Followers

::Wahai Pemilik Ilmu::

"The beauty of a woman is not in the clothes she wears, The figure she carries, or the way she combs her hairs. The beauty of a woman must be seen from her eyes. Because that is the doorway to her heart, The place where love resides. The beauty of a woman is not the facial mole, But true beauty in a woman is reflected in her soul. It is caring that she lovingly gives, The passion that she shows. The beauty of a woman, With passing years-only grows..."

Saturday, March 20, 2010

JIKA BENAR DIRIMU ADALAH DA'IE...

Dengan NamaMU Ya RAHIM...
Semakin hari ana memerhatikan dunia yang semakin kehilangan susuk individu yang mampu menjadi Qudwah Hasanah. Ana terfikir, para ulama' yang ada sekarang ini majoritinya telah berusia, namun ana melihat masalah dan kerosakan umat Islam juga semakin bertambah dan semakin kritikal. Dunia semakin tua, para ulama' juga semakin berusia, namun ironinya, umat Islam juga semakin rancak dibuai leka.
Pastinya para ulama' yang ada sekarang ini akan menuruti jejak laluan seterusnya bagi setiap insan, menemui Khaliknya. Namun siapakah dan dimanakah tersembunyi pelapis, bakal-bakal ulama' yang akan meneruskan jejak peninggalan warisan Rasulullah dan para sabahat, tabi'in serta tabi' tabi'in ini? GENERASIKU, kitalah Pewaris itu!
Persiapkanlah diriku dan dirimu. Pejuang Islam perlu memperbaiki dirinya agar sentiasa terkehadapan dari manusia lain. Risalah Islam yang syumul ini hendaklah difahami bukan sekadar di dalam nota-nota dan kertas peperiksaan, bukan juga sekadar untuk dikhatamkan di dalam dewan kuliah. Kesyumulan Islam juga mendidik manusia untuk membentuk dan membina akhlak yang mulia. Bukankah akhlak Rasulullah itu Al-Quran? Maka telek dan tiliklah diri kita dalam mempersiapkan diri untuk terjun di dalam medan dakwah masyarakat yang pastinya akan menjadi susuk individu yang menjadi ikutan dan panduan sebagai duta Islam yang pastinya memiliki qudwah hasanah.

Siapkan diri kita dengan 10 Muwassafat Tarbiah:

1. Kuat tubuh badan (Qawiyyal Jism)
Dakwah adalah tanggungjawab dan tugas yang berat- perlukan badan yang sihat dan kuat.
• Rasulullah saw menitikberatkan soal ini. Maksud Hadis : ”Mukmin yang kuat itu lebih baik dan lebih  dikasihi Allah dari mukmin yang lemah, tetapi pada keduanya ada kebaikan.”
• Memeriksa kesihatan diri, mengamalkan riadah dan tidak memakan/minum suatu yang merosakkan badan.
   (Menghindari makanan yang syubhah)

2. Akhlak yang mantap (Matinul Khuluq)
• Akhlak kita ialah Al-Quran dan akhlak yang ditunjukkan oleh Nabi saw itulah akhlak yang mulia yang sebenarnya.
• Dijelaskan beberapa unsur oleh Imam Al-Banna dalam kewajipan dai iaitu sensitif, tawadhu’, benar dalam perkataan dan perbuatan, tegas, menunaikan janji, berani, serius, menjauhi teman buruk dan lain-lain.


3.Fikiran yang berpengetahuan (Mutsaqqafal Fikri)
• Perlu berpengetahuan tentang Islam dan maklumat am supaya mampu menceritakan kepada orang lain.
(Ilmu ALLAH itu luas, jangan disempitkan hanya pada satu-satu bidang Ilmu)
• Perlu bersumberkan kepada Al-Quran dan Hadis dan diterangkan oleh ulama’ yang thiqah.
• Pesan Imam Banna: Perlu boleh membaca dengan baik, mempunyai perpustakaan sendiri dan cuba menjadi pakar dalam bidang yang diceburi.
• Mampu membaca Al-Quran dengan baik, tadabbur, mempelajari sirah, kisah salafus soleh dan kaedah serta rahsia hukum yang penting(syariah dan fiqh)

4. Mampu berusaha (Qadiran ala Kasbi)
• Walaupun kaya, perlu bekerja. Bekerjalah dalam bidang apapun (yang penting halal) kerana Allah tidak menyukai hambanya yang tidak berusaha dan putus asa pada rahmat Allah.
• Tidak terlalu mengejar jawatan dan pangkat.
• Meletakkan pangkat dan tempat kerja mengikut keperluan dakwah, lebih utama dari gaji dan pendapatan.
• Melakukan setiap kerja dengan betul dan sebaiknya (ihsan).
• Menjauhi riba dalam semua lapangan.
• Menyimpan untuk waktu kesempitan.
• Menjauhi segala bentuk kemewahan apatahlagi pembaziran.
• Memastikan setiap sen yang dibelanja tidak jatuh ke tangan bukan Islam.

5. Akidah yang sejahtera (Salimul Aqidah)
• Redha Allah sebagai Rabb yang Esa, Islam sebagai Agama dan Muhammad saw sebagai Nabi.
• Sentiasa muraqabah Allah dan mengingati akhirat, memperbanyakkan ibadah sunat dan zikir.
• Menjaga kebersihan hati, bertaubat, istighfar, menjauhi dosa dan syubhat.


6. Ibadah yang betul (Sahihul Ibadah)
• Perlu melakukan ibadat yang meninggikan roh dan jiwanya.
• Perlu belajar untuk membetulkan amalannya dan mengetahui halal dan haram.
• Tidak melampau atau berkurang dalam beribadah(pertengahan).

