::Ahlan Wa Sahlan::

::Wahai Pemilik Ilmu::

"The beauty of a woman is not in the clothes she wears, The figure she carries, or the way she combs her hairs. The beauty of a woman must be seen from her eyes. Because that is the doorway to her heart, The place where love resides. The beauty of a woman is not the facial mole, But true beauty in a woman is reflected in her soul. It is caring that she lovingly gives, The passion that she shows. The beauty of a woman, With passing years-only grows..."

Monday, November 9, 2009

:: HAMPIR TIBA DI PENGHUJUNGNYA ::


Alhamdulillah wa hamdan syukran lillah.


Terlalu lama rasanya tak menjenguk laman yang hampir usang ni. Masa itu ada, cuma kesempatan sentiasa menghimpit masa sehingga adakalanya menjadi agak sempit. Tak terkejar dengan tugas dan obligasi yang perlu di selesaikan. Tambahan lagi dengan hujan amanah yang sejak kebelakangan ini sering datang bertimpa-timpa. Hanya sebulan berlalu, tapi serasa terlalu banyak perubahan yang berlaku. Adakalanya mengundang penguasaan emosi melebihi kewarasan akal. Syukur dikurniakan ibu ayah dan sahabat yang sentiasa memberi semangat dan perutusan doa yang tidak putus meskipun di sempadani jarak yang jauh. Bukankah sahabat sejati itu bukanlah yang sentiasa di sisi, tetapi dia juga adalah insan yang dekat dihati dan diingati dalam setiap bisikan doanya. Syukran jiddan ma dan pa', kak jiya, kak munawirah dan adik2 usrah yang disayangi. =) Pesan dan doa kalian akan ditanam subur di taman iman ini. Biiznillah.

Ehmm, setelah 2 minggu berlalu, kini hampir tiba di penghujung minggu imtihan niha'i. Hanya tinggal satu subjek lagi yang menanti hari esok sebelum berakhirnya semester ini. Undang-Undang Tort Perbandingan. Tak terasa pantas sungguh semester ini berlalu. Akan menjengah pula semester hadapan dengan tuntutan tugas yang pastinya lebih banyak dan lebih mencabar. Semoga diri terus thabats dalam laluan ini. Dalam setiap kepayahan dalam perjalanan menuntut ilmu ini, terbayang kepayahan dan kesungguhan para pencinta ilmu dan pemburu Ilmu, Malik bin Anas, Muhammad bin Idris (as syafi'e), al hanafi, Sufyan al-tsauri, Ahmad bin Hanbal, Muslim bin hajjaj, Ibn Taimiyah, Yahya bin muin, as-Syaukani, Ibn Hazm, al-dzahabi dan terlalu banyak lagi ilmuan yang menjadi pemburu ilmu. Terasa terlalu kecil kepayahan yang dialami berbanding mereka ini yang berkorban seluruh harta kehidupan hatta demi setitis ilmu yang tidak mungkin akan dilepaskan. Biarlah mereka dari fahaman dan mazhab mana sekalipun, apa yang ingin ana genggam tentang mereka, kesungguhan dan kecintaan mereka pada ilmu.

Teringat kata-kata ustazah aeshah, "ilmu tidak akan mampu untuk hidup bersama dengan kekenyangan, tidur berlebihan dan kemewahan serta keselesaan." Imam Syafi'e ketika ditanya tentang penderitaannya dalam menuntut ilmu, berkata " Selama 16 tahun, aku tidak mempunyai makanan selain dua ketul roti dan satu biji kurma. Aku memakannya hanya untuk sekadar mengalas perutku yang lapar." Dia ditanya lagi, "Untuk apa engkau melakukan itu?" Imam as-Syafi'e menjawab "Aku melakukannya agar membuatku mudah dalam menghafal imu dan fiqh . Aku meninggalkan makanan itu demi ilmu. Dan kemudian Allah memberiku rezeki lagi." Imam Syafi'e juga pernah berkata "Wahai Abu Musa, aku pernah menderita miskin sebanyak 3 kali. Bukankah engkau pernah melihatku sedang makan ikan dengan kurma? tidak ada makanan selain itu." Ibn Aqil juga pernah menceritakan tentang dirinya, " Aku berusaha sekuat tenagaku memangkas waktu kesibukanku yang lain demi menjaga waktu agar dapat membaca lebih banyak. Aku rela tidak makan roti dan hanya makan manisan dengan secawan air, kerana jika aku makan roti, maka banyaklah masaku terbuang."
Betapa ana sedar bahawa mengapa hari ini terlalu sukar untuk menemui seorang Syafi'e, ibn Aqil, Maliki, Hanafi mahupun seorang Ahmad. Yang meninggalkan makanan yang lazat demi menjaga ilmu. Yang meninggalkan keselesaan demi kemuliaan ilmu. Hari ini, yang ada dan sering ditemui, hanya yang tak makan sebab masalah kewangan. Bukan kerana ingin menjaga ilmu yang dimiliki, tapi kerana poket tak berisi.

