BismilALLAHI Ar-RAHMAN Ar-RAHIM
Salaam dan selawat serta pujian buat Rasul tercinta, Muhammad HabibuLLAH, ahlul bait baginda, para sahabat, tabi'in, tabi' tabi'in, para salafus soleh dan seterusnya para pejuang agama yang bertebaran dibumi ALLAH juga kepada mereka yang bergelar ibu.
Ingin kulakar sebuah puisi. Ianya tidaklah seindah mana namun cukup buat menyatakan bahawa kami terlalu menghargaimu.
Andai dihamparkan seluas bumi,
Masih tidak mampu mengukur betapa luasnya kasih dan cinta anak-anakmu ini
Terhadap seorang wanita yang telah mengandungkan, melahirkan dan membesarkan kami.
Mak, Jasamu terlalu murni.
Andai diselam lautan terdalam,
Masih tidak mampu menyentuh dasar lautan kasih yang tersulam.
Memandang wajahmu,
Seumpama ku temui cahaya dikala gelapnya suram.
Mak, hadirmu adalah tanda kasih Ar-Rahman.
Andai jua di lakar sebuah keindahan,
Masih tidak mampu menggambarkan betapa bahagia hati anak-anakmu ini
Memiliki seorang ibu sepertimu.
Andai diceritakan sebuah kisah,
Masih tidak mampu membalas segala jasa dan pengorbananmu menjadi seorang ibu
kepada anak-anakmu.
Hatta sebuah puisi masih tidak mampu mentafsirkan betapa halusnya rasa anak-anakmu ini terhadap seorang ibu yang telah banyak berkorban demi melihat kebahagiaan dan kejayaan anak-anaknya.
Mak,
Masih teringat bait kata-kata keramatmu 2 tahun lalu ketika berbicara tentang jasa yang perlu dibalas. Kata-kata yang mak tuturkan setelah melihat filem yang mengisahkan seorang anak derhaka;
"Mak gembira jika anak-anak mak berjaya pada masa hadapan. Biarpun duit tidak dikirimkan. Atau khabar tidak ditanyakan. Atau juga mungkin akhirnya mak akan dihantar kerumah orang-orang tua. Tidak mengapa, yang penting mak tahu anak mak yang telah mak lahirkan dan besarkan telah menjadi orang yang berjaya. Tapi, mak akan marah sekiranya di masa hadapan nanti, jika anak mak hadapi masalah atau kesempitan hidup, perkara itu disembunyikan dari pengetahuan mak..
Tiada harga buat kasih sayang mak"
Mak,
Tahukah hati yang mendengar ini seumpama meletup dan terbakar sebelum sempat bicara itu ditamatkan.
Tahukah dirimu wahai ibu yang telah menumpangkan anakmu dirahimmu yang mulia dan tanganmu yang telah mengasuh serta mendidik anakmu sehingga dewasa,
Tahukah dirimu wahai ibu yang telah menumpangkan anakmu dirahimmu yang mulia dan tanganmu yang telah mengasuh serta mendidik anakmu sehingga dewasa,
Tidak sekali terlintas untuk membiarkan dirimu hatta tidak sedetik rasa tergamak melihat air matamu tumpah kerana kekhilafan anakmu ini, jauh lagi untuk menyisihkanmu dari kehidupan.
Andai diminta sebuah pembuktian,
Akan kukorbankan segalanya demimu ibu.
Namun satu yang tidak mungkin jadi tandingan jua pilihan.
Jangan diminta untuk berpaling dari ALLAH dan Rasul.
Mak, Pa,
Meskipun namamu tiada dalam lipatan sejarah dunia,
Walaupun teratak yang kalian sediakan tidak seindah mahligai istana,
Biarpun dirimu tidak dikenali manusia lainnya,
Biarlah...
Asal kami tahu, kalian adalah anugerah paling mulia yang ALLAH berikan.
Dengan seluruh kekuatan iman dan amal, ingin kuseru segenap alam,
"Mak...
Kami bangga dan bersyukur menjadi anakmu"
Titipan Khas buat mak tercinta,
Ruhaema Binti Parukai...
"YA ALLAH,
Ampunkanlah dosa-dosa ibu bapa kami.
Kasihilah ibu bapa kami dan sayangilah mereka seperti mana mereka telah menyayangi dan mendidik kami sejak kecil.
Kurniakanlah mereka kesejahteraan hidup didunia dan akhirat"
Amiin.