7. Mampu melawan nafsu (Mujahadah ala Nafsi)
• Perlu azam yang kuat untuk melawan kehendak nafsunya dan mengikut kehendak Islam.
( Meninggalkan apa yang kita cintai dan sukai demi Allah, insya Allah akan dikurniakan nikmat Iman. Bukankah " HIDUP INI INDAH JIKA SEGALANYA KERANA ALLAH? "
• Tidak menghiraukan apa orang kata dalam mempraktikkan Islam, selagi mana ianya hanya untuk menjatuhkan iltizam kita untuk mengamalkan Islam.
• Daie mungkin akan melalui suasana sukar yang tidak akan dapat dihadapi oleh orang yang tidak biasa dengan kesusahan.


8. Menjaga waktu (Haarithun ala Waqtihi)
• Waktu lebih mahal dari emas, waktu adalah kehidupan yang tidak akan kembali semula.
• Para Sahabat sentiasa berdoa agar diberkati waktu yang ada pada mereka.


9. Tersusun dalam urusan (Munazzamun fi syu’unihi)
• Untuk manfaatkan waktu dengan baik.. perlu penyusunan dalam segala urusan.
• Gunakan segala masa dan tenaga tersusun untuk manfaat Islam dan dakwah.


10. Berguna untuk orang lain. (Nafi’un li ghairihi)
• Daie bukan lilin yang membakar diri untuk menyuluh orang lain. Tapi Da'ie adalah Mentari yang menyinari alam, menerangi kegelapan, memberi haba dan suhu yang cukup buat manusia meneruskan kehidupan.
• Daie adalah penggerak dakwah dan Islam. Masa depan Islam, hidup mati Islam bergantung kepada Da'ie. Apa yang ada pada diri Da'ie dan apa yang dipancarkan dari diri Da'ie, itulah yang akan diterima oleh mad'u dan itulah yang akan mencorak pemikiran dan masa depan umat Islam.
• Amal Islam ialah untuk menyelamatkan orang lain dari kesesatan.
• Daie merasa gembira bila dapat membantu orang lain. Paling indah dalam hidupnya ialah bila dapat mengajak seorang manusia ke jalan Allah.


 
“Wahai jiwa yang tenang, kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang puas lagi diredai-Nya. Masuklah ke dalam barisan hamba-Ku. Dan masuklah ke dalam syurga-Ku”



PESANAN BUAT DIRI YANG LUPA!

BISMILLAHI ArRAHMANI ArRAHIM…

Semalam, seharian ana beriktikaf di masjid kolej ana, bersama sahabiah dan adik-adik ana. Usai melaksanakan tanggungjawab fardhi, ana bercadang untuk melelapkan mata sebentar sebelum meneruskan niat mengulang kaji pelajaran. Namun apakan daya, seorang adik datang menghampiri dan ingin bercerita. Sungguh mata tidak berdaya, namun digagahkan juga mendengar dan memberi sedikit respon. Malangnya, ana pun tidak menyedari bila, ana terlelap sehinggalah muazzin melaungkan azan asar.

Sebenarnya, bukan ini yang hendak dikongsi, apa ana ingin kongsi bersama adalah apa yang ana bualkan bersama adik ana ini (hihi, perbualan bersambung lagi selepas asar).

Kami bercerita tentang cabang ilmu. Adik ana ini, dengan tidak tertinggal loghat kedahnya =), bercerita tentang cabang ilmu tariqat dan tasawuf kerana minatnya kearah cabang itu. Ana pula bercerita tentang syariah dan usul fiqh, kerana sememangnya ana berada di dalam bidang ini. Pelik ana rasa (tak tahulah pada yang membaca), sebabnya amat jarang untuk seorang sufi(golongan ahli tawasuf) duduk dan bermuzakarah bersama dengan ahli syariah. Syukur tidak timbul pertelingkahan =). Lagipun bicara yang kami bualkan bukanlah terlalu menjurus kepada perbezaan dan khilaf cabang ilmu syriah dan tasawuf. Kami sekadar berbual mengenai hakikat cinta hamba kepada Khaliknya tetapi dalam dua perspektif yang berbeza. Seronok, sangat seronok. Rupanya kami berkongi rasa yang sama. Cinta kami tidak dipersembahkan pada dunia. Idola kami sama, redha dan cinta Rabiatul Adawiyah. Kisah teladan yang kami sukai sama, “Bila sepasang mata menjadi hadiah” dan bagaimana kisah pemuda dan sebiji epal mampu melahirkan seorang ulama hebat, Abdul Qadir Al-Jailani.

Namun, satu yang menjadi kesan dan pesan yang insya-Allah tidak mungkin ana lupa, bicara adik ini yang dititip khas buat ana, “kak, saya bukan orang yang boleh melihat masa depan, tapi berdasarkan cara tarbiah Allah pada kakak di sepanjang hidup kakak sejak kecil, saya rasa Allah hendak jadikan kakak seorang pemimpin. Tapi kak, dengan amanah yang kakak pikul ini, Kakak tak boleh sekalipun tinggal solat tahajjud.” Nasihat ini ana terima lantaran luahan ana yang sering tertinggal cahaya tahajjud itu semenjak menginjak semester ini khasnya jika di dalam keletihan. Shukran jiddan adikku. Meskipun yang memberi kata ini adalah seorang adik, bagi ana dia adalah sebahagian lampu dan penunjuk jalan yang Allah kurniakan buat ana di sepanjang jalan ini. Insya-Allah dik, pesan itu akan kakak semat sebagai bekalan hidup kakak.


* * *
"Dan diantara manusia ada orang-orang yang menyembah tandingan-tandingan selain Allah; mereka mencintainya sebagaimana mereka mencintai Allah. Adapun orang-orang yang beriman amat sangat cintanya kepada Allah." (Al-Baqarah: 165)

***************************************************
"Jika kamu (benar-benar) mencintai Allah, ikutilah aku (ikutilah Muhammad saw.), niscaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu". (Ali Imran: 31)
******************************************************
“Tali iman yang paling kuat adalah cinta karena Allah dan benci karena Allah.” (HR. At Tirmidzi)
**********************************************************
"Engkau berbuat durhaka kepada Allah, padahal engkau mengaku cinta kepada-Nya? Sungguh aneh keadaan seperti ini. Andai kecintaanmu itu tulus, tentu engkau akan taat kepada-Nya. Karena sesungguhnya, orang yang mencintai itu tentu selalu taat kepada yang ia cintai.."
(A’idh Al-Qorni)
*******************************************************************
 

"Mujahidah GAGAH pada JIWA yang TABAH"

SEKILAS PANDANG, TAMPARAN BUAT KITA

BISMILLAHI ArRAHMANI ArRAHIM...