"Ilmu itu adalah sesuatu yang paling berharga. Lihatlah, orang yang bodoh sekalipun, saat orang lain menyangka bahawa dia berilmu, pastilah amat senang hatinya. Dan sungguh bodoh seseorang, bila ia tidak suka saat mendapatkan ilmu dan marah saat disangka orang bahawa dia berilmu." (Imam as-Syafi'e)

-Mujahidah Solehah, Menghayun langkah Memperkasa ilmu Menjana Peribadi Berminda Kelas Pertama-

Monday, September 21, 2009

EPISOD SEBUAH PERJALANAN

(Ana hanya ingin berkongsi pengalaman insan yang pernah hadir dalam episod hidup ana. Sebagai pengajaran. Sebagai panduan kehidupan. Tiada kena mengena dengan sesiapa. Jika ada, semua itu bukan kebetulan, tapi ia adalah percaturan Ar-Rahman. =)


CATATAN KEHIDUPAN 1

Seusai mendakap dan mengucup lama naskah Al-Quran yang telah dibaca, Athirah meletakkan kitabullah itu di atas rak buku bersebelahan katil, sebelum sujud semula di atas sejadah yang masih terhampar dihadapan seorang hamba Allah ini yang masih belum terasa untuk beranjak dari bermunajat pada Rabbnya. Buat sekian kalinya, air dingin yang setia mengalir tanpa henti menimbulkan suara esakan yang tenggelam timbul. Esakan yang turut mengiringi simfoni alam yang juga pada saat ini sedang berzikir menyambut ketibaan dinihari. Irama khas yang mengiringi hamba dan pencinta yang sedang masyhuk memadu cinta dengan Khaliknya. Irama yang menjadi saksi bisu sang Ibadur Rahman yang tidak pernah jemu menyembah dan memuja Kekasihnya. Irama yang menghasilkan alunan lagu yang syahdu dan sendu. Bersama lirik yang tercipta telus dari hati. Lirik tanpa ulangan. Lirik tanpa kesudahan.

" Ya Allah, telah jauh perjalanan hambaMu ini. Telah banyak yang ana lalui. Adakalanya dalam perjalanan ini ana berlari, dan dalam larian itu seringkali ana terjatuh. Ana tak punya kudrat untuk berdiri apatahlagi untuk merawat luka yang berdarah ini. Bila ana lihat disekeliling, ana melihat keluarga dan sahabat lain ada di sisi. Raut-raut wajah yang ana kasihi ini datang menghampiri. Terasa hampir sembuh luka ini walaupun pedihnya masih menggigit. Terasa gagah untuk berdiri untuk menyambut huluran tangan mereka walaupun kudrat seranting cuma. Tanpa mempedulikan darah yang mengalir, ana menggagahi kaki untuk berdiri. Ana ingin bersama mereka meneruskan perjalanan ini. Biarlah, dengan kaki yang tempang, ana tetap akan bersama mereka. Ana tahu, ana akan buktikan, apapun yang terjadi, mereka masih menyayangi ana. =)

Namun Ya Rabbi, ana ini hanya seorang hamba. Layaknya menjadi hamba. Hati itu bukan ana yang memegangnya. Kasih dan sayang itu bukan ana yang menjaminnya.
Rabbi, Rupanya tangan yang mereka hulurkan itu bukan untuk menolong diri ini. Rupanya tangan yang diangkat itu bukan untuk memberi kata semangat. Tapi rupanya tangan-tangan itu adalah sebuah lambaian. Tanda ucapan selamat tinggal. Dan lambaian mereka itu akhirnya disusuli larian yang semakin laju. Ana tidak mengerti. Ana terkedu. Terkesima. Senyuman ini bertukar tangisan. Langkah ini menjadi engsotan. Ana tertinggal. Ana ditinggal."

Waktu telah menghampiri subuh, namun esakan Athirah masih berbaki. Sejurus melafazkan ayat "Ana ditinggal" , empangan air mata Athirah kembali pecah. Rasa sebak yang datang semakin menghimpit jiwa muslimah yang terlalu lemah ini.
" Ya Ilahi, dalam tangisan itu ana menjerit, "Ibu! Ayah!, Jangan tinggalkan tirah! tirah janji akan menghargai kemewahan yang diberi. Tirah janji! Tirah akan berjimat, tirah akan dengar kata ayah, supaya tak membazir dengan menderma pada program yang tak bagi untung pada keluarga. Ya, ayah. Tira akan ikut. Ibu! tirah akan dengar kata ibu agar tidak membuang tenaga dan masa menghadiri program-program yang tiada pulangan, program yang tiada pengiktirafan.
Abang! Kakak! tunggu tirah!, tirah akan jadi adik yang memahami. Tirah akan jadi adik yang patuh kata!Tirah takkan pernah bantah cakap lagi! Tirah akan ikut, jika abang dan kak tak suka pakaian tirah, kalau pakaian tirah memalukan abang dan kakak, pakaian tirah ketinggalan zaman, tirah akan ubah. Tolong jangan tinggal tira sorang-sorang! Adik! jangan tinggal kakak! Kakak janji kakak akan menjadi kakak yang lembut. Bila adik buat silap, kakak janji takkan marah adik. Kakak akan jaga hati dan perasaan adik. Kakak tak akan berleter lagi, kakak akan beri adik kebebasan. Kakak janji! Tapi jangan tinggal kakak dik! Adiiiiik!
Ya Allah, dalam juraian yang tada henti ini, ana masih punya harapan. Ana masih punya sahabat. Ana mahu tersenyum. Ana ingin melihat wajah sahabat ana, tapi Ya Rahim, mereka juga sama. Ya Rafiq, hanya lambaian yang mereka tinggalkan. Lantas, luahan ini tak mampu ana halang. Ana meraung. Ya Allah, tahukah mereka, luka ini sangat pedih? mengertikah mereka, kaki ini sudah tidak mampu berdiri?

