ilmu yang sebegitu mulia dan tinggi darjatnya, diperlakukan sebegitu sahaja. Mahasiswa yang berfikiran sedemikian, sepatutnya mengakui bahawa mereka cetek akal. Ilmu umpama cahaya sebagai simbolik kepada nilai yang berharga. Mahasiswa yang bersikap sebegini tidak layak menerima cahaya tersebut.

Di mana kita, jika kita bandingkan diri kita dengan ulama dulu yang sebelum meninggal, masih sempat mengarahkan pembantunya memberi kertas untuk ditulis idea yang muncul ketika itu? Bagaimana pula apabila kita cuba bandingkan dengan ulama yang mana ketika beliau meninggal dunia, buku masih di atas badannya? Perbandingan ini, diharapkan juga dapat mencabar rasa ego kita yang selama ini berasa hebat dengan ilmu yang dimiliki. Padahal ilmu yang ada hanya dari bilik kuliah sahaja tanpa ada inisiatif untuk mendengar kuliah di masjid dan sebagainya. Ilmu di bilik kuliah Itu pun barangkali sekadar untuk peperiksaan.

Mengajak teman-teman mahasiswa agar muhasabah atau menilai kembali tujuan ilmu dipelajari, objektif kita berada di menara gading dan matlamat kita setelah mencari ilmu. Di sinilah, tempat di mana lahirnya pelbagai sarjana negara, ilmuwan tempatan, ulama kontemporari dan golongan profesional. Namun, adakah kita layak diberi status ini?

"Status ini sebenarnya hanya layak bagi mereka yang menganggap peperiksaan bukanlah ujian akhir yang mana apa yang dihafal dan difahami sekali gus hilang selepas peperiksaan. Sebaliknya, selepas peperiksaan, ilmu tersebut masih subur di hati mahasiswa. Mereka menganggap peperiksaan sebagai batu loncatan untuk mereka meningkatkan lagi tingkat keilmuan mereka, sebagai motivasi pemberi semangat untuk menambahkan ilmu dan sebagai pemberi cabaran sama ada mahasiswa mampu atau tidak menghadapi peperiksaan ini"

Mereka juga tidak beranggapan peperiksaan sebagai matlamat akhir dalam pencarian ilmu. Bagi mereka, ilmu yang dipelajari adalah sebagai tanda kecintaan mereka terhadap Allah Taala dan Rasulnya SAW. Ilmu yang dipelajari tidak bertujuan untuk mencari pekerjaan, rumah dan kereta besar semata-mata. Tidak sekadar merangkul segulung ijazah, tidak juga memperalatkannya untuk mengambil hati pasangan yang diminati serta membuatkan bakal ibu dan bapa mertua menyukainya.

Namun kita memahami jika terdapat golongan daripada mahasiswa yang begitu komited terhadap persatuan di samping bidang akademik. Bidang akademik diakui bukanlah satu-satunya elemen keilmuan. Berpersatuan sebenarnya antara lain, mengajar mahasiswa bagaimana menghadapi cabaran hidup, mengharungi kerenah masyarakat, melatih diri berdepan orang ramai dan mencabar diri bagaimana menyeru warga kampus khususnya menuju kepada keindahan dan kedamaian nilai keagamaan.

Golongan tersebut dilihat cuba menghayati firman Allah Taala dalam surah Ali 'Imran, ayat 104 yang bermaksud: "Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah dari yang mungkar; merekalah orang-orang yang beruntung." Namun, Cuma keikhlasan sahaja yang menentukan apakah pendirian sebenar mereka.

Ingatlah, seorang sarjana, Seyyed Hossein Nasr pernah meluahkan kebimbangan beliau, dewan kuliah di institusi pendidikan barangkali akan tinggal nama sahaja tanpa memiliki semangat dan visi keintelektualan. Justeru, marilah kita sama-sama membetulkan kembali pendirian kita terhadap peperiksaan, keintelektualan, kesarjanaan dan pencarian ilmu. Semoga berjaya dalam peperiksaan.


 
p/s : Semoga bermanfaat buat jiwa-jiwa yang sering terlupa.
Pesan dan ingatan buat diri ana dan kita semua...;
 
 
"IKHLASLAH...
SEMOGA DIKURNIAKAN PENGAKHIRAN YANG INDAH"

Wednesday, October 6, 2010

Apakah Hakikat Semudah Kata (1)

BICARA TENTANG CINTA (1)



BismiLLAHI ArRahman ArRahim Wa Hamdan Shukran liLLAH.

Segala pujian hanya selayaknya buat ALLAH, selawat dan salam buat kekasih yang didamba, dia RasuluLLAH, ahlul bait baginda, para sahabat, tabi'in, tabi' tabi'in, dan salam mujahadah buat semua pejuang agama yang sehingga saat ini tidak pernah gentar pada ancaman kuffar.

13 minggu berlalu. Semester yang agak memenatkan. Tapi masih terlalu jauh untuk dibanding dengan kepayahan RasuluLLAH dan para sahabat di dalam mendidik manusia dan menyebarkan risalah Islam pada zaman awal Islam. Semoga setiap kepayahan dalam sedikit proses tarbiah Islam ini mengakar dan terpasak teguh dalam diri.

