Dengan NamaMU Ya RAHIM...
Semakin hari ana memerhatikan dunia yang semakin kehilangan susuk individu yang mampu menjadi Qudwah Hasanah. Ana terfikir, para ulama' yang ada sekarang ini majoritinya telah berusia, namun ana melihat masalah dan kerosakan umat Islam juga semakin bertambah dan semakin kritikal. Dunia semakin tua, para ulama' juga semakin berusia, namun ironinya, umat Islam juga semakin rancak dibuai leka.
Pastinya para ulama' yang ada sekarang ini akan menuruti jejak laluan seterusnya bagi setiap insan, menemui Khaliknya. Namun siapakah dan dimanakah tersembunyi pelapis, bakal-bakal ulama' yang akan meneruskan jejak peninggalan warisan Rasulullah dan para sabahat, tabi'in serta tabi' tabi'in ini? GENERASIKU, kitalah Pewaris itu!
Persiapkanlah diriku dan dirimu. Pejuang Islam perlu memperbaiki dirinya agar sentiasa terkehadapan dari manusia lain. Risalah Islam yang syumul ini hendaklah difahami bukan sekadar di dalam nota-nota dan kertas peperiksaan, bukan juga sekadar untuk dikhatamkan di dalam dewan kuliah. Kesyumulan Islam juga mendidik manusia untuk membentuk dan membina akhlak yang mulia. Bukankah akhlak Rasulullah itu Al-Quran? Maka telek dan tiliklah diri kita dalam mempersiapkan diri untuk terjun di dalam medan dakwah masyarakat yang pastinya akan menjadi susuk individu yang menjadi ikutan dan panduan sebagai duta Islam yang pastinya memiliki qudwah hasanah.
Siapkan diri kita dengan 10 Muwassafat Tarbiah:
1. Kuat tubuh badan (Qawiyyal Jism)
Dakwah adalah tanggungjawab dan tugas yang berat- perlukan badan yang sihat dan kuat.
• Rasulullah saw menitikberatkan soal ini. Maksud Hadis : ”Mukmin yang kuat itu lebih baik dan lebih dikasihi Allah dari mukmin yang lemah, tetapi pada keduanya ada kebaikan.”
• Memeriksa kesihatan diri, mengamalkan riadah dan tidak memakan/minum suatu yang merosakkan badan.
(Menghindari makanan yang syubhah)
2. Akhlak yang mantap (Matinul Khuluq)
• Akhlak kita ialah Al-Quran dan akhlak yang ditunjukkan oleh Nabi saw itulah akhlak yang mulia yang sebenarnya.
• Dijelaskan beberapa unsur oleh Imam Al-Banna dalam kewajipan dai iaitu sensitif, tawadhu’, benar dalam perkataan dan perbuatan, tegas, menunaikan janji, berani, serius, menjauhi teman buruk dan lain-lain.
3.Fikiran yang berpengetahuan (Mutsaqqafal Fikri)
• Perlu berpengetahuan tentang Islam dan maklumat am supaya mampu menceritakan kepada orang lain.
(Ilmu ALLAH itu luas, jangan disempitkan hanya pada satu-satu bidang Ilmu)
• Perlu bersumberkan kepada Al-Quran dan Hadis dan diterangkan oleh ulama’ yang thiqah.
• Pesan Imam Banna: Perlu boleh membaca dengan baik, mempunyai perpustakaan sendiri dan cuba menjadi pakar dalam bidang yang diceburi.
• Mampu membaca Al-Quran dengan baik, tadabbur, mempelajari sirah, kisah salafus soleh dan kaedah serta rahsia hukum yang penting(syariah dan fiqh)
4. Mampu berusaha (Qadiran ala Kasbi)
• Walaupun kaya, perlu bekerja. Bekerjalah dalam bidang apapun (yang penting halal) kerana Allah tidak menyukai hambanya yang tidak berusaha dan putus asa pada rahmat Allah.
• Tidak terlalu mengejar jawatan dan pangkat.
• Meletakkan pangkat dan tempat kerja mengikut keperluan dakwah, lebih utama dari gaji dan pendapatan.
• Melakukan setiap kerja dengan betul dan sebaiknya (ihsan).
• Menjauhi riba dalam semua lapangan.
• Menyimpan untuk waktu kesempitan.
• Menjauhi segala bentuk kemewahan apatahlagi pembaziran.
• Memastikan setiap sen yang dibelanja tidak jatuh ke tangan bukan Islam.
5. Akidah yang sejahtera (Salimul Aqidah)
• Redha Allah sebagai Rabb yang Esa, Islam sebagai Agama dan Muhammad saw sebagai Nabi.
• Sentiasa muraqabah Allah dan mengingati akhirat, memperbanyakkan ibadah sunat dan zikir.
• Menjaga kebersihan hati, bertaubat, istighfar, menjauhi dosa dan syubhat.
6. Ibadah yang betul (Sahihul Ibadah)
• Perlu melakukan ibadat yang meninggikan roh dan jiwanya.
• Perlu belajar untuk membetulkan amalannya dan mengetahui halal dan haram.
• Tidak melampau atau berkurang dalam beribadah(pertengahan).
7. Mampu melawan nafsu (Mujahadah ala Nafsi)
• Perlu azam yang kuat untuk melawan kehendak nafsunya dan mengikut kehendak Islam.
( Meninggalkan apa yang kita cintai dan sukai demi Allah, insya Allah akan dikurniakan nikmat Iman. Bukankah " HIDUP INI INDAH JIKA SEGALANYA KERANA ALLAH? "
• Tidak menghiraukan apa orang kata dalam mempraktikkan Islam, selagi mana ianya hanya untuk menjatuhkan iltizam kita untuk mengamalkan Islam.
• Daie mungkin akan melalui suasana sukar yang tidak akan dapat dihadapi oleh orang yang tidak biasa dengan kesusahan.
8. Menjaga waktu (Haarithun ala Waqtihi)
• Waktu lebih mahal dari emas, waktu adalah kehidupan yang tidak akan kembali semula.
• Para Sahabat sentiasa berdoa agar diberkati waktu yang ada pada mereka.
9. Tersusun dalam urusan (Munazzamun fi syu’unihi)
• Untuk manfaatkan waktu dengan baik.. perlu penyusunan dalam segala urusan.
• Gunakan segala masa dan tenaga tersusun untuk manfaat Islam dan dakwah.
10. Berguna untuk orang lain. (Nafi’un li ghairihi)
• Daie bukan lilin yang membakar diri untuk menyuluh orang lain. Tapi Da'ie adalah Mentari yang menyinari alam, menerangi kegelapan, memberi haba dan suhu yang cukup buat manusia meneruskan kehidupan.
• Daie adalah penggerak dakwah dan Islam. Masa depan Islam, hidup mati Islam bergantung kepada Da'ie. Apa yang ada pada diri Da'ie dan apa yang dipancarkan dari diri Da'ie, itulah yang akan diterima oleh mad'u dan itulah yang akan mencorak pemikiran dan masa depan umat Islam.
• Amal Islam ialah untuk menyelamatkan orang lain dari kesesatan.
• Daie merasa gembira bila dapat membantu orang lain. Paling indah dalam hidupnya ialah bila dapat mengajak seorang manusia ke jalan Allah.
“Wahai jiwa yang tenang, kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang puas lagi diredai-Nya. Masuklah ke dalam barisan hamba-Ku. Dan masuklah ke dalam syurga-Ku”