Ana menjerit Ya Sama', ana menjerit, ana merayu, tapi mereka masih tidak menoleh sedikitpun. Hina sangatkah ana Ya Karim? sehingga mereka malu? sehingga mereka sanggup tinggalkan ana? Bukankah ana ini keluarga mereka? bukankah ana ini sahabat mereka?

Ya Rahman, ana ditinggalkan oleh mereka yang ana kasihi. Ana bingung mancari bantuan.

Ya Allah, langit itu semakin gelap, ana perlukan tempat berteduh. Ana hampir berputus asa.
Lalu dengan RahmatMu, Kau berikan ana bantuan. Teduhan untuk malam ini. Tapi esok? adakah untuk ana?

Ya Rabbi, mereka semakin jauh, sedang cahaya yang Kau pinjamkan ini hanya cukup untuk semalaman perjalanan. Dan, bekalan yang ana bawa ini...
Cukupkah bekalan ini untuk bertemu denganMu? adakah bekalan ini sudah cukup dan mengenyangkan? cukupkah untuk diri ana? bolehkah ana berkongsi bekal ini bersama keluarga dan sahabat-sahabat ana nanti? ataukah bekalan ini sebenarnya masih tidak mencukupi hatta untuk ana sendiri?"
"Bantulah ana Ya Qawwiy, bantu ana. Beri ana kekuatan untuk menggagahi langkah ini"

Athirah menahan sebak lagi. Jika diukur tahap sebaknya, boleh pecah dada yang menanggung. Air matanya mengalir sehingga lencun basah sejadah berwarna putih bersih itu. Athirah cuba menarik nafas sedalamnya sebelum mengakhiri kebiasaannya yang sujud seketika selepas solat.

"Ya Wajid, jauh benar perjalanan ini. Namun jauh perjalanan ini rupanya masih tidak mampu menjamin sebuah keyakinan. Keyakinan untuk memiliki cintaMu. Dan KekasihMu."
Azan berkumandang sebaik sahaja Athirah bangkit dari sujud 'seketikanya' pagi itu. "Allahu Akbar, lama benar ana sujud rupanya". Athirah tersenyum sambil menyapu air mata ketika melihat sejadah dan telekungnya lencun. "Hmm, kalau perah ni, boleh buat basuh baju ni". Tanpa berlengah, Athirah menanggalkan telekung lantas bangkit menuju bilik air untuk memperbaharui wudhuk.

Ya, pagi yang hening itu terus menjadi saksi Athirah Zahrah binturRafiq menjadi penyair yang tidak berijazah. Syair yang hanya didendangkan di hadapan Pemilik Ilham. Pencipta Alam.




p/s : Episod ini, episod seorang abid, seorang pejuang. Seorang dai'e, seorang anak, seorang kakak, adik dan juga seorang sahabat. Juga adalah seorang musafir di perjalanan kehidupan menuju destinasi abadi.

Sunday, September 13, 2009

Secebis ingatan buatmu... Sahabiah


Salaam Ramadhan Kareem, Allahu Akram.

Bismillah wa hamdan, syukran lillah. Semalam ana dimaklumkan tentang khabar salah seorang adik usrah ana yang telah selamat tiba di bumi Jordan beberapa hari lepas. Lantas Ingatan ini ana tujukan buat adik2 usrah ana yang tersayang, khasnya buat Ruqayah yang kini sedang dalam perjuangan menuntut ilmu di bumi Allah, nun jauh di timur tengah. Ketahuilah, meskipun usia perkenalan kita hanya seketika, ikatan ukhuwwah yang terbina dari asas akidah dan fikrah yang satu ini akan kakak catat dalam diari kehidupan kakak dengan pena yang tidak mungkin mudah terpadam, biiznillah. Doakan kakak dan sahabiah lain agar diberi keizinan menyusul anti di bumi barakah.




Berdiri di atas kudrat seorang insan,
Adakalanya goyah dihempas bayu dunia.
Hampir tersungkur, namun bangkit semula.
Bertaut pada ranting keimanan.
Terikat pada tali ukhwah...
Namun, semua itu bisa saja terungkai,
Andai tidak ditunjangi akidah yang benar,
Iman yang mantap dan Amal yang ikhlas.
Muslimah,
Bertautlah pada dahan yang kukuh.
Bernaunglah di bawah pohon kasih Ar-Rahman.
Ikatlah kukuh hatimu pada tali ketaqwaan...

Dimana saja kelak dirimu dicampakkan,
Kau akan menjadi benih pohon yang subur ditanah gersang...
Mutiara bersinar dicelah serpihan kaca yang melukakan...
Dan, kau akan menjadi air yang mengalir dibumi yang tandus.

Berjalanlah... berlarilah... terbanglah dan berlayarlah
Kemanapun kau pergi, Jasadmu yang jauh...
Namun ingatlah...
Sekeping hatimu itu adalah milik ILAHI.
Cinta dan kasihmu itu dariNya Rabbi.
DariNya dan KepadaNya kita akan kembali...