Beberapa hari lepas ana dihidangkan dengan sebuah pertanyaan yang agak memeranjatkan walaupun sebenarnya ia tidaklah terlalu asing dengan dunia remaja. "Kak, boleh x saya menerima cinta seseorang?" Jujur, semasa ana membaca bait  mesej adik ini, ana tersentak. Ana ulang berkali2 walaupun mesej yang dikirim cukup pendek. Setelah berpuas hati, ana tersenyum. Bukan terkejut disebabkan mesej, tapi sebenarnya terkejut disebabkan insan yang menghantar mesej tu. Teringat ana pada seorang adik yang bertanyakan perkara yang sama melalui panggilan telefon sebulan yang lepas semasa masih dalam cuti semester. Mungkin soalan adik tu agak berbeza, tapi tujuannya tetap sama. Hendakkan pandangan. "Kak, apa pendapat kakk tentang cinta ketika belajar?"


Huh! payah sungguh nak menjawab. Ana bukanlah pakar cinta jauh lagi Dr.Cinta. Diploma bidang cinta pun tak lepas. Huhu. (terselit fikiran nakal nak menjawab mesej tadi, "ni salah tempat ni, klu nak tanya tntang cinta, tanyalah Dr.Cinta")huhu. Tapi hakikatnya ana tidaklah sekejam itu untuk tergamak memberi jawapan "kejam" pada orang yg mengadu @ bertanya. Walaupun hakikatnya lidah ni sangat kelu dan minda agak beku untuk menjawab. Sejujur-jujurnya jika ada pilihan, ana lebih suka memilih untuk tidak menjawab dan membincangkan benda lain. huhu. CPU ana lebih pantas dan cekap mencari folder untuk menjawab isu semasa, sejarah, siyasah, harakah dan isu perundangan berbanding isu yang pada ana agak sensitif dan kontroversi ni.


Namun, ana cuba untuk menjawab sebaik yang ana mampu. Adik2, ini pendapat kakk. Jika salah, maafkan dan tidak perlu dijadikan pegangan. Jika benar, ketahuilah, ia adalah jawapan yang lahir dari hati seorang hamba yang mahu tetap menggengam erat  Al-Quran dan Sunnah sehingga jasad dimamah bumi.


Sebelum menyimpulkan sebuah jawapan, ana mahu mengajak kita semua menyelak kembali sejarah cinta itu sendiri. Bukankah "tak kenal maka tak cinta?". So, sebelum bicara soal cinta, kenalilah dulu APA ITU CINTA.


TAKRIFAN CINTA
Nak mendifinisikan makna cinta bagi ana terlalu sukar. Sebabnya ia sesuatu yang subjektif. Tidak hairan jika setiap orang mampu mendifinisikan perkataan 5 huruf ini dengan pelbagai jawapan. Dari sudut bahasa cinta atau juga disebut al-hubb, 'ai(cina), love(inggeris), mahal(filipina), liebe(Jerman), ai(Jepun), salang(korea), khwam rak(Thailand) dan banyak lagi bahasa dunia namun kepelbagaian bahasa dan bunyi sebutan itu masih membawa satu erti yang sama, yakni dalam bahasa melayunya disebut CINTA. APA itu CINTA? Cinta merupakan satu perasaan halus yang terbit dari hati setiap makhluk ciptaan-NYA. Fitrah yang dikurniakan buat segenap makhluk. Dengan adanya cinta, akan lahirlah tindakan yang akan diterjemahkan kepada tindakan yang akan membawa maksud sayang dan cinta oleh yang mencintai kepada yang dicintai. Cinta adalah anugerah Allah buat semua. Tidak hanya kepada manusia. Ya. Tidak hanya kepda manusia. Kenapa ana mengatakan cinta tidak hanya dirasai oleh manusia?


1. Sebab jika dilihat pada makna bahasa, cinta adalah perasaan halus yang hadir dalam hati. Cinta itu akan diterjemahkan kepada bentuk perilaku pemilik hati yang punyai rasa cinta. Apa bukti adanya cinta? Mestilah kita mengetahui adanya cinta bila kita melihat respond orang yang mencintai terhadap yang dicintainya, kan? Jika kita melihat seorang lelaki duduk melutut merayu seorang perempuan dengan sejambak bunga ros merah. Apa yang kita fikir? mestilah kita menyatakan dengan yakin, "heh, ni mesti pasangan kekasih. Tengah nak memujuk kekasih lah tu". Tetapi, bila kita melihat seekor ibu ayam yang menyerang kanak-kanak yang cuba nak mengambil anak-anak ayam tersebut, apa yang timbul dibenak kita? Kenapa ayam yang tiada akal masih mampu berfikir untuk melindungi anaknya? Wahai insan yang berakal, Tidakkah kita terfikir bahawa tindakan melindungi itu adalah tindak balas biasa bagi yang mencintai terhadap yang dicintainya. Nah, Bukankah itu bukti bahawa haiwan juga punya rasa cinta? ;) Fahimtum?