 
LIHATLAH dan HAYATILAH adik-adik dan sahabat-sahabat sekalian, pernahkah kita mendengar "Pemuda harapan bangsa, Pemudi tiang negara"? Seringkali bukan?  Namun pernahkah kita berfikir, di manakah pemuda-pemuda yang benar-benar layak memikul amanah tanggungjawab bangsa dan agama ini?
Dimanakah tersembunyinya bakal pelapis negarawan, ilmuan, cendekiawan dan segala 'wan' yang ada. Jika melihat perilaku dan kegemaran serta tabiat remaja pada hari ini, adakah mereka layak bergelar PEMIMPIN? Ataukah  yang ada, hanya pemuda yang benar-benar hanya menjadi harapan dan dijulang sebagai harapan namun akhirnya ditinggal menjadi kenangan? Bukankah harapan itu tidak menjanjikan kenyataan, jauh lagi kejayaan? JAWAB DENGAN AKAL DAN IMANMU, WAHAI  BAKAL PEMIMPIN AGAMA DAN BANGSAKU!

Pemudi yang diletakkan sebagai tiang negara, dimana dirimu wahai sahabiahku? Sudah siapkah dirimu dengan asas binaan yang kukuh? KITA akan mencorak dan membina tiang-tiang NEGARA dan AGAMA sahabiahku! Apakah kita yang akan menjadi tiang negara ini, terbina dari asas binaan yang rapuh? akan kukuhkan bangunan yang dibina jika tiang yang digunakan diperbuat daripada bahan yang tidak berkualiti? Datangkanlah arkitek terbijak dan termahal didunia, jika asas binaannya tidak berkualiti, jika kuantiti bahannya tidak mencukupi, nescaya tidak akan terbina bagunan yang kukuh. Itulah dia saudara seakidahku! perumpamaan yang kudatangkan kepada kita semua. Jangan bermimpi ingin membina 'bangunan' yang gah dan menjulang tinggi, andai tiang yang ada, rapuhnya lebih rapuh dari kuih batang buruk. Tahukah dirimu apakah asas binaan itu? apakah dia penentu kualiti bahan itu? sahabiahku?

Ketahuilah, asas binaan yang dimaksudkan itu adalah iman dan Islam saudaraku. Penentu kualiti bahan itu adalah ibadah yang dilakukan..Jika ingin membina negara yang maju, gah, terulung, unggul, bersih, aman dan damai, dan setrusnya, binalah negara itu dengan tiang yang juga dibina dari asas yang kukuh. Dari bahan yang berkualiti, mencukupi dan asli (bukan tiruan). Setelah itu, pilihlah arkitek dan pemimpin harapan yang bijak, adil, benar, amanah dan beriman serta bertaqwa agar negara yang terbina itu nanti menjadi negara yang bukan sahaja kukuh, maju dan masyhur, tetapi juga diberkati dan diredhai ALLAH. Itu yang Utama.. WaLLAHU 'Alam.

Wednesday, March 17, 2010

Semalam Yang Hilang!


Assalamualaikum warahmatuLLAH.

Semalam yang hilang. Ana pun tidak mengerti kenapa tajuk ini yang terlintas diminda. Mungkin kerana peristiwa lewat pagi beberapa hari lepas yang masih sukar untuk ana lupakan. Peristiwa yang menarik dan membuka luas  mata dan hati. Tidak sekadar diketuk. Ya, peristiwanya berlaku hanya dalam sekejap masa, tapi kesannya menyebabkan ana sukar melelapkan mata.
Maaf  terlalu berbahasa, bukan kiasan atau hiasan, cuma ingin menunjukkan betapa besarnya impak peristiwa semalam untuk masa depan ana sebagai penuntut ilmu juga seorang dai'e. Ceritanya begini, ana bersama adik juga sahabiah ana melawat seorang sahabiah yang ditahan di wad kerana disyaki appendix. Ditakdirkan Allah, nurse yang menjadi pelatih di wad tersebut merupakan salah seorang pelajar praktikal dari kolej di ibu kota. Nak dijadikan kisah, ana duduk bersebelahan katil pesakit (sahabat ana) dan pelatih tersebut datang berhampiran. Mungkin kerana tugasan yang telah selesai, pelatih tersebut datang berhampiran. Mungkin juga darah 'da'ie yang mesra' yang sentiasa mengalir dalam diri dan tuntutan Islam yang mulia menyebabkan mulut ringan untuk memulakan salam perkenalan. Dalam keasyikan bercerita, adik tersebut mengalih pandangan, tetarik melihat buku "Apa Ertinya Saya Menganut Islam" kepunyaan sahabat ana yang terletak kemas di atas rak bersebelahan katil pesakit (sahabat ana). Dengan tindakan pantas, ana mengambil dan menyerahkan buku tersebut. Apa yang menyentuh hati, adik tersebut bertanya, "Eh, boleh pegang ke kak? saya tak boleh solat ni." Ana tersenyum dan memberitahu yang buku itu boleh disentuh dan dibaca. Mungkin melihat 'cover' hadapan buku cetakan terkini itu yang tertulis " ما ذا يعني انثمائ للاسلام؟ " menyebabkan adik tersebut menyangka bahawa ianya Al-Quran dan tidak boleh disentuh. Mungkin juga kerana menyangka tulisan jawi itu semestinya adalah ayat Al-Quran.