Hanya sedikit coretan, namun kakak mendoakan kita semua menjadi muslimah yang akan terus setia memegang erat dan menjulang panji Islam dimanapun kita berada. Ingatlah, 'DIMANA BUMI DIPIJAK, DISITU HUKUM ALLAH DIJUNJUNG'


~Muslimah Solehah mengegar dunia dengan Kekuatan Iman dan Ilmu,
Bukan dengan Keayuan senyuman dan Kelembutan bicara~

Monday, August 24, 2009

RAMADHAN, TETAMU YANG DIRINDUI

Salam Ramadhan Kareem, Allahu Akram...


Setahun yang dinanti kini menjelma kembali. Rasa gembira dan syukur bila dapat bertemu semula dengan Ramadhan tahun ini. Terlintas salam hati kecil,"Rupanya Ramadhan masih sudi menjadi tetamu, menjengah suri iman dalam diri". Terasa Roh Ramadhan meresap ke segenap ruang jasad, seusai menunaikan solat tarawih malam Ramadhan beberapa hari yang lalu. Ini kali ke 2 ana menunaikan ibadah puasa di negeri orang. Ya, banyak perbezaannya. Perbezaan yang adakalanya mengundang sendu hati. Jauh dari famili. Namun, pada ana, bukan itu yang menjadi prioriti. Apa yang ana fikirkan adalah tentang diri ana dan Ramadhan. Ana dan "tetamu" ana. (Yang pastinya bukan orang yang bernama Ramadhan)


Dalam persediaan menunggu tetamu Ramadhan tiba, telah banyak cadangan persiapan dan tentatif yang ada dalam minda. Nak habiskan tadarus dan tadabbur Al-Quranul Kareem, tak nak tinggal terawih, tak nak tinggal tahajjud, nak mantapkan dhuha, nak iktikaf, tak nak tinggal sahur(maklumlah, hidup penuntut ilmu dalam masa yang sama pejuang ilmu, adakalanya tugasan yang "sedikit" menuntut masa dan tenaga yang juga tidak sedikit), nak jaga amalan-amalan sunat, tak nak masa berlalu seminit tanpa mengingati dan berzkikir padaNya, dan ada lagi agenda yang telah dirancang khas untuk tetamu mulia ini. Semua kerananya, Ramadhan.


Dalam kesungguhan merancang aktiviti fardhi, terasa kejap masa berputar. Rupanya, sudah 3 hari Ramadhan menjengah hari, berlalu pergi. Masih segar dalam ingatan, malam pertama menyambut Ramadhan. Jika para wanita ansar menyambut Rasulullah dengan nyanyian "Tola'al badru 'alaina", tapi, baginya Ramadhan, solat sunat tarawih menjemput kedatangan tetamu yang mulia ini. Rasa sejuk dan damai saat imam masjid membacakan Al-Fatihah. Terasa lain benar roh bacaan Ummul Qur'an ini dengan kedatangan Ramadhan. Disambung dengan surah Al-Baqarah. Namun, bila saja imam membacakan surah Al-Baqarah ayat 6 dan 7, terasa dada ini menjadi sesak. Takungan air mata yang disimpan untuk esok subuh, runtuh tanpa penghalang. Betapa dalam lautan kenikmatan iman yang Allah hamparkan buat hamba-Nya, masih ada yang kufur. Betapa Allah telah mengunci mati hati dan pendengaran mereka yang kufur, menutup penglihatan mereka dari sinar hidayah. Namun, apa yang lebih menampar iman ana, "Dan bagi mereka siksa yang amat berat".


Bila dilafazkan lagi ayat 8, 9 dan seterusnya, betapa harga air mata ini terlalu murah. Mengapa, ada lagi manusia yang sanggup menipu Allah dan orang-orang beriman? Tidakkah kaum munafik sedar bahawa Allah itu Khalik mereka? betapa sangat ego dan sombong golongan munafik ini. Ya, dada yang sesak ini kerana rasa gerun yang menapak, mengenang sifat Qahar-Nya. Namun, air jernih ini mengalir juga kerana terkilan dan sedih, mengenang umat akhir zaman. Mungkin, tanpa kita sedari, golongan yang dimaksudkan dalam ayat ini, ada dalam kalangan kita.(Siapa Tahu? hanya ALLAH Yang Maha Tahu). Mengapa? bila dihadapan orang beriman, kita sanggup mengaku beriman, kita pejuang agama. Rela bersama menjulang panji Islam. Walhal dalam masa yang sama, kitalah pelaku maksiat. Kitalah yang berterusan melakukan dosa. Kitalah duri dalam perjuangan Islam. Bila dipihak lain, kita gelakkan sahabat kita yang sanggup bersekang mata demi perjuangan Islam. Kita pandang rendah sahabat kita yang laju dalam gerak kerja, tapi "slow-motion" dalam akademik. Kitalah jua yang menjatuhkan sahabat dan gerak kerja. Kitalah yang membocorkan rahsia, tanzim gerakan. Siapa Tahu? Hanya kita dan Allah Maha Tahu.(Sudah jauh rupanya ana mebawa tetamu ana berjalan, dari tarawih kepada gerakan. Maklumlah, Fitrah pejuang.=)
(Ya Allah! kami berlindung dengan-Mu dari sifat Munafik dan dusta. Sifat yang dimiliki oleh kaum yang Engkau Murkai.)