2. Huhu. Asbab yang kedua ni mungkin kejam ckit. Ini blog ana, suka-suki analah (maaf ea). Huhu. Kan ana dah khabarkan sebelum ini, ini hanyalah pandangan ana melalui kaca mata yang separuh bingkai ini.


Menyambung takrifan cinta, Said Hawa dalam tulisannya (kitab terjemahan) "Mencapai Makam Rabbaniyyun Dan Sidduqun" dalam bab Wasiat untuk Sang Pencinta mendefinisikan bahawa hubb cinta adalah suatu perasaan yang lahir tanpa paksaan di mana, hebatnya kuasa perkataan dari 5 huruf ini sehingga orang yang mencintai sanggup memberi segalanya kepada orang dicintai demi menggembirakan orang yang dicintainya TANPA MENGHARAPKAN BALASAN. Imam Al-Ghazali dalam kitabnya Raudhoh At-Tholibin Wa 'umdatus salikin pula mengartikulasikan CINTA sebagai sesuatu yang tidak memiliki pengertian selain daripada kecondongan terhadap sesuatu yang lazat dan berkenan di mana ia membawa kepada warisan tauhid dan makrifat. Peningkan? Ini baru 2 pendapat. Betapa luasnya makna cinta. Seluas itulah juga seharusnya fikiran kita dalam menghadapi cinta. Jangan hanya terperuk pada satu definisi sahaja. Cinta monyet, cinta lawan sejenis, dsb. Percayalah, dengan hanya mengetahui makna cinta secara holistik, secara tidak langsung kita sudah menuju kearah Pencipta dan Pemilik Cinta itu sendiri. Kenapa? Kerana, tak kenal maka tak cinta.


Sebelum ana berhenti seketika, izinkan ana menggoncang dan mengetuk pintu akal dan basirah(mata hati) anda semua : Jika dalam urusan jual beli, dalam membeli kain contohnya, kita akan berurusan dengan salesman/woman. Tapi bila kita nak potongan harga ckit, mesti salesman/woman atau lebih berani, kita sendiri akan mencari bos kedai kain tersebut, kan? Demi sedikit diskaun, kita dengan berani mengenepikan segan untuk berjumpa pemilik kedai. Sama halnya dalam pemberian hadiah. Bila kita menerima hadiah melalui orang tengah, mesti kita sibuk nak bertanya dengan penuh teruja, siapa yang bagi hadiah. Kalau boleh, nak terus berjumpa dan ucap terima kasih. Walaupun sebenarnya hadiah tu tidaklah semahal mana pun. Demi menunjukkan yang kita ni orang yang tahu  berterima kasih, kita sanggup. Betul kan? Tapi, WAHAI INSAN YANG DIKURNIAKAN NIKMAT AKALkenapa tidak begitu halnya dalam soal cinta?


Analoginya: Kita adalah pencari cinta atau pembeli, dan cinta itu adalah barang yang ingin kita miliki/hadiah yang kita diberi. Maka, Siapa pula Bos dan Pemberi Hadiah? Manusia yang kita dambakan cintanya itu atau ALLAH?




WAHAI INSAN
YANG MEMILIKI CINTA DAN AKAL,


Kita SEBENARNYA... MENCARI CINTA,
ATAU MENCARI ORANG UNTUK DICINTAI,
ATAU MENCARI PENCIPTA DAN PEMILIK ASAL CINTA?



Insha Allah, next entry:

SEJARAH CINTA MENURUT AL-QURAN DAN SUNNAH
MARHALAH CINTA
ANTARA BUDI DAN CINTA
HAKIKAT CINTA SESAMA MANUSIA
PERLUKAH CINTA SEMASA BELAJAR
TOKOH DAN CINTA



- Mujahidah Solehah, Melangkah Dengan Pasti,
Memburu Cinta ILAHI-



::Mutiara Hadith::

::Mutiara Hadith::
Daripada Abu Hurairah r.a berkata: Seorang lelaki dari kalangan orang ansar telah datang mengadukan halnya kepada Rasulullah s.a.w. Ia berkata: Wahai Rasulullah! Aku sesungguhya mendengar perkataanmu dan aku sangat kagum dan hairan dengan keindahannya tetapi aku tidak dapat menghafalnya. Maka apa yang perlu aku lakukan? Maka sabda Nabi s.a.w: "Hendaklah engkau menggunakan tangan kananmu," sambil Baginda mengisyaratkan supaya ia menulis apa yang ia dengarkan". (H.R Tirmidzi)

~Bicara Zahidah~

~Bicara Zahidah~
"Wahai Rabbi, Jika aku sujud kepadaMu kerana gerun dengan api nerakaMu, Maka bakarlah aku didalamnya. Dan jika aku sujud kepadaMu kerana tamakkan syurgaMu, Maka halanglah aku daripadanya. Tetapi jika aku sujud kepadaMu kerana kecintaanku kepadaMu, Maka kurniakanlah aku balasan yang besar. Izinkanlah aku melihat wajahMu Yang Maha Agung dan Mulia itu..."
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...