KEBANGKITAN MAHASISWA CETUS KONTROVERSI PEMERINTAH
TANJUNG MALIM, 1 Jan: Himpunan mahasiswa protes Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) malam tadi dicemari insiden keganasan pihak polis yang bertindak memukul mahasiswa ketika cuba meleraikan mereka.
Dalam insiden awal pagi tadi, dua mahasiswa termasuk Timbalan Presiden GAMIS merangkap Pengerusi BEBAS, Safwan Anang Talib dilaporkan cedera parah dibelasah anggota FRU.
Beliau dilapor patah tulang rusuk, patah gigi geraham akibat dipijak anggota polis dan kini didakwa sedang mendapat rawatan di wad kecemasan di Hospital Slim River.
Seorang lagi mahasiswa yang cedera parah, Amar Rasyidi dari Universiti Malaysa (UM) dilaporkan menerima beberapa jahitan di hidungnya yang koyak akibat dipukul.
Selain itu, sekurang-kurangnya 17 mahasiswa lain ditangkap dalam insiden malam tadi dan kini telah dibawa ke balai polis Tanjung Malim.
Antara mereka termasuk pemimpin Legasi Mahasiswa Progresif (LMP), Adam Adli; dua bekas Presiden Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Shazni Munir dan Hilman Idham serta Timbalan Presiden Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen (KAMI), Khalid Ismath.
Dalam satu respon segera, Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Nasruddin Hassan mengutuk keganasan ke atas mahasiswa yang berhimpun secara aman malam tadi.
"Saya beri masa kepada pihak kerajaan dan juga PDRM sehingga jam 12 tengahari ini agar semua tahanan itu dibebaskan.
"Mereka juga mesti mengambil tanggungjawab jika sesuatu yang buruk berlaku kepada mahasiswa khasnya Timbalan Presiden GAMIS yang masih dirawat dalam wad kecemasan di Hospital Slim River," katanya kepada Harakahdaily.
Menyifatkan tindakan tersebut sebagai sungguh zalim dan kejam, Nasruddin juga memeberi amaran, satu himpunan lebih besar akan diadakan bagi mendesak pembebasan mahasiswa tersebut.
"Saya harap seluruh pemuda dari seluruh negara bersedia.
"Jika tidak satu himpunan besar anak muda akan diadakan bagi mendesak pembebasan mahasiswa dan pihak polis yang terlibat melakukan kekasaran ini mestilah disiasat dan diambil tindakan tegas," tegasnya.
Harakahdaily sedang mendapatkan maklumat lanjut berhubung insiden tersebut.
BismiLLAHIRRAHMANIRRAHIM...
Assalamu'alaikum wbt.
Pagi yang indah di Bumi Nanggroe Aceh Darussalam namun bagi saya pagi ini adalah pagi yang suram di Bumi Malaysia negara yang tercinta. Suram bukan kerana matahari tidak sudi memunculkan diri atau cuaca langit yang kelam, tetapi suram kerana ada hati-hati yang sedang berduka dan kecewa. Saya dan sahabiah2 yang berada agak jauh dari Bumi Malaysia masih terasa tempiasnya. Bukan kerana dekatnya jarak dua negara, tapi kerana dekatnya hati-hati kami yang diikat dengan tali ukhwah.
Saya terkedu melihat laporan akhbar pagi ini ditambah dengan laporan dari sahabiah saya yang sejak awal pagi hari setia mendapatkan khabar dari Malaysia (12.00 pagi). Takziah dan Tahniah buat saudara-saudara saya yang berjuang atas platform pembebasan minda mahasiswa dari penjajahan dan penindasan internal. Takziah kerana ada yang tercedera namun tahniah kerana berjaya mencetuskan satu lagi reformasi untuk membuka mata hati dan minda mahasiswa lain yang sedang lena dibuai arus keselesaan dan kemajuan teknologi tanpa menyedari hakikat penipuan sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab. Namun yang paling utama bagi saya, untuk membuka mata hati para aparat pemerintah agar menyedari bahawa mahasiswa perlu diberi peluang untuk melontarkan gagasan dan idea mereka. Memberi peluang kepada mahasiswa untuk belajar, mengajar dan diajar tentang hakikat dan realiti pentas dunia pemerintahan. Bukankah Mahasiswa sering dicanangkan untuk menjadi PEMIMPIN GENERASI? Maka, kenapa perlu dihalang? Jika silap, tegurlah sebagai seorang 'ayah' dan 'ibu', namun teguran itu bukanlah dalam bentuk 'sentuhan' yang mampu membawa maut sehingga 'anak' kalian ini terlantar parah dikatil hospital. Pada hemat saya, 'ayah tiri' sekalipun ada juga yang berperikemanusiaan.
(Takziah buat Akh Safwan Anang Talib dan Isteri, Ukh Mastura atas kecederaan Akh Safwan) serta Akh Amar Rasyidi. Buat 17 mahasiswa lain yang masih ditahan, tahniah buat kalian. Jadikan tempoh tahanan itu satu 'kenangan indah' yang tidak diberi dan tidak dirasai oleh mahasiswa-mahasiswa yang biasa. Antum adalah syabab dan mahasiswa yang luar biasa. Jadikan ia fasa awal kepada tarbiah ke arah melahirkan Pemimpin Masa Hadapan yang tegar dan sigap. Kerana apa yang kita lalui hari ini hanyalah sedikit berbanding apa yang telah dilalui oleh Syeikh Ahmad Yasin, Imam Hassan Al-Banna, Syed Qutb, Zainab Al-Ghazali Imam Ahmad, Imam Hanafi, Saidina Umar, Saidina Uthman, Saidina Ali, Saidina Hamzah dan yang paling utama, apa yang kita lalui HARI INI tidaklah seluka dan separah apa yang telah dilalui oleh Kekasih Hati, Muhammad saw.
******