Disebabkan masa melawat yang hampir tamat, ana mengajak adik tersebut yang merupakan seorang pelajar melayu untuk melawat dan berziarah ke tempat ana menuntut ilmu yang sangat berhampiran dengan hospital tersebut. Namun ironinya, patah bicara yang keluar dari mulut si gadis yang pada ana agak manis itu, cukup membuatkan ana tersentak. Sambil menutup wajah tersipu dengan buku karangan ulama masyhur itu, terdengar patah bicara menyapa pendengaran ana, "Alamak, kalau pergi, nak kena pakai tudung la pulak."  Mulanya dahi ini berkerut, tapi setelah beberapa saat akal waras ini mentafsir dan menganalisis sebab dan punca kemungkinan keluarnya patah-patah perkataan seperti itu, dengan senyuman ana berkata pada adik tersebut, "tak pe, datang je". Sepantas mungkin ana melihat sekeliling, mencari susuk pelajar yang berpakaian sama dengan saudari tersebut (sebab ana difahamkan mereka dihantar secara berkumpulan oleh kolej mereka menuntut untuk menyelesaikan praktikal mereka). Namun dalam masa yang sama juga ruangan minda ini diasak persoalan yang mendesak-desak datang secara tiba-tiba:

1. Mengapa perkataan seperti itu boleh keluar dari mulut seorang muslimah melayu?;
2. Statment itu datang dari seorang pelajar, dan adakah bermakna ia mewakili seluruh pelajar perempuan islam di kolej tersebut? Berapa ramaikah pelajar perempuan islam di kolej tersebut?;
Jika ya, Siapa yang bertanggungjawab terhadap perkara ini? (terlintas perkataan ibu ayah, ustaz ustazah,  terbayang kesibukan dan 'kemeriahan' ibu kota Malaysia) Jawapan dan respon yang sinonim jika ada saja isu yang timbul tentang golongan yang bernama 'Remaja'.
3. Apa yang ana dan kita semua mesti lakukan?;
4. Perlukah perkara ini dibiar begitu saja?;
5. Wajarkah menyalahkan 'mereka ini' 100%?;
6. Pernahkah kita berbicara tentang Islam kepada mereka? ataukah kita hanya mudah memandang sinis dengan kesimpulan mudah tanpa bertanya setakat mana mereka tahu tentang hukum agama?

Soalan yang datang menyebabkan fikiran ana berubah. Banyak lagi rupanya yang perlu ana lakukan untuk membantu muslimah diluar sana. Di 'sini' ana sibuk, namun rupanya ramai lagi yang ana tak tergapai. Soalan yang datang juga menyebabkan keputusan ana berubah. Mengapa pada awal tadi ana mengatakan 'ia' merubah masa depan ana. Sebabnya, asalnya ana merancang dan hampir membuat keputusan untuk menghantar proposal penulisan kertas projek berkenaan isu lain, namun setelah tidak berputus asa  memohon doa dan petunjuk walaupun sampai ke hari yang terakhir, akhirnya Allah menzahirkan keputusan-Nya pada peristiwa nan sekejap waktu. Keputusan-Nya yang hanya hadir pada masa dan hari terakhir untuk menghantar tajuk proposal kepada penyelia kertas projek Sekolah Pengajian Islam. Walhal ana telah menyiapkan proposal untuk tajuk asal ana sebulan yang lepas. Namun ana sangat yakin, inilah yang tersirat dalam ayat-ayatNya. Sungguh DIA Maha Mengetahui Segalanya. ALLAHU AKHBAR, ALLAHU AKHBAR, ALLAHU AKHBAR!

 p/s :  Takda jawapan untuk soalan ana di sini, sebab ana mahu kita fikir bersama. =)

Wednesday, March 10, 2010

Baca Dan Dengarkan ini Wahai Pemburu Ilmu!




الملاّحة الشّعريّةﹸ للامام الشّافعي


شكوت ﺇلى وكيع سوء حفظي

فأرشدني ﺇلى ترك المعاصي

و أخبرني بأن العلمﹶ نورﹲ

و نور الله لا يهدى لعاصي



وقال 


من نالﹶ منّي أو علّقتﹸ بذمتهﹺ

سامحتهﹸ ﹺلله راجياﹰ منّتهﹸ

كيلا أعوّقﹶ مؤمناﹰ يوم الجزاء


ولا أسوء محمداﹰ في أمتهﹺ



قال

سأكتم علمي عن ذوي الجهل طاقتي

ولا أنثرﹸ الدﱡرﱠ النّفيسﹶ على الغنمﹺ

ﻔﺈن يسراللهﹸ الكريم بفضلهﹺ


وصادفتﹸ أهلاﹰ للعلوم وللحكمﹺ


بثثتﹸ مفيداﹰ واستفدتﹸ ودادهمﹾ


وﺇلاّ فمخزونﹲ لديّ ومكتتمﹸ


فمن منح الجهّالﹶ ﹺعلماﹰ أضاعهﹸ


ومن منعﹶ المستوجبين فقدﹾ ظلم


Monday, February 15, 2010

Yang Bernama Insan


Assalam'alaikum warahmatuLLAH.

Hamdan shukran liLLAH.

Setelah sekian lama tidak melawati laman ini, terasa rindu nak mencatat sesuatu. Maafkan ana, bukan terlupa nak menulis, bukan juga sengaja tak nak menulis, tapi kekangan masa dan kesempatan menyebabkan ada perkara yang perlu di letakkan ke tepi untuk sekejap waktu.

Shukran atas desakan adik2 yang sentiasa bertanya, "kak, bila nak up date blog?" atau "Kak, dah lama blog terbiar? tak da post terbaru?". Bila ditanya macam tu, ana hanya mampu tersenyum. =) Ada banyak yang nak ditulis, dik. Banyak sangat, tapi sungguh, tangan yang ada ini adakalanya tak terjangkau akan pena dek amanah yang dipegang terlalu besar. Mungkin ia agak berbentuk alasan tapi Insya Allah, semoga menjadi pendidikan berharga buat diri. =)
"Mujahidah Solehah, Tidak Leka Dibuai Indah Tidak Resah Diselimuti Mehnah"

Monday, November 9, 2009

:: HAMPIR TIBA DI PENGHUJUNGNYA ::


Alhamdulillah wa hamdan syukran lillah.