Hakikatnya, rasa itulah yang mendera ana pada malam pertama Ramadhan kali ini. Rasa yang sangat menyakitkan dalam kegembiraan menyambut Ramadhan. (Hingga makcik yang solat sebelah ana menoleh seusai solat. Mungkin makcik tu tertanya "anak ni solat tarawih ke solat taubat?"=). Apapun, Sungguh Al-Quran adalah peringatan yang tidak akan lapuk di mamah zaman. Ya Rahman, Pemilik Kalam, Jadikanlah akhlak kami akhlak Al-Quran. Jadikanlah generasi kami generasi Al-Quran. Ameen.




*Dalam keterujaan menyambut tetamu yang istimewa ini, satu rasa yang hadir menujah-nujah tanpa dapat dihalang. Rasa sayu. Terasa sesak dada bila mengenangkan andai ini adalah Ramadhan terakhir. Ya, andai ini Ramadhan terakhir. Sempatkah ana graduate dengan cemerlang? Dapatkah ana anugerah puasa Khusus Khusus? Ataukah hanya layak dengan pointer puasa khusus? atau lebih kritikal masih tertahan diperingkat umum?
(Soalan untuk upin&ipin : Boleh tak, nak dakap Ramadhan supaya tak berlalu pergi?)
~Mujahidah Solehah Menjadikan Ramadhan Akademi Tarbiah Allah,
Membentuk Graduan Berjiwa Rabbaniah~

Wednesday, August 12, 2009

Buatmu Muslimah Dakwah

Salam cinta, sayang dan segunung kekaguman buat ummahatul mukminin, para srikandi agama yang gugur sebagai syuhada' yang kini bersemayam di singgahsana syurga sebagai bidadari agama. Salam perjuangan dan kasih sayang buat para mujahidah agama yang sehingga saat dan ketika ini masih berjuang sebagai sayap kiri perjuangan Islam, para sahabiah teman perjuangan yang sentiasa setia bersama menelan pahit manis mehnah yang sering kali datang tanpa diduga.


Bingkisan penghargaan ini ana titipkan buat para Srikandi Islam, Pembela Agama, Pembentuk Ummah.

Semoga menjadi penguat semangat, bekalan sepanjang perjalanan dakwah ini.


-ANA DAN PERJUANGAN-


Ana seorang manusia

Seorang Muslimah

Secantik-cantik perhiasan dunia yang dijadikan Allah.

Yang bernaung dibawah rimbunan rahmat dan kasih sayang

Yang punya jiwa sebesar jiwa pejuang

Mujahidah menjadi Impian

Syahidah menjadi Idaman.


Ana seorang anak, kepada 2 insan bergelar ibu bapa

Keredhaannya menjadi kerahmatan Ilahi.

Dalam Hati sentiasa terpahat

Kecekalan serta semangat

Sumayyah, Mashitah dan Asiah.

Walau menempuh duri rintangan

Walau maut menggamit datang

Namun Cinta ana pada Ilahi tak mungkin hilang.


Walau tidak setulus Safura

Atau sesetia Nailah dan Fatimah

Jauh lagi setabah Aisyah dan Khadijah.

Namun jauh disudut Hati,

Janji Ana untuk berbakti

Hanya papan dan bumi pemisah diri.


Ana masih seorang saudara

Pada abang, kakak dan adik.

Pembentuk akhlak dan sahsiah.

Dibahu ini terpikul segunung amanah.


Ana juga seorang teman

Pada yang bergelar sahabat.

Kasih dan nasihat sentiasa terucap

Semoga kelak tertegaknya syariat.


Di luar gelanggang rumah itu,

Ana penegak maruah bangsa.

Penuh jerih menimba ilmu

Mengharap Redha dan bimbingannya.


Pun begitu, diri masih mencari

Ruang dan waktu

Untuk ibu bapa ana

Untuk saudara ana

Untuk sahabat ana

Untuk agama dan bangsa ana.


Sahabat yang ana hormati...

Dalam dirimu

Ada sesuatu yang tidak ana mengerti

Adakalanya kau nyalakan obor semangat diri.

Dirimu pembimbing jalan perjuangan.

Tapi...

Adakalanya kau bagaikan tembok penghalang

Penghadang antara ana dan perjuangan.

Jua adakalanya

Bila kebuntuan mencari penyelesaian

Dalam mehnah dan ujian

Ingin saja ana noktahkan perjalanan

Mematikan diri dalam Jamaah

Mematikan diri dalam harakah.


Namun,

Ana tidak akan mengalah.

Kerana ana punya prinsip Jamaah.

Akan ana rempuh segala Mehnah

Akan ana didik diri ini menjadi Tabah.

Kerana ANA SEORANG MUJAHIDAH.


Wahai Ayah dan Ibu...

Bukan anakmu pinta emas dan intan

Bukan jua Mahligai Indah menjadi peraduan

Jauh lagi kemewahan.

Hanya yang anakmu ini impikan,

Secebis Pengertian dan Keredhaan.


Mengertilah,

Ana ingin menjadi Mujahidah

Yang tabah lagi Solehah

Yang hanya akan ana temui bersama Jamaah.

Dalam ikatan Ukhwah Islamiyah

Hidup ini menjadi Indah.


Ya Tuhan...

Dalam dakapan rahmat kasih sayang-Mu,

Segala Ujian mudah bagi ana.

Dalam renungan sifat-Mu yang Rahmah,

Segala yang sukar menjadi mudah

Kerana ana sedar,

Jalan ke Syurga amatlah sukar.


Ya Rahman...

