SEKADAR SEBUAH LUAHAN RASA…
WARKAH BUAT ADIK-ADIK SAYA…
BismiLLAH wa hamdan syukran liLLAH.
Segala puji bagi ALLAH yang menciptakan seluruh kejadian antara langit dan bumi.
Menjalani kehidupan sebagai musafir ilmu diperantauan hakikatnya adalah kesinambungan sebuah perjalanan dalam episode Kembara Ilmu. Realiti dunia sebagai sebuah persinggahan adalah tamsilan kepada fasa kehidupan berbeza yang perlu dilalui oleh setiap yang bernama manusia. Bermula dari fasa alam roh ke alam Rahim kemudian ke alam dunia. Setiap fasa perlu melalui sebuah proses peralihan.
Apa yang dialami, dirasa, dilihat, didengar, ditemui pastinya berbeza bagi setiap fasa namun yang pastinya setiap pertemuan pasti diiringi bersamanya sebuah jaminan perpisahan. Itu lumrah bagi yang bernyawa. Perjalanan dan peralihan juga adakalanya memisahkan diri dari insan2 yang pernah hadir dalam hidup kita kerana tidak selamanya kita akan bersama dengan mereka-mereka yang kita temui disetiap fasa kehidupan yang kita lalui. Tadika, sekolah rendah, menengah, IPT, alam kerjaya dsb. Semuanya di hiasi dengan insan2 yang berbeza, suasana yang berbeza, masa yang berbeza, tempat dan situasi yang berbeza. Demikian saja sebuah mukaddimah.=)
Sebenarnya Kisahnya bermula di sini; Saat saya menerima mesej email, ym dan hp dari adik-adik KIPSAS yang menyatakan tentang ukhwah dan kerinduan. Ketika itu, jujur saya menyatakan bahawa rasa pilu itu ada. Bukan mudah untuk menyingkirkan ingatan dan segala kenangan bersama adik-adik. Terkadang kakak kalian ini bukanlah setegar yang terlihat. Sekeras apapun sebiji batu, andai titisan air tidak henti menitis, akan terbentuk jua lekuknya.
Tidak malu untuk menyatakan, air mata itu menitis jua ketika wajah-wajah yang ceria penuh harapan dengan celoteh dan karenah yang pastinya setiap satu antara kalian yang berbeza itu hadir dalam minda dan ingatan ini. Hanya ALLAH mengetahui betapa kasih yang ada buat kalian tidak mampu terucap dengan kata-kata, tidak mampu terlukis dengan lukisan warna, tidak mampu tergambar dengan perilaku dan tingkah apapun.
Kasih yang ada kerana ALLAH, kerana Rasulullah, kerana kalian adalah adik-adik kakak yang ALLAH kurniakan sebagai penghias diari kehidupan hamba ALLAH ini. Adik yang sedarah dengan kakk hanyalah 3 orang, namun kehadiran adik-adik semua menjadikan kakak seolah memiliki adik-adik yang terlalu ramai. Dengan rajuk dan tawa, dengan ragam dan karenah yang berbeza, dengan sikap cemburu dalam merebut perhatian dan kasih sayang, terkadang semua itu meletihkan dalam melayani tuntutan-tuntutan kalian yang ramai dan pelbagai. Namun sesungguhnya itulah warna yang mencorakkan ikatan tali ukhuwah yang ada. Kerana itulah yang menjadi lakaran lukisan yang sangat indah dan membekas dalam diri kakk kalian ini. Sungguh, masa bersama kalian adalah antara masa-masa terindah dalam diari kehidupan seorang Musafir hamba menuju Rabbnya. Cinta dan kasih yang adik-adik berikan adalah antara cinta terbaik yang pernah hadir dalam hidup seorang Musafir cinta yang menelusuri jalan pencarian cinta menuju sang Pemilik Cinta Hakiki, Al-Wadud. Namun yang pastinya tidak mungkin akan kakk gantikan dengan sesuatu apapun melainkan syafaat di Hari Perhitungan bahawa kita semua pernah berhimpun dan berkasih sayang kerana ALLAH, kerana Rasulullah.
Sebuah harapan buat adik-adik yang disayangi kerana ALLAH; Dimanapun kalian berada, kuatkanlah hati, akal dan jasad dalam menjalani kehidupan seorang Muslimat Akhir Zaman. Teruskanlah hayunan langkah Mujahidah itu. Jangan pernah berhenti. Ketika langkah itu terasa lesu dan lemah, perlahankan seketika, ambillah masa untuk dirimu bernafas dan melepaskan lelah. Namun, awasi langkahmu! jangan sampai langkah itu terhenti.
Ingatlah wahai diri dan adik-adik serta saudariku, jalan ini jalan yang panjang. Laluannya juga berliku dan berduri. Malah simpang siurnya membelah haluan, menyesak fikiran. Maka jangan terlalu laju tanpa sela sehingga tersalah haluan atau tersadung menyembah jalan. Jangan juga terlalu perlahan sehingga dirimu ketinggalan dengan pesatnya peralihan zaman dan peradaban. Pilihlah jalan yang tepat dan benar menuju Rabb kita. Jangan dinafi gelapnya gelita, tapi berhati-hatilah dengan terangnya cahaya.
-BERJALANLAH TANPA HENTI, MELANGKAHLAH DENGAN PASTI
SEHINGGA JANJI ITU TERPATRI, KETIKA NAFAS INI TERHENTI-
kak qas... ;(
ReplyDeleteYe dik.. =)
DeleteKenapa buat muka sedih tu. Is there anything sis can help? =)