Terlalu lama rasanya tak menjenguk laman yang hampir usang ni. Masa itu ada, cuma kesempatan sentiasa menghimpit masa sehingga adakalanya menjadi agak sempit. Tak terkejar dengan tugas dan obligasi yang perlu di selesaikan. Tambahan lagi dengan hujan amanah yang sejak kebelakangan ini sering datang bertimpa-timpa. Hanya sebulan berlalu, tapi serasa terlalu banyak perubahan yang berlaku. Adakalanya mengundang penguasaan emosi melebihi kewarasan akal. Syukur dikurniakan ibu ayah dan sahabat yang sentiasa memberi semangat dan perutusan doa yang tidak putus meskipun di sempadani jarak yang jauh. Bukankah sahabat sejati itu bukanlah yang sentiasa di sisi, tetapi dia juga adalah insan yang dekat dihati dan diingati dalam setiap bisikan doanya. Syukran jiddan ma dan pa', kak jiya, kak munawirah dan adik2 usrah yang disayangi. =) Pesan dan doa kalian akan ditanam subur di taman iman ini. Biiznillah.

Ehmm, setelah 2 minggu berlalu, kini hampir tiba di penghujung minggu imtihan niha'i. Hanya tinggal satu subjek lagi yang menanti hari esok sebelum berakhirnya semester ini. Undang-Undang Tort Perbandingan. Tak terasa pantas sungguh semester ini berlalu. Akan menjengah pula semester hadapan dengan tuntutan tugas yang pastinya lebih banyak dan lebih mencabar. Semoga diri terus thabats dalam laluan ini. Dalam setiap kepayahan dalam perjalanan menuntut ilmu ini, terbayang kepayahan dan kesungguhan para pencinta ilmu dan pemburu Ilmu, Malik bin Anas, Muhammad bin Idris (as syafi'e), al hanafi, Sufyan al-tsauri, Ahmad bin Hanbal, Muslim bin hajjaj, Ibn Taimiyah, Yahya bin muin, as-Syaukani, Ibn Hazm, al-dzahabi dan terlalu banyak lagi ilmuan yang menjadi pemburu ilmu. Terasa terlalu kecil kepayahan yang dialami berbanding mereka ini yang berkorban seluruh harta kehidupan hatta demi setitis ilmu yang tidak mungkin akan dilepaskan. Biarlah mereka dari fahaman dan mazhab mana sekalipun, apa yang ingin ana genggam tentang mereka, kesungguhan dan kecintaan mereka pada ilmu.

Teringat kata-kata ustazah aeshah, "ilmu tidak akan mampu untuk hidup bersama dengan kekenyangan, tidur berlebihan dan kemewahan serta keselesaan." Imam Syafi'e ketika ditanya tentang penderitaannya dalam menuntut ilmu, berkata " Selama 16 tahun, aku tidak mempunyai makanan selain dua ketul roti dan satu biji kurma. Aku memakannya hanya untuk sekadar mengalas perutku yang lapar." Dia ditanya lagi, "Untuk apa engkau melakukan itu?" Imam as-Syafi'e menjawab "Aku melakukannya agar membuatku mudah dalam menghafal imu dan fiqh . Aku meninggalkan makanan itu demi ilmu. Dan kemudian Allah memberiku rezeki lagi." Imam Syafi'e juga pernah berkata "Wahai Abu Musa, aku pernah menderita miskin sebanyak 3 kali. Bukankah engkau pernah melihatku sedang makan ikan dengan kurma? tidak ada makanan selain itu." Ibn Aqil juga pernah menceritakan tentang dirinya, " Aku berusaha sekuat tenagaku memangkas waktu kesibukanku yang lain demi menjaga waktu agar dapat membaca lebih banyak. Aku rela tidak makan roti dan hanya makan manisan dengan secawan air, kerana jika aku makan roti, maka banyaklah masaku terbuang."
Betapa ana sedar bahawa mengapa hari ini terlalu sukar untuk menemui seorang Syafi'e, ibn Aqil, Maliki, Hanafi mahupun seorang Ahmad. Yang meninggalkan makanan yang lazat demi menjaga ilmu. Yang meninggalkan keselesaan demi kemuliaan ilmu. Hari ini, yang ada dan sering ditemui, hanya yang tak makan sebab masalah kewangan. Bukan kerana ingin menjaga ilmu yang dimiliki, tapi kerana poket tak berisi.

"Ilmu itu adalah sesuatu yang paling berharga. Lihatlah, orang yang bodoh sekalipun, saat orang lain menyangka bahawa dia berilmu, pastilah amat senang hatinya. Dan sungguh bodoh seseorang, bila ia tidak suka saat mendapatkan ilmu dan marah saat disangka orang bahawa dia berilmu." (Imam as-Syafi'e)

-Mujahidah Solehah, Menghayun langkah Memperkasa ilmu Menjana Peribadi Berminda Kelas Pertama-

Monday, September 21, 2009

EPISOD SEBUAH PERJALANAN

(Ana hanya ingin berkongsi pengalaman insan yang pernah hadir dalam episod hidup ana. Sebagai pengajaran. Sebagai panduan kehidupan. Tiada kena mengena dengan sesiapa. Jika ada, semua itu bukan kebetulan, tapi ia adalah percaturan Ar-Rahman. =)


CATATAN KEHIDUPAN 1

Seusai mendakap dan mengucup lama naskah Al-Quran yang telah dibaca, Athirah meletakkan kitabullah itu di atas rak buku bersebelahan katil, sebelum sujud semula di atas sejadah yang masih terhampar dihadapan seorang hamba Allah ini yang masih belum terasa untuk beranjak dari bermunajat pada Rabbnya. Buat sekian kalinya, air dingin yang setia mengalir tanpa henti menimbulkan suara esakan yang tenggelam timbul. Esakan yang turut mengiringi simfoni alam yang juga pada saat ini sedang berzikir menyambut ketibaan dinihari. Irama khas yang mengiringi hamba dan pencinta yang sedang masyhuk memadu cinta dengan Khaliknya. Irama yang menjadi saksi bisu sang Ibadur Rahman yang tidak pernah jemu menyembah dan memuja Kekasihnya. Irama yang menghasilkan alunan lagu yang syahdu dan sendu. Bersama lirik yang tercipta telus dari hati. Lirik tanpa ulangan. Lirik tanpa kesudahan.