Bersama sendu dan tangisan

Inilah Ujian penguji keimanan

Jangan Engkau gelincirkan diri ini

Setelah Engkau tunjukkan jalan.

Istiqamahkan perjuangan

Teguhkan iman dan kesabaran.

Agar Impian itu...

Agar Mujahidah Solehah menjadi kenyataan...


~Muslimah Solehah, Insan yang tidak pernah resah mengharungi mehnah~

Tuesday, August 11, 2009

Muslimah Dalam Agenda Tarbiah Ekonomi



Semalam ana ada himpunan ukhwahfillah pimpinan bersama ahli muslimat. Alhamdulillah. Kehadiran yang memberangsangkan. Rasa bahagia memenuhi jiwa dapat solat berjemaah bersama dan melihat wajah-wajah ceria sahabiah yang disayangi kerana Allah. Dapat berkumpul, bermesra, berkongsi cerita dan kasih sayang. Penat, ya, semangnya penat. Itu sudah lumrah seorang penuntut ilmu. Tapi kepenatan yang sangat berbaloi jika akhirnya dibayar dengan redha Allah dan kegemilangan Islam.


Meskipun pada mulanya pertemuan ini adalah bertujuan untuk memberi taklimat kepada ahli tentang kewajiban menggunakan produk muslim HPA sebagai penyelesaian kepada masalah produk-produk syubhah yang semakin memenuhi pasaran, akhirnya ia tetap berakhir dengan pengisian ilmu. Namun, ana berbangga dengan Raisah Ekonomi, Ina dan Kak Zu yang berjaya menghadiri Kursus Pengendalian HPA yang berlangsung selama 2 hari, bertempat di Balok. Sesuatu kemajuan yang baik dalam memacu langkah gerakan muslimat ke medan yang lebih luas.


Ya, seperti yang ana kongsikan bersama sahabiah dalam himpunan semalam, hasil dari slot pengisian yang ana hadiri beberapa minggu lepas, pengisian yang disampaikan oleh orang kuat Tarbiah negeri Pahang, Al-Fadhil Ustaz Azmi Dibok, yang membentangkan tentang Konsep Tarbiah Kampus. Sesiapa pun, bila ditanya, apa perkara penting yang menjadi tulang belakang dalam sesebuah organisasi Jemaah, pasti akan memberi jawapan yang sama. Tarbiah. Jika lemah gerakan sesebuah kampus, pasti akan ditanya pada Lujnah Tarbiah. "Ajk kurang tarbiah". Bila pimpinan tak bergerak, timbul inferens awal, "Pimpinan kurang tarbiah". Jika ada masalah dengan akhlak ajk, pasti di"jeling" pada Tarbiah. Jika komitmen ahli usrah mula lemah, akan timbul suara merdu "Tarbiah tak mantap", "Tarbiah kurang program" . Jika tak ramai ahli, "Tarbiah tak gerak ke?" dan banyak lagi inferens-inferens yang telah dibuat, namun, Sejauh manakah kita memahami konsep tarbiah yang sebenarnya?


Ana hanya mahu menspesifikasikan Tarbiah itu kepada 7 bahagian;


1. Tarbiah imaniyah/ruhiyyah

2. Tarbiah fikriah

3. Tarbiah Thaqafiyah

4. Tarbiah 'idariah

5. Tarbiah 'amaliyah

6. Tarbiah Maliah

7. Tarbiah Jasadiah
(Ana hanya sempat senaraikan, ada peluang dan kesempatan, InsyaAllah kita hurai bersama)

Ya. Tarbiah meliputi semua aspek pembentukan, pembangunan dan penyempurnaan dalam melahirkan ahli yang mampu bergerak dan menyumbang kepada Jemaah. Tarbiah meliputi pengurusan, ekonomi, it, akademik dan selainnya. Semua unit yang ada adalah di bawah satu payung yang sama, yakni Tarbiah. Semua itu adalah tarbiah. Bukankah Tarbiah itu adalah Pendidikan? Cumanya, diperingkat kampus, dikecilkan skop Tarbiah hanya kepada pembentukan dan pembangunan ruhiyah, fikrah dan thaqafah. Namun, sangat perlu diingati, ekonomi jua adalah tarbiah. IT jua menjalankan agenda Tarbiah. Tarbiah Islam. Bagaimana Islam menggariskan ekonominya. Bukankah ia juga perlu kepada Tarbiah? Menyampaikan itu Dakwah, Belajar itu Tarbiah.

Ina, teruskan Agenda Tarbiah Ekonomi anti! Dan sahabiah yang lain, Mari kita bersama menggerakkan Tarbiah sebagai antara agenda terbesar kita, selain Dakwah dan Siasah!
Ayuh, Bangkit memacu langkah menjana tenaga Muslimat pelapis Generasi Rabbani!


~Muslimah Gagah pada Langkah Yang Tidak Lesu Dalam Mengharungi Mehnah~

Friday, July 31, 2009

MAHKAMAH HATI


Mahkamah sivil ada peguam bela dan pendakwa raya.
Hakim jadi penentu hukuman.
Ada rayuan. Boleh tunda perbicaraan.
Hukuman mati, boleh pula menjadi penjara seumur hidupnya.

Mahkamah syariah ada Qadi yang menghakimi.
Hudud, Qisas atau ta'zir.
(Tapi negara tercinta ini masih tiada terlaksana hukuman Ilahi)

Mahkamah Hati ada iman pemandu diri.
Silap langkah, masih ada jalan untuk kembali.
Selagi utusan Ilahi belum datang menjemput untuk kembali.

