(Ana hanya ingin berkongsi pengalaman insan yang pernah hadir dalam episod hidup ana. Sebagai pengajaran. Sebagai panduan kehidupan. Tiada kena mengena dengan sesiapa. Jika ada, semua itu bukan kebetulan, tapi ia adalah percaturan Ar-Rahman. =)
CATATAN KEHIDUPAN 1
Seusai mendakap dan mengucup lama naskah Al-Quran yang telah dibaca, Athirah meletakkan kitabullah itu di atas rak buku bersebelahan katil, sebelum sujud semula di atas sejadah yang masih terhampar dihadapan seorang hamba Allah ini yang masih belum terasa untuk beranjak dari bermunajat pada Rabbnya. Buat sekian kalinya, air dingin yang setia mengalir tanpa henti menimbulkan suara esakan yang tenggelam timbul. Esakan yang turut mengiringi simfoni alam yang juga pada saat ini sedang berzikir menyambut ketibaan dinihari. Irama khas yang mengiringi hamba dan pencinta yang sedang masyhuk memadu cinta dengan Khaliknya. Irama yang menjadi saksi bisu sang Ibadur Rahman yang tidak pernah jemu menyembah dan memuja Kekasihnya. Irama yang menghasilkan alunan lagu yang syahdu dan sendu. Bersama lirik yang tercipta telus dari hati. Lirik tanpa ulangan. Lirik tanpa kesudahan.
" Ya Allah, telah jauh perjalanan hambaMu ini. Telah banyak yang ana lalui. Adakalanya dalam perjalanan ini ana berlari, dan dalam larian itu seringkali ana terjatuh. Ana tak punya kudrat untuk berdiri apatahlagi untuk merawat luka yang berdarah ini. Bila ana lihat disekeliling, ana melihat keluarga dan sahabat lain ada di sisi. Raut-raut wajah yang ana kasihi ini datang menghampiri. Terasa hampir sembuh luka ini walaupun pedihnya masih menggigit. Terasa gagah untuk berdiri untuk menyambut huluran tangan mereka walaupun kudrat seranting cuma. Tanpa mempedulikan darah yang mengalir, ana menggagahi kaki untuk berdiri. Ana ingin bersama mereka meneruskan perjalanan ini. Biarlah, dengan kaki yang tempang, ana tetap akan bersama mereka. Ana tahu, ana akan buktikan, apapun yang terjadi, mereka masih menyayangi ana. =)
Namun Ya Rabbi, ana ini hanya seorang hamba. Layaknya menjadi hamba. Hati itu bukan ana yang memegangnya. Kasih dan sayang itu bukan ana yang menjaminnya.
Rabbi, Rupanya tangan yang mereka hulurkan itu bukan untuk menolong diri ini. Rupanya tangan yang diangkat itu bukan untuk memberi kata semangat. Tapi rupanya tangan-tangan itu adalah sebuah lambaian. Tanda ucapan selamat tinggal. Dan lambaian mereka itu akhirnya disusuli larian yang semakin laju. Ana tidak mengerti. Ana terkedu. Terkesima. Senyuman ini bertukar tangisan. Langkah ini menjadi engsotan. Ana tertinggal. Ana ditinggal."
Waktu telah menghampiri subuh, namun esakan Athirah masih berbaki. Sejurus melafazkan ayat "Ana ditinggal" , empangan air mata Athirah kembali pecah. Rasa sebak yang datang semakin menghimpit jiwa muslimah yang terlalu lemah ini.
" Ya Ilahi, dalam tangisan itu ana menjerit, "Ibu! Ayah!, Jangan tinggalkan tirah! tirah janji akan menghargai kemewahan yang diberi. Tirah janji! Tirah akan berjimat, tirah akan dengar kata ayah, supaya tak membazir dengan menderma pada program yang tak bagi untung pada keluarga. Ya, ayah. Tira akan ikut. Ibu! tirah akan dengar kata ibu agar tidak membuang tenaga dan masa menghadiri program-program yang tiada pulangan, program yang tiada pengiktirafan.