" Ya Allah, telah jauh perjalanan hambaMu ini. Telah banyak yang ana lalui. Adakalanya dalam perjalanan ini ana berlari, dan dalam larian itu seringkali ana terjatuh. Ana tak punya kudrat untuk berdiri apatahlagi untuk merawat luka yang berdarah ini. Bila ana lihat disekeliling, ana melihat keluarga dan sahabat lain ada di sisi. Raut-raut wajah yang ana kasihi ini datang menghampiri. Terasa hampir sembuh luka ini walaupun pedihnya masih menggigit. Terasa gagah untuk berdiri untuk menyambut huluran tangan mereka walaupun kudrat seranting cuma. Tanpa mempedulikan darah yang mengalir, ana menggagahi kaki untuk berdiri. Ana ingin bersama mereka meneruskan perjalanan ini. Biarlah, dengan kaki yang tempang, ana tetap akan bersama mereka. Ana tahu, ana akan buktikan, apapun yang terjadi, mereka masih menyayangi ana. =)

Namun Ya Rabbi, ana ini hanya seorang hamba. Layaknya menjadi hamba. Hati itu bukan ana yang memegangnya. Kasih dan sayang itu bukan ana yang menjaminnya.
Rabbi, Rupanya tangan yang mereka hulurkan itu bukan untuk menolong diri ini. Rupanya tangan yang diangkat itu bukan untuk memberi kata semangat. Tapi rupanya tangan-tangan itu adalah sebuah lambaian. Tanda ucapan selamat tinggal. Dan lambaian mereka itu akhirnya disusuli larian yang semakin laju. Ana tidak mengerti. Ana terkedu. Terkesima. Senyuman ini bertukar tangisan. Langkah ini menjadi engsotan. Ana tertinggal. Ana ditinggal."

Waktu telah menghampiri subuh, namun esakan Athirah masih berbaki. Sejurus melafazkan ayat "Ana ditinggal" , empangan air mata Athirah kembali pecah. Rasa sebak yang datang semakin menghimpit jiwa muslimah yang terlalu lemah ini.
" Ya Ilahi, dalam tangisan itu ana menjerit, "Ibu! Ayah!, Jangan tinggalkan tirah! tirah janji akan menghargai kemewahan yang diberi. Tirah janji! Tirah akan berjimat, tirah akan dengar kata ayah, supaya tak membazir dengan menderma pada program yang tak bagi untung pada keluarga. Ya, ayah. Tira akan ikut. Ibu! tirah akan dengar kata ibu agar tidak membuang tenaga dan masa menghadiri program-program yang tiada pulangan, program yang tiada pengiktirafan.
Abang! Kakak! tunggu tirah!, tirah akan jadi adik yang memahami. Tirah akan jadi adik yang patuh kata!Tirah takkan pernah bantah cakap lagi! Tirah akan ikut, jika abang dan kak tak suka pakaian tirah, kalau pakaian tirah memalukan abang dan kakak, pakaian tirah ketinggalan zaman, tirah akan ubah. Tolong jangan tinggal tira sorang-sorang! Adik! jangan tinggal kakak! Kakak janji kakak akan menjadi kakak yang lembut. Bila adik buat silap, kakak janji takkan marah adik. Kakak akan jaga hati dan perasaan adik. Kakak tak akan berleter lagi, kakak akan beri adik kebebasan. Kakak janji! Tapi jangan tinggal kakak dik! Adiiiiik!
Ya Allah, dalam juraian yang tada henti ini, ana masih punya harapan. Ana masih punya sahabat. Ana mahu tersenyum. Ana ingin melihat wajah sahabat ana, tapi Ya Rahim, mereka juga sama. Ya Rafiq, hanya lambaian yang mereka tinggalkan. Lantas, luahan ini tak mampu ana halang. Ana meraung. Ya Allah, tahukah mereka, luka ini sangat pedih? mengertikah mereka, kaki ini sudah tidak mampu berdiri?

Ana menjerit Ya Sama', ana menjerit, ana merayu, tapi mereka masih tidak menoleh sedikitpun. Hina sangatkah ana Ya Karim? sehingga mereka malu? sehingga mereka sanggup tinggalkan ana? Bukankah ana ini keluarga mereka? bukankah ana ini sahabat mereka?

Ya Rahman, ana ditinggalkan oleh mereka yang ana kasihi. Ana bingung mancari bantuan.

Ya Allah, langit itu semakin gelap, ana perlukan tempat berteduh. Ana hampir berputus asa.
Lalu dengan RahmatMu, Kau berikan ana bantuan. Teduhan untuk malam ini. Tapi esok? adakah untuk ana?