MAHKAMAH DUNIA.
Ada rayuan, ada penundaan perbicaraan.
Ada peluang membela diri bila adanya saksi dan bukti,
Membebaskan diri bila saja ada alibi.

NAMUN,

MAHKAMAH AKHIRAT,
Tiada jalan kembali.
Tiada rayuan, tiada penundaan perbicaraan.
Tiada saksi kecuali mata, tangan dan kaki.
Tiada peluang berlepas lari,
bila tangan kiri menerima catatan amalan diri.
Kerana,
Hanya Keputusan Allah penentu syurga atau celakanya diri.

Wednesday, July 15, 2009

Laman Utama

Laman Utama: "Dengan nama ALLAH Yang Tidak Mengantuk dan Tidak Tidur. Dengan nama ALLAH Yang Menciptakan Alam kemudian memberinya hidupan. Dengan nama ALLAH Yang Menciptakan Langit dan Bumi yang luas namun masih tidak menandingi luasnya hamparan KasihNya, buat hamba-hambaNya. Dengan nama ALLAH yang menciptakan air kemudian menurunkan hujan. Dengan nama ALLAH yang menciptakan tanah dan menumbuhkan tanaman, yang juga darinya Insan dijadikan... Dengan nama ALLAH yang menciptakan matahari dan memberinya cahaya, terpantul sinarnya menyerlahkan bulan. Dengan nama ALLAH Yang menciptakan Siang dan Malam tanpa ada yang mampu menghalang. Dengan nama ALLAH yang menciptakan manusia dari setitis air mani hina, yang kemudiannya menjadi Khalifah Pentadbir Bumi. Dengan nama ALLAH yang menciptakan jiwa dan mengilhamkan kepadanya 2 jalan iaitu jalan kefasikan dan ketaqwaan. Dengan nama ALLAH yang menciptakan otak dan memberinya akal fikiran, pembeza antara manusia dan haiwan. Dengan nama ALLAH yang menciptakan mata dan memberinya penglihatan. Dengan nama ALLAH yang menciptakan Hati dan memberinya Cinta...
DENGAN NAMA ALLAH YANG MENCIPTAKAN SEGALANYA..."

KINI BERMULA

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang.


Alhamdulillah. Setelah sekian lama, baru ana diberi kesempatan oleh Yang Memiliki Kudrat dan Masa untuk ana menulis. Bukanlah bermakna selama ni tidak pernah menulis, tapi baru terbuka kesempatan untuk mencoret cacatan dalam helaian teknologi ini. Ya. Sungguh berbeza jika menulis di atas kertas dengan menulis dalam helaian elektronik ini.


Mungkin agak terlewat, tapi bukan alasan untuk ana tidak memulakanya. Lebih baik terlewat dari tidak memulakan, walaupun sebenarnya jauh lebih baik jika bermula lebih awal. Namun, tidak perlu dikesali keterlewatan ini, cuma hanya perlu dijadikan pengajaran agar tidak berulang pada perkara lain yang lebih penting.


Sebenarnya keterlewatan ini adalah disebabkan oleh sebuah persoalan utama yang baru terjawab. Sejak dahulu ana sering bertanya pada akal ana, apa yang hendak ditulis? jika hendak menulis tentang kupasan ilmu agama; ilmu fiqh, tafsir, hadith, akidah, cabang ilmu tasawuf mahupun sirah, ana bukanlah orang yang layak. Dah banyak kitab-kitab ulama, artikel dan blog para ustaz yang membicarakan malah membahas tentangnya. Jika hendak menulis tentang isu semasa pula, apalah gunanya akhbar-akhbar dan berita tv?malahan syarikat-syarikat akhbar dan media pun sudah memiliki laman web sendiri. Nak tulis pendapat? boleh diterimakah pendapat ana nanti? Layakkah? Dan banyak sangat cabang kepada persoalan ana.


Tapi itu dulu. Kini, Alhamdulillah. Segala puji bagi Yang MilikNya Segala Pujian. Ya. Ana mungkin bukan seorang yang faqih tentang bidang-bidang tertentu, ana juga bukan seorang wartawan, dan ana juga bukan seorang intelektual. Tapi satu hakikat yang akhirnya ana sedari, hakikat yang mengetuk iman dan kealpaan ana. Ana seorang dai'e. Ana seorang penuntut ilmu. Ana seorang umat Rasulullah yang diwasiatkan untuk menyampaikan ilmu walau hanya satu ayat. Beramal dengan ilmu yang ana telah pelajari. Ana juga adalah sebaik-baik umat yang Allah ciptakan untuk ana menyeru manusia kepada ma'ruf, mencegah kemungkaran dan beriman kepada Allah. Itu satu amanah. Perintah. Bukan dari Perdana Menteri, bukan dari Tok Guru, bukan dari ibu ayah dan bukan dari pensyarah. Tapi dari Allah. Pencipta ana. Rabbul 'alamin.