Abang! Kakak! tunggu tirah!, tirah akan jadi adik yang memahami. Tirah akan jadi adik yang patuh kata!Tirah takkan pernah bantah cakap lagi! Tirah akan ikut, jika abang dan kak tak suka pakaian tirah, kalau pakaian tirah memalukan abang dan kakak, pakaian tirah ketinggalan zaman, tirah akan ubah. Tolong jangan tinggal tira sorang-sorang! Adik! jangan tinggal kakak! Kakak janji kakak akan menjadi kakak yang lembut. Bila adik buat silap, kakak janji takkan marah adik. Kakak akan jaga hati dan perasaan adik. Kakak tak akan berleter lagi, kakak akan beri adik kebebasan. Kakak janji! Tapi jangan tinggal kakak dik! Adiiiiik!
Ya Allah, dalam juraian yang tada henti ini, ana masih punya harapan. Ana masih punya sahabat. Ana mahu tersenyum. Ana ingin melihat wajah sahabat ana, tapi Ya Rahim, mereka juga sama. Ya Rafiq, hanya lambaian yang mereka tinggalkan. Lantas, luahan ini tak mampu ana halang. Ana meraung. Ya Allah, tahukah mereka, luka ini sangat pedih? mengertikah mereka, kaki ini sudah tidak mampu berdiri?
Ana menjerit Ya Sama', ana menjerit, ana merayu, tapi mereka masih tidak menoleh sedikitpun. Hina sangatkah ana Ya Karim? sehingga mereka malu? sehingga mereka sanggup tinggalkan ana? Bukankah ana ini keluarga mereka? bukankah ana ini sahabat mereka?
Ya Rahman, ana ditinggalkan oleh mereka yang ana kasihi. Ana bingung mancari bantuan.
Ya Allah, langit itu semakin gelap, ana perlukan tempat berteduh. Ana hampir berputus asa.
Lalu dengan RahmatMu, Kau berikan ana bantuan. Teduhan untuk malam ini. Tapi esok? adakah untuk ana?
Ya Rabbi, mereka semakin jauh, sedang cahaya yang Kau pinjamkan ini hanya cukup untuk semalaman perjalanan. Dan, bekalan yang ana bawa ini...
Cukupkah bekalan ini untuk bertemu denganMu? adakah bekalan ini sudah cukup dan mengenyangkan? cukupkah untuk diri ana? bolehkah ana berkongsi bekal ini bersama keluarga dan sahabat-sahabat ana nanti? ataukah bekalan ini sebenarnya masih tidak mencukupi hatta untuk ana sendiri?"
"Bantulah ana Ya Qawwiy, bantu ana. Beri ana kekuatan untuk menggagahi langkah ini"
Athirah menahan sebak lagi. Jika diukur tahap sebaknya, boleh pecah dada yang menanggung. Air matanya mengalir sehingga lencun basah sejadah berwarna putih bersih itu. Athirah cuba menarik nafas sedalamnya sebelum mengakhiri kebiasaannya yang sujud seketika selepas solat.
"Ya Wajid, jauh benar perjalanan ini. Namun jauh perjalanan ini rupanya masih tidak mampu menjamin sebuah keyakinan. Keyakinan untuk memiliki cintaMu. Dan KekasihMu."
Azan berkumandang sebaik sahaja Athirah bangkit dari sujud 'seketikanya' pagi itu. "Allahu Akbar, lama benar ana sujud rupanya". Athirah tersenyum sambil menyapu air mata ketika melihat sejadah dan telekungnya lencun. "Hmm, kalau perah ni, boleh buat basuh baju ni". Tanpa berlengah, Athirah menanggalkan telekung lantas bangkit menuju bilik air untuk memperbaharui wudhuk.
Ya, pagi yang hening itu terus menjadi saksi Athirah Zahrah binturRafiq menjadi penyair yang tidak berijazah. Syair yang hanya didendangkan di hadapan Pemilik Ilham. Pencipta Alam.
p/s : Episod ini, episod seorang abid, seorang pejuang. Seorang dai'e, seorang anak, seorang kakak, adik dan juga seorang sahabat. Juga adalah seorang musafir di perjalanan kehidupan menuju destinasi abadi.
No comments:
Post a Comment