Ya Rabbi, mereka semakin jauh, sedang cahaya yang Kau pinjamkan ini hanya cukup untuk semalaman perjalanan. Dan, bekalan yang ana bawa ini...
Cukupkah bekalan ini untuk bertemu denganMu? adakah bekalan ini sudah cukup dan mengenyangkan? cukupkah untuk diri ana? bolehkah ana berkongsi bekal ini bersama keluarga dan sahabat-sahabat ana nanti? ataukah bekalan ini sebenarnya masih tidak mencukupi hatta untuk ana sendiri?"
"Bantulah ana Ya Qawwiy, bantu ana. Beri ana kekuatan untuk menggagahi langkah ini"

Athirah menahan sebak lagi. Jika diukur tahap sebaknya, boleh pecah dada yang menanggung. Air matanya mengalir sehingga lencun basah sejadah berwarna putih bersih itu. Athirah cuba menarik nafas sedalamnya sebelum mengakhiri kebiasaannya yang sujud seketika selepas solat.

"Ya Wajid, jauh benar perjalanan ini. Namun jauh perjalanan ini rupanya masih tidak mampu menjamin sebuah keyakinan. Keyakinan untuk memiliki cintaMu. Dan KekasihMu."
Azan berkumandang sebaik sahaja Athirah bangkit dari sujud 'seketikanya' pagi itu. "Allahu Akbar, lama benar ana sujud rupanya". Athirah tersenyum sambil menyapu air mata ketika melihat sejadah dan telekungnya lencun. "Hmm, kalau perah ni, boleh buat basuh baju ni". Tanpa berlengah, Athirah menanggalkan telekung lantas bangkit menuju bilik air untuk memperbaharui wudhuk.

Ya, pagi yang hening itu terus menjadi saksi Athirah Zahrah binturRafiq menjadi penyair yang tidak berijazah. Syair yang hanya didendangkan di hadapan Pemilik Ilham. Pencipta Alam.




p/s : Episod ini, episod seorang abid, seorang pejuang. Seorang dai'e, seorang anak, seorang kakak, adik dan juga seorang sahabat. Juga adalah seorang musafir di perjalanan kehidupan menuju destinasi abadi.

Sunday, September 13, 2009

Secebis ingatan buatmu... Sahabiah


Salaam Ramadhan Kareem, Allahu Akram.

Bismillah wa hamdan, syukran lillah. Semalam ana dimaklumkan tentang khabar salah seorang adik usrah ana yang telah selamat tiba di bumi Jordan beberapa hari lepas. Lantas Ingatan ini ana tujukan buat adik2 usrah ana yang tersayang, khasnya buat Ruqayah yang kini sedang dalam perjuangan menuntut ilmu di bumi Allah, nun jauh di timur tengah. Ketahuilah, meskipun usia perkenalan kita hanya seketika, ikatan ukhuwwah yang terbina dari asas akidah dan fikrah yang satu ini akan kakak catat dalam diari kehidupan kakak dengan pena yang tidak mungkin mudah terpadam, biiznillah. Doakan kakak dan sahabiah lain agar diberi keizinan menyusul anti di bumi barakah.




Berdiri di atas kudrat seorang insan,
Adakalanya goyah dihempas bayu dunia.
Hampir tersungkur, namun bangkit semula.
Bertaut pada ranting keimanan.
Terikat pada tali ukhwah...
Namun, semua itu bisa saja terungkai,
Andai tidak ditunjangi akidah yang benar,
Iman yang mantap dan Amal yang ikhlas.
Muslimah,
Bertautlah pada dahan yang kukuh.
Bernaunglah di bawah pohon kasih Ar-Rahman.
Ikatlah kukuh hatimu pada tali ketaqwaan...

Dimana saja kelak dirimu dicampakkan,
Kau akan menjadi benih pohon yang subur ditanah gersang...
Mutiara bersinar dicelah serpihan kaca yang melukakan...
Dan, kau akan menjadi air yang mengalir dibumi yang tandus.

Berjalanlah... berlarilah... terbanglah dan berlayarlah
Kemanapun kau pergi, Jasadmu yang jauh...
Namun ingatlah...
Sekeping hatimu itu adalah milik ILAHI.
Cinta dan kasihmu itu dariNya Rabbi.
DariNya dan KepadaNya kita akan kembali...


Hanya sedikit coretan, namun kakak mendoakan kita semua menjadi muslimah yang akan terus setia memegang erat dan menjulang panji Islam dimanapun kita berada. Ingatlah, 'DIMANA BUMI DIPIJAK, DISITU HUKUM ALLAH DIJUNJUNG'


~Muslimah Solehah mengegar dunia dengan Kekuatan Iman dan Ilmu,
Bukan dengan Keayuan senyuman dan Kelembutan bicara~

Monday, August 24, 2009

RAMADHAN, TETAMU YANG DIRINDUI

Salam Ramadhan Kareem, Allahu Akram...


Setahun yang dinanti kini menjelma kembali. Rasa gembira dan syukur bila dapat bertemu semula dengan Ramadhan tahun ini. Terlintas salam hati kecil,"Rupanya Ramadhan masih sudi menjadi tetamu, menjengah suri iman dalam diri". Terasa Roh Ramadhan meresap ke segenap ruang jasad, seusai menunaikan solat tarawih malam Ramadhan beberapa hari yang lalu. Ini kali ke 2 ana menunaikan ibadah puasa di negeri orang. Ya, banyak perbezaannya. Perbezaan yang adakalanya mengundang sendu hati. Jauh dari famili. Namun, pada ana, bukan itu yang menjadi prioriti. Apa yang ana fikirkan adalah tentang diri ana dan Ramadhan. Ana dan "tetamu" ana. (Yang pastinya bukan orang yang bernama Ramadhan)


Dalam persediaan menunggu tetamu Ramadhan tiba, telah banyak cadangan persiapan dan tentatif yang ada dalam minda. Nak habiskan tadarus dan tadabbur Al-Quranul Kareem, tak nak tinggal terawih, tak nak tinggal tahajjud, nak mantapkan dhuha, nak iktikaf, tak nak tinggal sahur(maklumlah, hidup penuntut ilmu dalam masa yang sama pejuang ilmu, adakalanya tugasan yang "sedikit" menuntut masa dan tenaga yang juga tidak sedikit), nak jaga amalan-amalan sunat, tak nak masa berlalu seminit tanpa mengingati dan berzkikir padaNya, dan ada lagi agenda yang telah dirancang khas untuk tetamu mulia ini. Semua kerananya, Ramadhan.