Jika dulu ana berfikir dan bertindak berdasarkan akal(melebihi) iman, tapi kini Alhamdulillah, setelah menjejak 20 tahun untuk setahun yang lalu, ana lebih berfikir dan bertindak dengan mendahului iman didampingi akal.. Ana seorang muslimah. Ana punya tanggunggjawab dalam memastikan golongan muslimah lain juga merasai nikmat iman dan islam. Ana tidak mahu menjadi insan yang pentingkan diri. Islam BUKAN eksklusif, hanya untuk golongan tertentu sahaja. Mungkin ada perkara yang ana tahu tapi orang lain tidak tahu, dan tentunya ada banyak perkara yang ana tidak tahu dan orang lain tahu. Ya 'Alimul ghaibi wasshahadah, sungguh Engkau Maha Tahu.


Insya Allah, permulaan ini, permulaan langkah seorang muslimah dalam menjejak kembali tinggalan Rasul tercinta diiringi redha Rabbuna.. Ighfirli ya Rabbi.

Followers

::Mutiara Hadith::

::Mutiara Hadith::
Daripada Abu Hurairah r.a berkata: Seorang lelaki dari kalangan orang ansar telah datang mengadukan halnya kepada Rasulullah s.a.w. Ia berkata: Wahai Rasulullah! Aku sesungguhya mendengar perkataanmu dan aku sangat kagum dan hairan dengan keindahannya tetapi aku tidak dapat menghafalnya. Maka apa yang perlu aku lakukan? Maka sabda Nabi s.a.w: "Hendaklah engkau menggunakan tangan kananmu," sambil Baginda mengisyaratkan supaya ia menulis apa yang ia dengarkan". (H.R Tirmidzi)

::IAIN AR-RANIRY (2011/2013)::

Semester 7 (11/12)
INU 1001 Pendidikan Kewarganegaraan

INU 1004 Bahasa Indonesia

INU 3002 Ilmu Budaya Dasar

INK 3004 Matematika Dasar

INK 3007 Hadis

SYA 1009 Ilmu Hukum

SPH 3009 Asbab Ikhtilaf Al-Fuqaha

SPH 3010 Sosiologi Hukum

SPH 3011 Hukum Islam Di Indonesia
*******
Semester Pendek (10/11)
SYA 7701 Filsafat Hukum Islam

SYA 7702 Praktikum

SYA 7703 Membahas Kitab Fiqh II
*******

Semester 8 (11/12)

SYA 2007 Hukum Adat

SYA 4701 Ushul Fiqh II

SYA 4702 Hukum Islam Dan Masyarakat

SPH 4708 Ushul Fiqh Muqaranah I

SMI 4709 Epistomologi Perundang-Undangan I

SYA 6701 Ushul Fiqh III

SPH 6805 Epistomologi Perundang-Undangan II

SPH 6806 Ushul Fiqh Muqaranah II

SPH 6807 Syari’at Islam Di Aceh

SPH 6808 Takhrij Hadis

SPH 6809 Hukum Perkahwinan Di Indonesia

*******

Semester 9 (11/12)

SYA 5702 Membahas Kitab Fiqh I

SPH 5803 Membahas Kitab Tafsir

SPH 5804 Muqaranah Mazhab Fil Jinayah

SPH 5805 Hukum Tata Negara

SPH 5806 Ilmu Falak

SPH 5809 Legal Drafting I

SPH 7804 Metode Penelitian Hukum

SPH 7806 Metode Ijtihad Kontemporer

SPH 7809 Legal Drafting II

*******

Semester 10 (12/13)

SYA 8701 KPM

SYA 8702 Skripsi

SYA 8703 Ujian Komprehensif

:: KIPSAS 2008/2011 ::

Semester 4 (09/10)

ASU 2012 Qawaidh Fiqhiyah

ASU 2022 Pengantar Fiqh Islam

ASU 2073 Usul Fiqh

ASU 2102 Siyasah Syar'iyyah

ASU 2142 Al-'arabiyyah li al-syariyyah 1

ASU 2202 Undang-Undang Jenayah Perbandingan

ASU 2222 Undang-Undang Keluarga Perbandingan

ASU 2262 Bahasa Inggeris 3

KIP 2031 Halaqah Usrah 3
*******

Semester 5 (10/11)

KIP 2041 Usrah II

ASU 2272 Bahasa Inggeris IV

ASU 2152 Al-Arabiyyah Li Al-Syar'iyah II

ASU 2083 Pentadbiran Harta Orang Islam

ASU 2232 Undang-Undang Syarikat & Perkongsian

ASU 2242 Undang-Undang Keterangan Perbandingan

ASU 2212 Undang-Undang Probet Perwarisan

ASU 2062 Fiqh Muamalat
*******

Semester 6 (10/11)

ASU2052 Ayat & Hadith Ahkam

ASU2282 English For Law

ASU2122 Kaunseling Islam & Guaman Syari'e

ASU2132 Undang-Undang Prosedur Mal & Jenayah

ASU2252 Undang-Undang Acara Sivil & Jenayah

ASU2093 Ulum Al-Quran & Ulum Hadith

ASU2984 Kertas Projek

~Bicara Zahidah~

~Bicara Zahidah~
"Wahai Rabbi, Jika aku sujud kepadaMu kerana gerun dengan api nerakaMu, Maka bakarlah aku didalamnya. Dan jika aku sujud kepadaMu kerana tamakkan syurgaMu, Maka halanglah aku daripadanya. Tetapi jika aku sujud kepadaMu kerana kecintaanku kepadaMu, Maka kurniakanlah aku balasan yang besar. Izinkanlah aku melihat wajahMu Yang Maha Agung dan Mulia itu..."
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...