Hamdan shukran liLLAH..
Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang.
Segala puji hanya bagiNYA. Rabbul 'Alamin. Raja yang mentadbir sekalian alam. Yang tidak mengantuk dan tidak tidur. Sesungguhnya hanya DIA Yang kekal kerana DIAlah Pencipta segalanya. Telah termaktub dalam kitab al-Quran al-Karim bahawa setiap jiwa itu pasti akan merasai mati. Saat tiba waktu yang terpatri, maka sempurnalah takdir ALLAH terhadap hambaNYA. Segala yang ada akan kembali kepadaNYA, tempat kembali yang pasti dan abadi.
Hari ini, hening pagi sabtu di bumi Kuantan menjadi saksi sempurnanya takdir seorang hamba ALLAH. Tamatnya tempoh kehidupan di dunia fana ini. Dia sahabat ana. Adik, dan sahabat seperjuangan yang pernah bersama mengharungi perjalanan dakwah dibumi KIPSAS. Tiada kata yang terluah saat menerima pesanan ringkas seawal 7.00 pagi yang menyatakan bahawa perginya seorang sahabat seperjuangan. Pemergian yang tidak akan kembali. Pemergian yang membawanya kepada sebuah kehidupan yang hakiki. Rabbul Izzati. Hanya lafaz takbir yang mampu terluah ketika hanya rasa kelu yang menyelaputi bicara. Adik yang ana kenali seawal ana disemester pertama. Tarikh lahir yang hampir dengan ana selalu menggembirakannya. Hanya beza sehari walaupun tahunnya berbeza. 11 disember 1989 menjadi titik pemula sebuah kehidupan dunia baginya dan hari ini, 4 jun 2011 menjadi permulaan sebuah kehidupan akhirat buat adikku, arwah Wahida.
Semoga rohnya ditempatkan bersama golongan syuhada' wa solihin. Sungguh, Senyuman dan mesra seorang sahabat merupakan penawar bagi racun dan segala keletihan dalam perjuangan. Kejap pelukan dan sayu bicara semasa konvo tahun 2010 rupanya menjadi pertemuan terakhir kita didunia. Namun senyuman manis itu akan sentiasa terakam dalam minda dan ingatan kakak selagi jasad masih bernyawa, inshaALLAH. Semoga kita menjadi golongan pemuda yang dinaungi arashy ALLAH. Golongan yang bertemu dan berpisah keranaNYA. Ya, kini kita sudah benar2 terpisah.
"Ya ALLAH, tempatkan roh sahabatku, Nurul Wahida, ditempat yang mulia. Tempat yang Kau janjikan nikmat untuk hamba2Mu yang beriman dan beramal soleh. Berkati dan rahmati dirinya dan keluarganya. Letakkanlah rohnya bersama para syuhada' dan para solihin. Ya ALLAH, saat tiba hari kebangkitan, himpunkanlah kami dibawah naungan ArasyMu sebagai golongan yang bertemu dan berpisah keranaMu ya Rabb. Ya ALLAH, ampunkanlah kami.."
Amiin.
"Mujahidah solehah melangkah gagah demi mendamba pertemuan indah bersama Rabbnya di syurga"