Dalam kesungguhan merancang aktiviti fardhi, terasa kejap masa berputar. Rupanya, sudah 3 hari Ramadhan menjengah hari, berlalu pergi. Masih segar dalam ingatan, malam pertama menyambut Ramadhan. Jika para wanita ansar menyambut Rasulullah dengan nyanyian "Tola'al badru 'alaina", tapi, baginya Ramadhan, solat sunat tarawih menjemput kedatangan tetamu yang mulia ini. Rasa sejuk dan damai saat imam masjid membacakan Al-Fatihah. Terasa lain benar roh bacaan Ummul Qur'an ini dengan kedatangan Ramadhan. Disambung dengan surah Al-Baqarah. Namun, bila saja imam membacakan surah Al-Baqarah ayat 6 dan 7, terasa dada ini menjadi sesak. Takungan air mata yang disimpan untuk esok subuh, runtuh tanpa penghalang. Betapa dalam lautan kenikmatan iman yang Allah hamparkan buat hamba-Nya, masih ada yang kufur. Betapa Allah telah mengunci mati hati dan pendengaran mereka yang kufur, menutup penglihatan mereka dari sinar hidayah. Namun, apa yang lebih menampar iman ana, "Dan bagi mereka siksa yang amat berat".


Bila dilafazkan lagi ayat 8, 9 dan seterusnya, betapa harga air mata ini terlalu murah. Mengapa, ada lagi manusia yang sanggup menipu Allah dan orang-orang beriman? Tidakkah kaum munafik sedar bahawa Allah itu Khalik mereka? betapa sangat ego dan sombong golongan munafik ini. Ya, dada yang sesak ini kerana rasa gerun yang menapak, mengenang sifat Qahar-Nya. Namun, air jernih ini mengalir juga kerana terkilan dan sedih, mengenang umat akhir zaman. Mungkin, tanpa kita sedari, golongan yang dimaksudkan dalam ayat ini, ada dalam kalangan kita.(Siapa Tahu? hanya ALLAH Yang Maha Tahu). Mengapa? bila dihadapan orang beriman, kita sanggup mengaku beriman, kita pejuang agama. Rela bersama menjulang panji Islam. Walhal dalam masa yang sama, kitalah pelaku maksiat. Kitalah yang berterusan melakukan dosa. Kitalah duri dalam perjuangan Islam. Bila dipihak lain, kita gelakkan sahabat kita yang sanggup bersekang mata demi perjuangan Islam. Kita pandang rendah sahabat kita yang laju dalam gerak kerja, tapi "slow-motion" dalam akademik. Kitalah jua yang menjatuhkan sahabat dan gerak kerja. Kitalah yang membocorkan rahsia, tanzim gerakan. Siapa Tahu? Hanya kita dan Allah Maha Tahu.(Sudah jauh rupanya ana mebawa tetamu ana berjalan, dari tarawih kepada gerakan. Maklumlah, Fitrah pejuang.=)
(Ya Allah! kami berlindung dengan-Mu dari sifat Munafik dan dusta. Sifat yang dimiliki oleh kaum yang Engkau Murkai.)


Hakikatnya, rasa itulah yang mendera ana pada malam pertama Ramadhan kali ini. Rasa yang sangat menyakitkan dalam kegembiraan menyambut Ramadhan. (Hingga makcik yang solat sebelah ana menoleh seusai solat. Mungkin makcik tu tertanya "anak ni solat tarawih ke solat taubat?"=). Apapun, Sungguh Al-Quran adalah peringatan yang tidak akan lapuk di mamah zaman. Ya Rahman, Pemilik Kalam, Jadikanlah akhlak kami akhlak Al-Quran. Jadikanlah generasi kami generasi Al-Quran. Ameen.




*Dalam keterujaan menyambut tetamu yang istimewa ini, satu rasa yang hadir menujah-nujah tanpa dapat dihalang. Rasa sayu. Terasa sesak dada bila mengenangkan andai ini adalah Ramadhan terakhir. Ya, andai ini Ramadhan terakhir. Sempatkah ana graduate dengan cemerlang? Dapatkah ana anugerah puasa Khusus Khusus? Ataukah hanya layak dengan pointer puasa khusus? atau lebih kritikal masih tertahan diperingkat umum?
(Soalan untuk upin&ipin : Boleh tak, nak dakap Ramadhan supaya tak berlalu pergi?)
~Mujahidah Solehah Menjadikan Ramadhan Akademi Tarbiah Allah,
Membentuk Graduan Berjiwa Rabbaniah~

::Mutiara Hadith::

::Mutiara Hadith::
Daripada Abu Hurairah r.a berkata: Seorang lelaki dari kalangan orang ansar telah datang mengadukan halnya kepada Rasulullah s.a.w. Ia berkata: Wahai Rasulullah! Aku sesungguhya mendengar perkataanmu dan aku sangat kagum dan hairan dengan keindahannya tetapi aku tidak dapat menghafalnya. Maka apa yang perlu aku lakukan? Maka sabda Nabi s.a.w: "Hendaklah engkau menggunakan tangan kananmu," sambil Baginda mengisyaratkan supaya ia menulis apa yang ia dengarkan". (H.R Tirmidzi)

~Bicara Zahidah~

~Bicara Zahidah~
"Wahai Rabbi, Jika aku sujud kepadaMu kerana gerun dengan api nerakaMu, Maka bakarlah aku didalamnya. Dan jika aku sujud kepadaMu kerana tamakkan syurgaMu, Maka halanglah aku daripadanya. Tetapi jika aku sujud kepadaMu kerana kecintaanku kepadaMu, Maka kurniakanlah aku balasan yang besar. Izinkanlah aku melihat wajahMu Yang Maha Agung dan Mulia itu..."
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...